Hukuman Berat Terhadap Cetak Rompak.

“KUALA LUMPUR: Gejala cetak rompak boleh dibendung jika hukuman terhadap lanun-lanun cetak rompak benar-benar berat dan mampu menghindari mereka daripada melakukannya, kata penyanyi terkenal Siti Nurhaliza.
“”Lanun cetak rompak hidup mewah dan kaya-raya malah menjadi jutawan hasil perbuatan mencetak rompak usaha kami. Denda maksimum RM50,000 sekalipun tidak membawa makna kepada mereka,”” katanya dalam satu temuramah, di sini.

Mengulas cadangan pindaan Akta Hakcipta 1987 yang dibentangkan pada sesi Parlimen 14 Feb lalu, Siti Nurhaliza berpendapat pembuat dan pengedar cetak rompak wajar dikenakan hukuman penjara seumur hidup sejajar dengan perbuatan mereka yang menyebabkan kerugian besar kepada industri rakaman.

Dengan mewakili para artis tempatan, beliau meluahkan rasa gembira kerana pindaan Akta Hakcipta 1987 mampu membuatkan para artis bernafas lebih lega.

Mengikut pindaan Akta Hakcipta itu, denda maksimum sebanyak RM50,000 atau lima tahun penjara boleh dikenakan terhadap sesiapa yang merakam persembahan langsung artis tanpa kebenaran. Siti Nurhaliza berpendapat hak dan sumbangan para artis wajar dibela dan dihargai semua pihak memandangkan golongan artis turut menyumbang kepada ekonomi negara.

Beliau juga menyatakan rasa kesal dan sedih kerana kesemua albumnya — enam album solo dan empat album bersama artis-artis lain – telah dicetak rompak.

“”Lanun cetak rompak memang bijak. Belum sempat kami edar album di pasaran, mereka sudah laris menjual kaset, cakera padat (CD) dan cakera padat video (VCD) tiruan di pasaran,”” katanya. Siti Nurhaliza berkata punca pendapatan para artis bergantung kepada bayaran royalti dan mereka perlu menunggu enam bulan untuk mendapatkan royalti itu.

“”Dalam tempoh enam bulan, punca pendapatan kami tidak menentu dan kami banyak mengharapkan pelawaan penganjur untuk mengadakan persembahan,”” katanya. Beliau turut menghargai para peminatnya yang sering menghantar e-mel dan memberi maklumat mengenai aktiviti penjualan bahan-bahan cetak rompak.

Siti Nurhaliza juga mengakui sesetengah peminatnya terpaksa membeli kaset, CD dan VCD tiruan kerana mereka tidak sabar menunggu keluaran yang tulen. Dalam pada itu, Pengarah eksekutif Industri Rakaman Malaysia (RIM) Sandy Monteiro berkata RIM membelanjakan antara RM1.5 dan RM2 juta setahun untuk memerangi cetak rompak.

“”Ia adalah satu bebanan kepada industri rakaman dan yang terpaksa menanggung kosnya ialah pengguna sendiri,”” katanya. Beliau berkata pada 1996, perolehan tahunan anggota-anggota RIM ialah RM250 juta dengan menyediakan hampir 2,000 pekerjaan.

Industri yang berkaitan iaitu menerbit, studio rakaman, mencetak, pembikinan CD dan kaset turut menjana hasil tambahan sebanyak RM250 juta kepada 3,000 pekerja, katanya. “”Selain menyebabkan kami kerugian 50 peratus pada tahun lepas dan satu pertiga daripada semua kerja di industri itu telah hilang, cetak rompak juga dianggarkan mengawal RM130 juta di pasaran, menyebabkan kerugian cukai sebanyak RM40 juta kepada kerajaan,”” katanya.

Monteoro juga berkata kegiatan cetak rompak menguasai lebih 90 peratus pasaran video menyebabkan dua pengedar utama video – Buena Vista/Disney dan CIC (Paramount, Universal dan MGM) – menutup pejabat mereka di sini.

Menurutnya pengeluar VCD yang tulen terpaksa membayar kepada artis, penulis lagu, pemuzik, artis grafik, kakitangan promosi, pengiklanan dan sebagainya sedangkan lanun cetak rompak hanya membayar harga plastik. Bernama

http://www.myartis.com/”