Jeling Kak Pora: Siti Ramal Zizan, Faizal Tahir Menang

Jeling Kak Pora: Siti ramal Zizan, Faizal Tahir menang

2011/04/03
KAK PORA sendiri tak sabar-sabar nak tahu sangat siapa yang bakal dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular pada majlis kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2010 malam ini. Kak Pora sekarang dah ada di Genting Highlands dengan dua anak Kak Pora. Petang ini sibuk dah nak bersolek dan macam tak sabar-sabar nak pakai gaun hijau gelap rekaan kak ipar Kak Pora sendiri.

Sebut pasal ABPBH, semua tentunya nak tahu siapa yang akan diangkat pemenang Bintang Palibng Popular. Tahun lalu, Datuk Siti Nurhaliza yang dapat takhta itu buat kali ketujuh dalam sejarah penganjuran ABPBH. Tahun ini, Kak Pora sendiri ada meramalkan beberapa nama artis yang dilihat mempunyai potensi cerah untuk menang kategori utama itu. Pilihan hati Kak Pora ialah biar Shahir atau Zizan yang menang.
Teman sepejabat Kak Pora sempat menanyakan ramalan Siti Nurhaliza mengenai siapa yang bakal mengambil alih posisinya itu kali ini. Kata penyanyi yang sudah 13 tahun berturut-turut menggenggam trofi Penyanyi Wanita Popular itu, sukar sebenarnya untuk meramal siapa yang layak.
Ini komen Siti: “Siti nampak persaingan kali ini agak sengit antara calon yang masuk final. Pada pandangan Siti, untuk kategori Bintang Paling Popular, setiap kategori dipertandingkan ada peluang cerah. Kategori Artis Komedi contohnya seperti Zizan. Penyanyi Lelaki pula, Faizal Tahir juga menunjukkan kelangsungan tahun demi tahun,” katanya yang bakal melaram rekaan Rizman Ruzaini malam ini.

Kak Pora pun rasa begitu juga, mungkin dua nama disebut Siti itu boleh menang Bintang Paling Popular. Kita sama-sama tunggu sajalah pengumumannya malam ini. Debaran tentu sangat terasa, macam nak tunggu keputusan pilihan raya Dewan Undangan Negeri Sarawak.

Sebut mengenai Siti, Kak Pora bangga dengan pencapaiannya. Rasa rindu juga nak temu bual dia dari hati ke hati. Rindu dengan dia, lama tak bersua muka. Malam ini, Kak Pora nak ambil peluang untuk jumpa dia dan berborak lama-lama sikit. Wartawan hiburan lain jangan cemburu ye…

Kak Pora dapat tahu lagi, sekarang Siti sibuk buat album Inggeris yang akan berada di pasaran pertengahan tahun ini. Sebanyak 10 lagu bakal dimuatkan. Pada 21 Ogos ini, genap lima tahun usia perkahwinan Datuk Siti Nurhaliza dengan Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa. Kak Pora tumpang gembira tengok kebahagiaan mereka meskipun belum memperoleh zuriat.

Sabar sajalah Siti, teruskan berdoa supaya nanti akan memperoleh cahaya mata. Kak Pora tahu jauh di sudut hati Siti, memang dia ter8ngin sangat mengandung. Cuma belum ada rezeki lagi. Khabarnya, Siti pun tak pernah berhenti berusaha mendapatkan anak, pergi berubat sana sini.

“Dapat anak tahun ini pun seronok juga,” kata Siti ringkas kepada teman sepejabat.

KAK PORA: Nak tengok apa fesyen Normah Bechok pakai malam ini…

Berita Harian