Inikah Potret Seorang ?Diva??

Katarsis Kualong

KRISDAYANTI yang baru sebulan bernikah dengan kekasih hati, Raul Lemos mengumumkan bahawa pada ketika ini dia sudah mengandung empat bulan.

Sudah pasti berita itu menjadi tamparan hebat terutamanya buat peminat artis berkenaan baik di Malaysia mahupun Indonesia.

Selaku sahabat baik KD, saya tidak pasti pula bagaimana Siti Nurhaliza menerima berita berkenaan.

Hamil itu satu hal. Terfikir di benak saya, bagaimana KD boleh seberani itu mendedahkan ke media bahawa dia sudah hamil empat bulan?

KD seolah-olah mahu satu dunia tahu bahawa dia dan Raul sebenarnya ‘sangat’ bertanggungjawab atas segala perbuatan mereka dengan cara tidak menyembunyikan cerita itu.

Tetapi dalam masa yang sama saya terfikir, apakah ada sebarang rahsia yang kita sendiri tidak tahu mengenai hubungan mereka sebelum ini?

Secara tiba-tiba saya teringat semula kepada cerita bahawa sebenarnya pasangan ini telah lama bernikah.

Malah KD, ketika saya temui pertengahan tahun 2010 di rumahnya telah memakai sebentuk cincin berlian di jari manisnya. Dan ada rakan media Indonesia memberitahu saya bahawa ketika itu KD dan Raul baru saja bernikah secara rahsia.

Sewaktu berkunjung ke rumahnya di Pondoh Indah, Jakarta Selatan pada Ramadan yang lalu itulah, saya sempat bertanyakan cerita itu kepada KD.

Dalam kamarnya sendiri, kami hanya berdua dan saya mencari keberanian untuk bertanya soalan itu. Itu pun setelah dia memberitahu Raul sering ke rumah agamnya itu setiap kali ke Jakarta. Malah anak-anak serta ibunya sendiri sudah semakin mesra dan menerima Raul sebagai ahli keluarga, kata KD ketika itu.

‘Khabarnya kamu dan Raul memang sudah bernikah, apa benar?’ tanya saya.

KD diam seketika sebelum kemudian dia memegang bahu saya, menyorot mata saya dengan pandangan dalam dan berkata begini.

‘Soal kami sudah bernikah atau belum, hanya kami yang tahu. Ia menjadi rahsia kami berdua, nanti kalian akan tahu juga,’ katanya dalam senyum, membayangkan sedang sangat bahagia dengan lelaki baru.

KD juga berkongsi cerita betapa dia cukup suka akan aroma bau badan lelaki itu yang dikatakan wangi kerana tidak merokok. Raul juga kalau berjalan mahu KD sentiasa di samping tidak berasingan.

Ketika makan tidak boleh duduk saling berdepan sebaliknya perlu berada di sebelah supaya pada bila-bila masa boleh mencapai tangan antara satu sama lain.

Justeru, kala minggu lalu KD mengumumkan dia hamil empat bulan, saya kembali teringat akan kenyataan beliau itu.

Apakah ada kemungkinan dia sebenarnya sudah menikah awal dengan Raul, tanpa pengetahuan kita semua?

Apatah lagi pada ketika itu Raul sebenarnya masih bergelar suami kepada Atha, maka ada sebab untuk mereka merahsiakan pernikahan awalnya itu.

Lalu untuk apa ada pernikahan lagi pada Mac lalu? Apakah ia diadakan sekadar untuk ‘menyimpan’ cerita pernikahan awal mereka?

Siapa tahu, barangkali itu juga mungkin berlaku. Saya beranggapan begitu kerana perkahwinan ‘gaya’ itu telah berlaku di kalangan artis kita sendiri sebelum ini.

Di Malaysia pun ada artis yang sudah berkahwin, bila ditanya bagai nak ‘rak’ buat penafian, malah ada yang tidak takut bersumpah.

Tetapi bila sampai satu masa yang mereka fikir sudah sedia untuk buat pengumuman, beberapa bulan kemudian mengakulah mereka dan boleh pula buat majlis secara besar-besaran seperti tiada apa-apa.

Siapa tahu kalau KD juga mengunakan modus operandi yang sama? Justeru kita yang tidak tahu duduk perkara sebenar, usahlah terlalu banyak berkata itu dan ini. Usah terlalu banyak mengeji dan menghina sedangkan kita sendiri tidak pasti, apa sebenarnya di sebalik cerita.

Apapun keadaannya, inilah potret sebenar seorang diva. Artis, karyawan mahupun seniman mempunyai cara kehidupan yang tidak mampu dipunyai oleh insan biasa. Kehidupan mereka penuh dengan cerita, sarat debaran, kacau-bilau dan biasanya penuh dengan teka teki yang tidak berkesudahan.

Kehidupan KD sendiri penuh dengan warna-warni, sanggup meninggalkan suami (Anang) yang sudah memberikannya dua anak semata-mata kerana mencintai seorang lelaki lain (Raul). Apakah banyak wanita lain yang ‘seberani’ dia?

Belum lagi dengan pelbagai kisah panas yang dituang dalam biografi peribadinya bagaimana dia pernah terjebak dengan najis dadah dan terbaru terbuka dalam soal kehamilan yang mengundang ‘nista’ bukan sedikit, apakah ada wanita lain yang sebegitu jujur pada dirinya sendiri?

Saya fikir tidak ramai yang mampu melakukannya. KD adalah seorang yang sering berlaku jujur pada diri sendiri, tanpa peduli apa orang mahu kata. Kepadanya, tidak ada perkara yang paling istimewa dalam kehidupan selain daripada berdamai dengan diri sendiri.

Utusan