Hos Rancangan Tv Indonesia.

PENYANYI Siti Nurhaliza terpilih untuk muncul dalam rancangan hiburan stesen televisyen Indosiar, Indonesia malam semalam.

Sesudah kisahnya mendapat tempat di halaman pertama akhbar Pos Kota April, kini Siti Nurhaliza menjadi penyanyi Malaysia pertama muncul dalam rancangan hiburan Indosiar.

Penyanyi dari Pahang ini diberi penghormatan menjadi hos rancangan Satu Jam Bersama Siti Nurhaliza yang disiarkan secara langsung dari studio satu stesen itu.

Siti Nurhaliza memulakan acara dengan menyanyikan lagu Bisikan Asmara dan diikuti dengan lagu Kesilapanmu.

Sesudah bercerita mengenai masa kecil dan keluarganya untuk mengiringi klip video Siti Nurhaliza menyampaikan lagu Kaulah Segalanya.

Kemudian Siti bercakap mengenai ciri-ciri teman lelaki impiannya serta penyanyi pujaannya di Malaysia dan Indonesia sebelum berduet dengan penyanyi Indonesia Yana Julio. Mereka menyanyikan lagu We Could Be In Love.

Seorang lagi tetamu yang diperkenalkan Siti Nurhaliza ialah penyanyi veteran yang masih diminati iaitu Harvey Malaiholo. Mereka kemudian menyanyikan lagu Words.

Menurut Nurhaliza, dia kini sudah empat kali ke Indonesia dan berasa senang dengan sambutan peminat di republik itu khususnya di Jakarta.

Mengakhiri rancangan, Siti menyanyikan lagu yang menjulang namanya di Malaysia dan Indonesia iaitu Betapa Aku Cinta Pada Mu yang turut menunjak namanya hingga diminati oleh warga Indonesia.

Sebaik selesai Siti Nurhaliza turun dari pentas dan menghampiri penonton di studio untuk bersalaman dan berpelukan dengan peminatnya.

Source: Berita Harian (Dated 23-8-97)