Istana Cinta Siti puja P Ramlee

Oleh Rudy Imran Shamsudin

SELEPAS berjaya mementaskan persembahan memperingati Allahyarham Sudirman Hj Arshad tiga tahun lalu, penyanyi popular Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, 28, kembali ke Istana Budaya (IB). Kali ini pula penghormatan diberikan kepada Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan Allahyarham Puan Sri Saloma.

Persembahan bertemakan Konsert Istana Cinta itu diilhamkan produksi milik Siti, Siti Nurhaliza Production (SNP) dengan kerjasama IB bertujuan mengimbau nostalgia peminat terhadap karya agung yang pernah dihasil dan didendangkan.

Jelas Siti ketika ditemui pada majlis sidang akhbar itu di IB, dia langsung tidak tertekan walaupun mempunyai masa hanya sebulan untuk membuat persiapan.

Persembahan Konsert Istana Cinta bakal dipentaskan selama dua hari, 20 dan 21 April ini.

“Saya tiada tekanan menyanyikan lagu Tan Sri P Ramlee dan Puan Sri Saloma kerana karya mereka terlalu dekat dengan saya.

“Bayangkan, sejak kecil sehingga bergelar isteri, lagu ciptaan dan dendangan mereka sering menjadi mainan bibir.

“Saya juga sering mendendangkan lagu ciptaan P Ramlee yang pernah dipopularkan Saloma pada persembahan majlis makan malam dan sebagainya,” katanya.

Dalam pada itu, kata Siti, bagi memastikan persembahan ini benar-benar mengangkat karya terbaik yang pernah dihasilkan P Ramlee dan Saloma, setiap senarai lagu bakal disampaikan akan dipilih sebaik mungkin.

“Saya cuba lari daripada menyanyikan lagu popular yang sering dinyanyikan atau diputarkan di radio. Sebaliknya, saya akan mencari karya P Ramlee yang jarang diketengahkan.

“Untuk memilih lagu, saya berbincang dengan IB dan mereka yang pernah bekerja rapat dengan P Ramlee seperti Cikgu Yusnor yang banyak mencipta lirik untuk lagu Allahyarham,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai persembahan itu, Siti berkata, antara lagu P Ramlee yang diminatinya termasuk Jangan Tinggal Daku, Jeritan Batinku dan beberapa lagu runut bunyi filem seperti Semerah Padi. Kemungkinan besar lagu itu turut dinyanyikan pada malam itu.

Sementara itu, Ketua Pengarah IB, Datuk Azhar Abu Bakar, menjelaskan pementasan Konsert Istana Cinta menampilkan Siti Nurhaliza dibuat bukan semata-mata menjual populariti penyanyi itu dengan harapan untuk mendapatkan keuntungan.

“Berapa sangat keuntungan yang IB dapat dengan persembahan selama dua hari itu kalau dinilai kapasiti tempat duduk di dewan ini hanyalah 1,200. Daripada jumlah itu hanya sebahagian tiket dijual dengan harga RM250. Selebihnya RM200, RM150, RM80 dan RM50.

“Apa yang penting persembahan ini mampu meninggalkan kesan mendalam dengan karya terbaik orang terdahulu diangkat angkatan muda dan popular seperti Siti Nurhaliza.

“Dalam merencanakan persembahan ini saya turut mendapatkan pandangan mereka yang akrab dengan Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan Puan Sri Saloma termasuk daripada anak Allahyarham iaitu Nasir P Ramlee yang kini bertugas di IB,” katanya.

Beberapa penyanyi muda turut ditampilkan sebagai artis jemputan seperti Fazli Zainal, kumpulan Isketambola dan Musly. Walaupun tiada waris seniman agung tampil di pentas membuat persembahan tetapi menurut penganjur, mereka diundang sebagai tetamu khas bagi menyaksikan persembahan ini.

Pada majlis sidang akhbar itu, IB melahirkan kebimbangan tidak ramai peminat berpeluang menyaksikan Konsert Istana Cinta kerana persembahan hanya berlangsung selama dua malam.