‘Jangan Mudah Percaya Internet’

Hip


‘Jangan mudah percaya internet’
Oleh Farihad Shalla Mahmud

2010/10/04
Jimmy, Nurshuhaila berhati-hati hadapi gosip demi kerukunan rumah tangga

PERKENALAN singkat di Kota Keriangan, Genting Highalnds, membawa pasangan ini bersatu di pelamin. Siapa sangka, hubungan peminat dan artis kini bertukar menjadi pasangan suami isteri. Begitulah hebatnya apabila panahan cinta terbenam di dasar hati.

Kini, selepas empat bulan menjalani kemanisan bergelar tunangan orang, pengacara Trek Selebriti dan Akademi Fantasia musim ke-8 (AF8) Jimmy Shanley Norjahan Salleh selamat diijabkabulkan dengan gadis pilihannya, Nursuhaila Eliani Suhaimy, Jumaat lalu.
Majlis akad nikah itu disempurnakan Penolong Pendaftar Nikah dan Jurunikah Masjid Al-Mukarramah Bandar Sri Damansara, Ustaz Mustaffa Kamal Abu Bakar. Ia berlangsung di banglo mewah milik keluarga perempuan di Sunway Rahman Putra, Sungai Buloh.
Pada upacara itu, pihak lelaki membawa sembilan dulang hantaran dan dibalas 11 dulang oleh pihak perempuan. Antara hantaran daripada pihak lelaki ialah sebentuk cincin pusaka peninggalan dan wasiat arwah ibunda Jimmy.

Pihak perempuan pula menyerahkan sepasang kasut, seutas jam tangan, sehelai baju, sehelai seluar, sebuah iPhone, kek, manisan, coklat, sirih junjung, set dandanan dan sepasang baju Melayu. Pengantin perempuan turut menerima mas kahwin dan duit hantaran sebanyak RM31,186, bersamaan tarikh lahirnya iaitu pada 31 Januari 1986.

Dan malam kelmarin, bertempat di Grand Ballroom, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) pasangan mempelai ini disandingkan di hadapan seribu orang tetamu. Bagai pinang dibelah dua, kedua-dua mempelai kelihatan anggun dalam persalinan rona putih dan perak hasil sentuhan Rizman Ruzaini dan Prestige oleh Inar, dari Jakarta.

Berkonsepkan Timeless White Romance hasil sentuhan perunding perkahwinan Weddings By Baha, dewan besar KLCC berubah suasana apabila hiasannya dikuasai rona putih, perak dan hijau pastel yang menghiasi pelamin dan meja pengantin.

Adat bersuamikan seorang selebriti terkenal seperti Jimmy, jika tidak tahan dengan cabaran yang mendatang, pastinya hidup akan berendam air mata. Maklum sajalah, seperti yang sering diperkatakan, artis milik masyarakat. Jika tidak kuat iman di dada, tentunya makan hati apabila melihat si suami sentiasa di kelilingi peminat terutama peminat wanita. Apakah Suhaila mampu berdepan dengan situasi sedemikian?

Suhaila tersenyum saja saat diajukan soalan itu sambil menjelaskan dia sudah bersedia dengan situasi terbabit.

“Saya meletakkan sepenuh kepercayaan padanya. Lagipun dia sendiri ada mengingatkan supaya saya tidak mudah percaya dengan sebarang gosip terutama yang tersebar di internet,” ujar anak gadis pengasas produk kecantikan Natasya, Datin Muniroh Kassim ini.

Mengulas lanjut, Jimmy sewaktu ditemui pada sidang media sejurus selepas majlis resepsi berakhir berkata, sedari awal lagi dia memang sudah berpesan kepada isterinya itu supaya berhati-hati dengan apa saja disiarkan di internet.

“Sejujurnya, saya akui saya takut melihat situasi yang berlaku sejak kebelakangan ini terutama membabitkan rumah tangga artis yang sering berakhir dengan perceraian. Setiap kali saya baca surat khabar, pasti ada cerita tidak menyenangkan mengenai rumah tangga golongan ini.

“Semoga perkahwinan kami berkekalan hingga ke akhir hayat dan saya berjanji untuk menjadi suami yang baik dan tidak berlaku curang,” janji Jimmy.

Ditanya mengenai destinasi bulan madu mereka, Jimmy berkata, mereka terlebih dulu mahu mengerjakan ibadat umrah.

“Insya-Allah saya mahu bawa isteri saya menunaikan umrah pada tahun depan. Soal bulan madu, masih belum difikirkan lagi kerana akan ada tiga lagi majlis resepsi yang bakal diadakan bagi meraikan perkahwinan kami selepas ini. Dua di Sungai Petani dan satu lagi di Ipoh. Di Ipoh konsepnya adalah majlis minum petang.

“Majlis di Sungai Petani itu adalah untuk meraikan keluarga dan saudara mara sebelah pengantin perempuan. Manakala untuk satu lagi majlis di Sungai Petani adalah untuk penduduk kampung,” terang Jimmy yang mengambil cuti sebulan sempena hari bersejarahnya itu.

Mahu lima cahaya mata

SEWAKTU majlis akad nikah berlangsung, Jimmy dikhabarkan gugup sehingga terpaksa mengulanginya sebanyak tiga kali sebelum ijab dan jabul itu disahkan saksi dan juga kadi. Mengulas perkara itu, Jimmy mengakui dia memang gugup ketika itu.

“Ketika pernikahan berlangsung, saya tak nafikan saya hilang fokus kerana terdapat gangguan dan bunyi bising di persekitaran. Mungkin saya terpaksa akad nikah sebanyak tiga kali juga disebabkan pihak saksi suka dengan angka tiga agaknya,” seloroh Jimmy.

Mengenai perancangan untuk memiliki cahaya mata, Jimmy berkata dia tidak meletakkan sebarang tempoh tertentu dan sedia menerima kehadiran zuriat pada bila-bila masa saja.

“Kalau boleh, saya mahu lima orang cahaya mata iaitu empat lelaki dan seorang perempuan. Lima ialah angka kesukaan saya,” kata Jimmy yang baru saja memperbaharui kontraknya sebagai artis residen Astro.

Majlis yang penuh gilang gemilang itu turut menyaksikan kehadiran ramai rakan artis antaranya Datuk Siti Nurhaliza dan suami, Mawi, Rozita Che Wan, Linda Onn, Lisa Surihani, Sazzy Falak dan suami, serta Iqram Dinzly.

Tetamu yang hadir turut dihiburkan dengan persembahan nyanyian oleh Mawi, Haziq, Ezlynn dan Maulana. Majlis dikendalikan oleh pasangan pengacara Syed Farradino Omar dan Sharifah Shahira.

Berita Harian