Ini Gosip Tak Berasas – Datuk K


SITI dan Datuk K dikerumuni wartawan yang ingin mengetahui kisah panas kononnya penyanyi wanita itu dimadukan.

GOSIP paling hangat ketika ini tentunya kisah Datuk Seri Khalid Mohd. Jiwa (Datuk K) berkahwin dengan seorang pramugari dari Ipoh, Perak di kota London. Isterinya, penyanyi tersohor Datin Seri Siti Nurhaliza sudahpun menafikan dia dimadu dan bertegas bahawa itu gosip semata-mata.

Namun masih ramai yang tidak berpuas hati dengan penjelasan itu selagi tidak mendengar daripada mulut Datuk K sendiri mengenai perkara tersebut.

Justeru pada majlis memperkenalkan artis Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn. Bhd. (SNP) di Yayasan Tun Abdul Razak, di Kuala Lumpur Selasa lalu, wakil media mengambil kesempatan bertanyakan gosip tersebut kepada Datuk K.

“Perkara ini (gosip) pernah berlaku,” demikian kata Datuk K dengan senyum manisnya. Siti yang tenang di sebelahnya juga sesekali mencelah memberitahu, sebagai artis, dia perlu sentiasa bersabar menghadapi setiap fitnah yang melanda.

“Perdana Menteri pun menghadapai perkara seperti ini, tapi Siti sentiasa berdoa terus dikuatkan hati Siti. Selagi ada fitnah, selagi itu Siti kuat untuk menghadapinya,” kata Siti.

Apa pun, kita minta Datuk K tolong jawab segala persoalan mengenai gosip beliau berkahwin lain yang dianggap antara terhangat pada ketika ini.

Boleh Datuk komen tentang gosip Datuk memadukan Siti yang hangat ketika ini?
Benda-benda begitu adalah gosip-gosip yang tak berasas. Saya tidak tahu dari mana atau daripada siapa? Saya pelik kenapa ramai yang suka mengambil kisah-kisah yang tidak berasas begini. Inilah akibatnya kalau kita mempercayai Internet. Daripada gosip kecil ia boleh merebak menjadi besar apabila ada orang mempercayainya.

Jadi Datuk mahu menafikannya?
Saya menafikan sekeras-kerasnya. Tak ada kebenaran tentang gosip berkahwin lain.

Datuk sedar tentang kewujudan gosip tersebut?
Ya, gosip berleluasa. Kawan-kawan saya tidak kira dari utara hingga selatan sibuk bertanya kepada saya tentang kesahihan berita itu. Kawan-kawan di Kuala Lumpur pula, kalau berjumpa saya, pun sibuk bertanyakan hal berkenaan. Tak baik buat cerita di bulan Ramadan begini. (Tersenyum)

Bagaimana pula Siti menghadapi gosip panas ini?
Dia tak percaya tapi ada juga bertanya (ketawa). Sebenarnya sejak saya berkahwin dengan Siti, 99 peratus masa saya bersama dengannya. Saya tak pernah pun bercuti sendirian apa lagi nak ke London berseorangan. Kalau ada pun saya tinggalkan Siti, itupun sekejap kerana menguruskan hal-hal berkaitan kerja.

Bila gosip ini hebat melanda, apakah Datuk akan menyiasat punca gosip ini?
Saya tak berminat untuk ambil tahu. Hanya buang masa. Ini bukan kali pertama. Dulu gosip menular kata saya pukul Siti. Saya buat laporan polis tapi akhirnya gosip itu senyap dan lenyap begitu sahaja. Jadi pada saya, buat apa nak layan perkara-perkara begini. Kita kalau layan mereka yang buat gosip ini, bermakna agenda mereka berjaya.

Apa harapan Datuk dengan penjelasan yang telah dibuat ini?
Saya harap dengan penjelasan ini akan menamatkan gosip-gosip liar ini. Tapi ia (gosip) sesuatu yang orang suka dan ia akan terus ada. Kita tak tahu apa pula selepas ini.

Tapi pepatah ada menyatakan, kalau tak ada angin, pokok takkan bergoyang?
Mana tahu kalau ada monyet yang goncang (ketawa).

Ini adalah harga yang perlu saya bayar apabila berkahwin dengan Siti, berkahwin dengan seorang penyanyi terkenal.

Wakil media yang mengerumuni pasangan tersebut sempat juga bertanya kepada Siti mengenai isi hatinya terhadap gosip yang melanda. Dengan tenang dan tersenyum penyanyi itu mengungkai segala persoalan.

Sebagai isteri takkan Siti tidak terasa langsung dengan gosip yang tersebar?
Bila baca memang tak terlintas langsung. Orang ini (yang menyebarkan gosip) memang mahu melihat Siti melenting tapi Siti tak pernah melayan. Malah bila membaca atau mendengarnya pun, sebesar kuman pun tak mempercayainya. Tetapi Siti tetap bertanyakan kepada Datuk mengenainya.

Bila timbul gosip begini, bagaimana reaksi Siti? Apakah kepercayaan Siti terhadap suami tergugat?

Tidak! Siti percayakan Datuk. Sejak Siti mula bertemu dengan Datuk hinggalah sekarang, kami mengamalkan kejujuran. Kami tidak pernah sorok apa juga perkara. Lagipun dia sentiasa berada di sisi Siti. Sebagai isteri apa yang lebih Siti pentingkan bukanlah melayan cerita-cerita yang tidak benar begini. Tetapi juga menjadi isteri yang menjalankan tanggungjawab sebaiknya buat suami.

Tubuh badan Siti nampak susut sikit?
Ini kerana diet (tersenyum). Siti jaga makan. Siti sebenarnya dah berpuasa sebelum Ramadan lagi dan tak sangka pula, badan ini cepat turun. Dah lama sangat berisi. Jadi Siti tekad untuk nak kuruskan badan.

Bagaimana dengan aktiviti seni Siti buat masa ini? Ada yang kata Siti akan berlakon filem?
A. Razak Mohaideen ada bertanya kepada Datuk mengenai hal berkenaan dan kami belum berbincang tentangnya. Bukannya apa, Siti memang tak berminat berlakon. Cuma Siti akan membuat penampilan istimewa (cameo) dalam drama Spa Q musim kedua dan akan menyanyikan lagu temanya.

Utusan Malaysia