Hati Siti tersentuh di Singapura

ImageShack
KONSERT Diari Hati Siti Nurhaliza merupakan konsert solo pertama Siti selepas mendirikan rumah tangga dengan Datuk K pada Ogos 2006.

DALAM banyak-banyak konsert atau persembahan yang pernah dijayakan oleh penyanyi terkenal Datuk Siti Nurhaliza Taruddin, persembahan di Esplanade Theatre Singapura minggu lalu barangkali paling menyentuh hatinya.

Masakan tidak, di celah-celah hampir 1,800 penonton yang menyaksikan Konsert Diari Hati Siti Nurhaliza, terselit seorang peminat yang cukup istimewa buat penghibur itu.

Sifatnya tidak sesempurna jutaan peminat Siti yang lain. Matanya buta, namun dek kerana cinta dan kasihnya pada penghibur kesayangan ramai itu, Zarina tidak mempedulikan kekurangan dirinya untuk hadir memberi sokongan pada Siti.

“Mulanya Siti tidak sedar kehadirannya, hanya selepas menyampaikan tiga buah lagu, Siti nampak kelibatnya yang sedang leka menghayati lagu yang Siti nyanyikan.

“Menyedari itu Zarina, Siti lantas mengundangnya ke pentas,” kata Siti berkongsi cerita dengan Hits mengenai kehadiran tetamu istimewanya pada malam Konsert Diari Hati Siti Nurhaliza.

Hati penyanyi mana yang tidak akan tersentuh melihat peminat yang kurang sempurna sifatnya menggagahkan diri hadir sendirian ke konsert itu walaupun tanpa pernah melihat wajah manis artis yang diminatinya.

Sebaik dia dipimpin ke pentas untuk berdiri di sisi Siti, seluruh pandangan audiens tertumpu pada si manis yang begitu girang kerana menjadi peminat bertuah yang mendapat perhatian biduanita muda itu.

Biar penglihatan tidak mengizinkannya menatap wajah artis yang sudah menghiburkan peminat-peminatnya lebih sedekad, namun kepuasan tergambar pada wajah Zarina.

Kegembiraan juga barangkali perkataan yang paling tepat untuk menggambarkan perasaan Zarina yang selama ini hanya mengenali suara merdu Siti.

Dan ketika Zarina di pentas menemani Siti juga, suasana berubah daripada kegembiraan yang sedang dinikmati sebelum ini menjadi hening seketika.

Bahkan, Siti sendiri ketika merakamkan penghargaan dan rasa kasihnya pada Zarina menjadi terlalu emosional.

Selepas berborak dengan Zarina, Siti menyampaikan lagu Bisikan Hati (nyanyian asal Allahyarham Datin Rafeah Buang) suasana ketika itu menjadi cukup syahdu.

Gejolak rasa

Audiens yang ada pada malam itu bersama-sama Siti tidak mampu membendung gejolak rasa menyebabkan ada yang menitiskan air mata.

“Sudah lama Siti mengenali Zarina. Dia sentiasa tidak melepaskan peluang menonton persembahan Siti setiap kali Siti berkunjung ke Singapura.

“Siti sangat terharu dan menghargai sokongannya selama ini. Katanya dia datang seorang diri malam itu. Bahkan ketika membeli tiket juga, dia bersendirian tanpa sesiapa menemaninya.

“Zarina juga sempat berbisik kepada Siti mendoakan Siti cepat menimang cahaya mata. Semoga Allah sentiasa melindunginya,” jelas penyanyi yang juga isteri kepada usahawan ternama, Datuk Khalid Mohammed Jiwa atau Datuk K dalam nada terharu.

Selain ingatan terhadap Zarina yang masih melekat di ruang fikirannya, Siti juga menyatakan rasa terima kasih kepada peminat-peminatnya di Kota Singa kerana masih setia menyokongnya.

Masakan tidak, Konsert Diari Hati Siti Nurhaliza tempoh hari merupakan konsert solo pertamanya selepas mendirikan rumah tangga dengan Datuk K pada Ogos 2006.

