Jenama ‘Siti’.

SUARANYA kerap berkumandang di udara. Wajahnya kerap memenuhi dada majalah dan iklan di mana-mana. Tidak lama lagi pula, bakal lahir rangkaian pakaian berje nama Siti Nurhaliza.

Selain projek yang bakal melibatkan pereka pakaian Siti, Michael Ong, terdapat ura-ura untuk menghasilkan barangan berjenama bintang itu.

Siti dalam laporan lelaman Malay Mail menjelaskan tentang usaha syarikatnya, Siti Nurhaliza Productions Sdn Bhd (SNP), yang dibentuk dalam 1999 itu.

‘Saya akui apa yang kami ‘jual’ pada dasarnya adalah bakat, suara dan wajah saya yang merupakan aset kepada SNP.

‘Rangkaian pakaian atau barangan pengguna yang kami perkenalkan akan mengandungi tandatangan atau wajah saya kerana ia merupakan daya tarikan sekurang-kurangnya dalam peringkat awal.

‘Kemudian, saya berharap barangan-barangan itu akan mampu berdiri sendiri. Walau masih dikaitkan dengan Siti Nurhaliza, ia juga akan dikenali dengan mutunya,’ kata Siti.

Satu lagi usaha mengembangkan perniagaannya ialah melalui pembukaan kedai rambut dan dandanan, Shades Hair & Beauty Saloon, di Wisma Cosway di Kuala Lumpur.

Kedai itu diketuai adik Siti yang khabarnya mula berjinak-jinak dalam bidang nyanyian iaitu Siti Nursairah, yang mengambil kursus dandanan sebagai persiapan.

Yang membantu mempromosikannya, siapa lagi kalau bukan Siti!

http://cyberita.asia1.com.sg/