Jeling Kak Pora: 7 Juta Tonton ABPBH 2011


Jeling Kak Pora: 7 juta tonton ABPBH 2011

2012/04/15
pix_gal0
LEGA rasanya Kak Pora apabila majlis kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2011 sudah melabuhkan tirainya, Ahad lalu. Semua dah tahu aktor warga Singapura, Aaron Aziz dijulang peminat sebagai Bintang Paling Popular. Kemenangan Aaron menamatkan penguasaan Shaheizy Sam yang memenangi kategori sama tahun lalu.

Biarpun kemenangan Aaron sudah dijangka tetapi ABPBH 2011 memperlihatkan aliran perubahan yang signifikan apabila muka baru mendominasi hampir separuh daripada 17 kategori yang dipertandingkan. Sedikit mengejutkan apabila Zizan yang dulu berada dalam senarai Top 5 Bintang Paling Popular tercicir pada ABPBH 2011.
Sebaliknya bakat baru Tasha Shilla membolosi selesa untuk berada pada kedudukan kelima barisan itu selain aktor, Fizz Fairuz yang mengungguli Pelakon TV Lelaki Popular yang menunjukkan taring luar biasanya pada edisi terbaru ini. Ramai macam tak percaya, kan? Tapi itulah hakikatnya pabila mereka dah berjawa menawan hati peminat yang sanggup mengundi berkali-kali demi memastikan artis kesayangan mereka menang.
Kak Pora tak mahu sentuh mengenai isu yang sengaja dicetuskan segelintir pihak yang enggan mengakui kekuatan pengaruh Aaron ketika ini. Mereka sengaja menimbulkan polemik sedangkan pelakon yang cukup sinonim dengan filem Ombak Rindu itu turut menyumbang kudrat dalam memajukan industri perfileman dan drama tempatan.

Kak Pora dapat tahu ABPBH 2011 yang turut meraikan sambutan jubli perak acara itu terus meraih kepercayaan penonton apabila siaran langsung yang dipancarkan menerusi TV3 meningkat sehingga 5.3 juta penonton. Itu baru rating penonton yang mengikutinya menerusi TV teresterial, bukan menerusi saluran digital dalam Astro atau Saluran 103 Astro. Apabila Kak Pora semak dengan kawan yang bekerja di Astro, angka jumlah penonton TV3 dalam tempoh jam 9 malam hingga 12 tengah malam yang menonton Saluran 103 pada malam 8 April lalu ialah sebanyak 1.7 juta penonton. Ini bererti 5.3 juta penonton teresterial ditambah 1.7 juta penonton saluran berbayar Astro, bererti jumlahnya 7 juta penonton.

Secara purata, ABPBH 2011 yang menyaksikan gandingan nama hebat seperti Datuk Siti Nurhaliza, Datuk M Nasir, Datuk Sheila Majid, Anuar Zain, Dayang Nurfaizah, Ramlah Ram, Alyah dan ramai lagi mencatat 4.7 juta tontonan. Jumlah itu meningkat selesa berbanding ABPBH 2010 yang mengumpul empat juta penonton dan peningkatan positif itu membuktikan acara berprestij yang memasuki usia 25 tahun itu masih kekal relevan kepada pencinta industri hiburan.

Kak Pora memang berpuas hati dengan persembahan malam itu dan yang paling melekat dalam kepala Kak Pora ketika ini adalah paduan vokal lantang Ziana Zain dan Azlan & The Typewriter ketika membawakan medley, Anggapanmu dan Lagu Untukmu.

Turut menjadi bualan sketsa Ombak Rindu yang menampilkan pelakon asalnya iaitu Aaron, Maya Karin dan Lisa Surihani melakonkan petikan daripada filem itu sebelum Hafiz dan Adira muncul membawakan lagu latarnya.

Tidak kurang yang memuji gelek maut 45 darjah Mas Idayu ketika membawakan lagu Senggol-Senggolan dan sempat mengusik Artis Baru Lelaki Popular, Johan As’ari untuk bergelek bersama. Selain gandingan nama hebat dan popular, kemantapan gabungan pengacara yang terdiri daripada Raja Azura, Sharifah Shahirah, Didie Alias dan Zizan turut membantu menaikkan mood sepanjang tontonan ABPBH 2011. Memang kelas ABPBH ni…

Cuma Kak Pora nak pesan, bagi mereka yang cemburu dengan penganjuran ABPBH sehingga menulis artikel dalam akhbar mereka kononnya populariti bukan yang terbaik dan macam-macam lagi seperti sengaja nak memperlekeh majlis anjuran Berita Harian. Tak elok berperangai jaki macam tu sedangkan pihak mereka sendiri turut anjurkan pertandingan berdasarkan glamor dan populariti.

KAK PORA: Macam tidak percaya lihat aksi penyanyi wanita seperti lalok di belakang pentas ABPBH. Tak senonoh langsung! Jagalah imej sikit sebab awak tu muka pasport, semua orang kenal.

Berita Harian