Bahkan, persembahan itu merupakan yang pertama selepas dia melakar kejayaan industri hiburan tanah air apabila mengadakan konsert solo di Royal Albert Hall, London pada 1 April 2005.

Berlangsung selama 90 minit, Siti merumuskan konsert berkenaan berjaya mencapai hasratnya untuk menghiburkan peminat-peminat dalam suasana santai.

“Siti sangat menggemari konsert yang berlangsung tempoh hari. Ia sangat santai dan Siti dapat merasakan yang Siti begitu dekat dengan peminat-peminat,” ujarnya lagi.

Tema pemilihan konsert akustik itu dicadangkan oleh pengurusan penganjur dan dipersetujui oleh penyanyi lagu Cindai itu kerana berpendapat, ia begitu jarang dilakukannya.

Pada masa yang sama, Siti berpendapat, sebelum ini, dia sudah puas menjayakan pelbagai konsert yang bertaraf mega.

“Sesekali untuk mengelakkan kebosanan peminat, Siti bersetuju untuk menjayakan konsert akustik dan Alhamdulillah, ia sangat memuaskan hati Siti,” katanya mengenai konsert yang diketuai oleh Aubrey Suwito sebagai pengarah muzik.

Rasional Siti bersetuju untuk menjayakan konsert sederhana itu juga adalah kerana, persetujuan yang dicapai oleh pihaknya dan pengurusan Esplanade serta penganjur berlaku dalam waktu yang singkat.

Lantaran kesuntukan masa ditambah dengan komitmen Siti, maka ketiga-tiga pihak mencapai kata sepakat konsert itu dianjurkan dalam konsep akustik dan diadakan semalam saja.

“Cukuplah semalam saja. Lepas ini, Siti dan pihak pengurusan akan rancang konsert yang lain pula terutamanya untuk peminat-peminat Siti di Malaysia pula,” janji Siti memberi harapan buat peminat-peminatnya di tanah air.

Kesempatan beraksi di Konsert Diari Hati Siti Nurhaliza juga memberi peluang kepada anak seni kelahiran Pahang itu berkongsi pelbagai kisah hidup dengan peminat-peminatnya.

Kata Siti, sebahagian daripada cerita pada malam konsert itu berkisar mengenai kehidupan peribadinya terutamanya selepas bergelar isteri.

“Tidak ketinggalan, Siti turut membawa ingatan peminat terhadap saat-saat manis yang pernah Siti lalui di Singapura,” jelas Siti lagi mengenai konsert solo sulungnya di Esplanade Theatre itu lagi.

Gambaran kehidupan Siti bermula sebagai juara Bintang HMI 1996 sehingga dilamar sebagai artis rakaman Suria Records dan kemudian masyhur menerusi single Jerat Percintaan sehinggalah mencapai kedudukan artis nombor satu negara diterjemahkan menerusi seleksi lagu yang dinyanyikannya tempoh hari.

Rangkaian lagu Ku Mahu, Cindai, Biarlah Rahsia, Siti Situ Sana Sini serta medley lagu-lagu seniman kelahiran Singapura, M. Nasir seperti Suatu Masa dan Ada merupakan antara lagu yang menjadi pilihannya pada malam Konsert Diari Hati Siti Nurhaliza.

Tidak ketinggalan di hadapan peminat tiga negara jiran Singapura, Malaysia dan Indonesia itu juga Siti turut mendapat sokongan daripada penyanyi-penyanyi latar Swara.

Sementara bagi memberikan impak yang berkesan pada persembahan tempoh hari juga, barisan pemuzik hebat seperti Nan dan Aji pada posisi gitar, Andy Peterson (bass), John Asley Thomas (dram) dan Steve Thornton (perkusi) serta Aubrey Suwito (keyboard) menjadi tulang belakang kejayaan Konsert Diari Hati Siti Nurhaliza. – DEAN