Hitam Menawan

Hitam menawan
Oleh Bennie Zie Fauzi
bennie@bharian.com.my
2011/04/24
gambar sebelum  gambar berikut
Foto

Foto

Foto

Pereka fesyen, Zery Zamry bangkitkan seri kediaman dwifungsi hasil padanan rona gelap dan warna terang

KEBANYAKAN budaya dunia melabelkan hitam sebagai warna kematian, misteri selain dijadikan perantara serta simbol penentangan terhadap sesuatu isu tidak dipersetujui. Keadaan sebaliknya bagi kaum pribumi di Amerika yang menganggap hitam sebagai warna membawa tuah kerana melambangkan kemasyhuran hasil bumi serta kesejahteraan kehidupan di dalamnya.
Dalam konteks busana fesyen, hitam mampu menyembunyikan tubuh gempal namun tidak disyorkan sebagai latar belakang hiasan dalaman kerana menyebabkan ruang nampak kelam dan terhimpit.
Namun, dalam begitu banyak perkara kurang enak dituturkan mengenai hitam, pereka fesyen, Zery Zamry, sebaliknya menganggapnya sebagai rona terbaik bagi ilham penataan moden klasik bagi kediamannya di ibu negara itu.

“Tiada warna lain mampu menandingi hitam dalam meminjamkan gaya anggun dan klasik.

“Sebelum memilihnya, saya sedia maklum mengenai kelemahannya yang menyebabkan ruang gelap dan sesak namun boleh diatasi melalui pencahayaan bersesuaian,” katanya yang mengaku menyukai warna hitam sejak kecil.

Namun, kata Zery memasang sejumlah besar lampu menyumbang kesan berbahang di ruang terutama pada siang hari sekali gus menuntut penggunaan alat pendingin hawa membabitkan kawasan penting ruang tamu dan sudut mencuba pakaian.

Bahkan, demi mencipta kesan luas secara ilusi, dua cermin besar dipasang di dinding namun kedudukannya perlu saling mengadap selain mengusulkan aras ketinggian lebih kurang sama.

“Sebaiknya, pilih yang lebar ukurannya dengan ketinggian hampir mencecah siling. Berdasarkan pengalaman, saya akui sukar mencari cermin sebesar itu melainkan menerusi tempahan khas saja. Itulah yang saya lakukan dan hasilnya, dinding tumpu itu tidak perlukan hiasan sampingan lain lagi. Sebuah cermin besar memadai memberi impak luas dan lapang yang saya cari selama ini,” katanya.

Memahami hitam juga berpotensi disalah anggap sebagai warna rasmi dan membosankan, Zery berusaha mengubah tanggapan dengan menyelitkan pelbagai unsur warna difikirkan menarik serta serasi konsep seperti putih, perak, kuning keemasan, merah jambu dan ungu.

“Sungguhpun taksub memilih hitam, saya tak mahu berada dalam suasana suram dan tertekan. Sebab itu, saya selitkan juga warna lain seperti ungu bagi langsir, putih melatari bingkai cermin selain kusyen hiasan warna dramatik perak, putih, merah jambu dan ungu kemerahan,” katanya.

Apapun, keputusan menjadikan hitam warna tunjang banyak didorong oleh perabot dari rumah lama yang rata-ratanya mengutarakan warna itu. Bahkan, demi diangkat menjadi perabot tumpu, bangku cleopatra yang dulunya bermotif pua kumbu diubah sepenuhnya kepada hitam pekat yang disifatkan lebih selaras tema hiasan ditampilkan.

“Sewaktu terjebak dengan gaya Bali dulu, bangku berkenaan memaparkan fabrik pua kumbu namun sebaik bertekad mencuba klasik moden, sarungnya ditukar kepada hitam pekat. Bukan itu saja, rangka kayunya turut dicat warna kuning keemasan yang bagi saya, lebih menepati konsep dan tuntutan cita rasa klasik,” kata pemuda yang begitu mengagumi ikon fesyen tersohor Arab, Elie Saab meskipun sentuhan kreatifnya turut meraih dunia fesyen tempatan menerusi busana memikat yang sering disarungkan selebriti popular tanah air, antaranya Datuk Siti Nurhaliza, Erra Fazira dan Natasha Hudson.

Bercerita lanjut mengenai teres dua tingkat didudukinya ini, kata Zery, selain menjadi tempat tinggalnya bersama pekerja, rumah yang baru empat bulan usianya itu turut berfungsi sebagai butik selain bengkel menjahit.

Berbanding sesetengah orang menganggap bekerja dari rumah membunuh hak privasi, Zery sebaliknya menganggap ia berupaya menghilangkan tekanan kerja, santai selain menyajikan keselesaan seolah berada di rumah buat pelanggannya.

“Lagipun, bukan seluruh ruang terbabit kerana bilik tidur kekal menjadi tempat larangan. Saya masih percaya mengenai keperluan menyediakan sebuah ruang khas khusus memenuhi keperluan berehat dan menenangkan fikiran. Melainkan itu, ruang selebihnya saya dedikasikan sebagai ruang mencari ilham fesyen terbaru juga tempat mencari rezeki,” ujarnya yang berhasrat mengekalkan tema hitam serta moden klasik buat beberapa tahun mendatang.

INFO: Kediaman Zery

Hitam dijadikan tunjang hiasan dalaman diselangi warna sokongan putih, perak, merah jambu dan ungu.

Mengaku belum sempat menyempurnakan hiasan dalaman kerana tidak sampai empat bulan berpindah ke rumah itu.

Memilih cermin dinding untuk mendapatkan suasana lapang dan luas. Sementara, pencahayaan putih dan alat penghawa dinding berupaya meredakan ketegangan ditimbulkan latar hitam perabot dan kemasan.

Berita Harian