JAGA ANAK: SITI MINTA MAAF PADA JANDA DATUK K

PETALING JAYA: Penyanyi Siti Nurhaliza memohon maaf kepada bekas isteri Datuk Khalid Mohamad Jiwa, Tengku Zawyah Tengku Izham, jika beliau telah mengguris perasaannya.

Siti Nurhaliza berkata beliau tidak berniat melukakan hati Tengku Zawyah ketika menjawab pertanyaan wartawan bagaimana beliau menerima kehadiran anak pasangan itu, dalam sidang media mengumumkan rancangan perkahwinan mereka bulan lalu.

‘Siti dengan rendah hati ingin memohon maaf jika apa yang dilaporkan mengguris hati beliau. Siti tidak berniat berkata demikian kerana dalam situasi sidang media itu, Siti terpaksa menjawab seringkas boleh.

‘Mungkin jawapan Siti tidak dihuraikan dengan baik maka berlaku salah faham. Siti tidak berniat langsung untuk mengambil alih tugas menjadi ibu kerana saya tahu ibu mereka masih ada,’ katanya dalam sesi ramah mesra dengan media di sini kelmarin.

Sebelum ini, Tengku Zawyah ditukil akhbar sebagai berkata beliau terguris dengan kenyataan Siti Nurhaliza bahawa beliau sanggup menjaga anaknya.

Siti Nurhaliza juga berkata sejak berita perkahwinannya dengan Datuk Khalid timbul, beliau sudah mengagak gelaran ‘perampas suami orang’ akan diberikan kepadanya walaupun beliau bukan punca perceraian pasangan itu.

‘Dikatakan perampas memang menyakitkan saya sedangkan perkara sebenarnya adalah sesuatu yang berlainan. Siti memang sudah menjangka akan dilabel demikian tetapi apa daya melawannya. Apa yang Siti harapkan ketika ini adalah doa agar hubungan ini berkekalan hingga ke akhirnya,’ katanya, yang mengaku kenal Tengku Zawyah.

Sementara itu, Datuk Khalid berkata perceraiannya tiada kena-mengena dengan Siti Nurhaliza dan beliau meminta semua pihak agar tidak menuduh penyanyi itu menjadi punca kemusnahan rumah tangganya.

‘Dengan nama Allah saya katakan di sini bahawa hubungan saya dengan Siti adalah selepas perceraian saya dengan isteri saya. Perceraian saya dengan isteri saya tidak ada kena-mengena langsung dengan Siti,’ katanya. – BHM, Utusan Malaysia.