Jamal gugup.


JAMAL… lupa lirik ketika berduet dengan Siti
— Gambar SAIFULLIZAN TAMADI.

PENGALAMAN menyanyi lebih 20 tahun bukan satu jaminan tidak melakukan kesilapan kerana sebagai manusia biasa rasa gugup dan gementar tidak dapat dibuang oleh penyanyi bersuara jantan, Jamal Abdillah.

Jamal yang menjayakan persembahan Curahan Rasa Lagu & Irama bersama Siti Nurhaliza sempena Hari Ibu di Dewan Perdana Felda, Ahad lalu, kelihatan kurang selesa dan ada kalanya suara Jamal tidak sampai ketika menyanyikan lagu bernada tinggi.

Penyanyi kelahiran Teluk Intan, Perak ini juga cuba bersembunyi di sebalik organ menyebabkan hanya suaranya yang berkumandang manakala wajahnya hanya kelihatan melalui dua skrin yang dipasang di kiri kanan pentas. Kemuncaknya ialah lupa lirik ketika berduet dengan Siti menerusi lagu Sandarkan Pada Kenangan.

Jamal ketika ditemui selepas selesai persembahan, mengakui gementar ketika di pentas malah mengatakan masalah itu sedia wujud dalam dirinya setiap kali menyanyi.

“Sebagai manusia, saya tidak mampu lari daripada melakukan kesilapan. Maklumlah, macam-macam yang bermain dalam kepala saya.

“Apabila berada dalam keadaan tertekan, pelbagai perasaan muncul menyebabkan saya gugup, gementar dan terlupa lirik. Memang perasaan ini tidak dapat saya atasi dari dulu lagi,” katanya terus terang.

Bangga berduet dengan Siti

Anak didik Datuk Ahmad Nawab dan dicungkil bakatnya selepas menjuarai Bintang RTM pada 1979 mengakui bangga berpeluang mengadakan persembahan dengan Siti kerana minat suara penyanyi popular itu.

Katanya, dia juga berhasrat merakamkan lagu bersama Siti tetapi tidak kesampaian kerana bernaung di bawah syarikat rakaman berlainan.

Bagaimanapun Jamal menafikan gementar berhadapan dengan Siti hingga lupa lirik ketika berduet dengan lagu yang pernah dinyanyikan bersama Fauziah Datuk Ahmad Daud (Ogy) dan juga Siti Sarah.

“Saya gugup nak buat macam mana. Bukan dengan Siti saja dengan penyanyi lain sebelum ini juga begitu. Setiap orang ada kelemahannya,” katanya.

Jamal juga enggan mengulas gandingannya dengan Siti berbanding dengan Ogy dan Sarah. Katanya, tidak adil dia membandingkan cara mereka kerana masing-masing punya cara sendiri dan tidak perlu dibuat perbandingan.

Siti juga mengakui meminati suara Jamal sejak di bangku sekolah dan rasa cukup bangga apabila digandingkan bersama.

“Saya minat Broery, Datuk Sharifah Aini dan juga Jamal. Sebelum ini saya pernah berduet dengan Jamal ketika menjayakan program anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM),” katanya yang turut lupa lirik ketika berduet dengan Jamal.

Ketika menyanyi lagu Airmata Ibu, Siti tidak dapat meneruskan persembahan apabila perasaannya sebak. Katanya, lagu itu menyentuh perasaannya kerana teringat pengorbanan dan kasih sayang yang dicurahkan ibunya dalam membesarkan mereka lapan beradik.

“Susah senang dia tempuhi dengan tabah. Kebetulan pula mak ada bersama,” katanya yang baru menerima anugerah Artis Paling Berhasil anjuran stesen televisyen Indonesia, RCTV.

Persembahan anjuran Mahir Entertainment & Production itu mendapat sambutan yang cukup baik apabila dihadiri kira-kira 1200 penonton, termasuk tetamu khas, isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Datuk Rosmah Mansor.

Rata-rata membawa ibu masing-masing sebagai menghargai jasa ibu yang melahir dan membesarkan mereka. Ada juga membawa isteri dan anak-anak meraikan Hari Ibu yang disambut pada bulan Mei. Penganjur turut meraikan Hari Guru yang diraikan bulan ini.

Jamal yang muncul sebagai pembuka persembahan menyanyikan lagu Ghazal Untuk Rabiah, Samrah, Aku, Layu Sebelum Berkembang dan Kekasih Awal Dan Akhir. Khusus untuk Hari Ibu, Jamal menyampaikan lagu yang menjadi kegemaran arwah ibunya, Mungkinkah (Emilia Contessa), Kasihnya Ibu (Tan Sri P Ramlee) serta lagu popularnya, Di Sudut Kamar Hatiku dan Kau Lupa Janji.

Siti pula menyampaikan Lagu Rindu dari album barunya, Prasasti Seni serta lagu lama seperti Widuri dan lagu popularnya, Cindai dan Bukan Cinta Biasa. Untuk meraikan Hari Ibu, Siti menyediakan lagu Airmata Ibu dan Gubahanku serta diakhiri Syurga Di Telapak Kaki Ibu.

Petang itu penonton bukan saja bertuah kerana menyaksikan Siti berduet dengan Jamal malah gandingan Siti dengan ibunya, Siti Salmah Bachik buat pertama kalinya di hadapan ramai melalui lagu Bisikan Hati.

Paling istimewa apabila Siti mengundang Rosmah atas permintaan penonton dan Rosmah yang anggun dengan baju kurung kuning, tidak menghampakan penonton dengan lagu My Way. Persembahan petang itu turut dimeriahkan dengan kehadiran Dee sebagai pengacara majlis serta menjayakan sketsa bersama Siti.

Gambar ZAHARIN HAYON

http://www.emedia.com.my/”