Hamparan mutiara Rafflesia hiasi gaun pengantin Siti Nurhaliza

Apa yang penting, set barang kemas itu haruslah sesuai dengan konsep gaun pengantin rekaan Khoon Hooi

TINGGAL lapan hari saja lagi jari jemari Siti Nurhaliza akan disarung cincin nikah dan merah berinai. Ketika ini semua persiapan yang perlu sedang rancak dilakukan bagi menyambut hari paling bersejarah dalam hidup penyanyi itu.

Khamis lalu, Bintang Popular berpeluang menemui Siti dan bakal suaminya, Datuk Khalid Mohamad Jiwa, ketika mereka berkunjung ke butik barang kemas terkemuka, Rafflesia The Pearl Centre, di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur, untuk memilih barang kemas yang akan diperagakan pada hari persandingannya di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 28 Ogos ini.

Pada hari itu, Siti kelihatan ceria memilih kalung, subang dan cincin yang difikirkan sesuai untuk diperagakan bersama baju pengantinnya yang dicipta khas oleh pereka fesyen kegemarannya, Khoon Hooi.

Kesudian Rafflesia menaja set barang kemas berserta tiara pengantin yang eksklusif itu bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana sejak sekian lama, Siti memang rapat dengan pemilik butik itu, Winnie Sin dan suaminya, Mr Sin.

Malah sebelum ini Siti, 27, pernah menerima hadiah set mutiara Rafflesia berharga RM150,000 sewaktu memenangi gelaran Bintang Paling Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2004 (ABPBH 2004).

Dengan nasihat Khoon Hooi yang turut berada bersama mereka pada petang itu, Siti kelihatan asyik memilih dan mencuba pelbagai kalung, subang serta cincin mutiara bertatah berlian yang ditunjukkan satu-persatu oleh Winnie.

Hai, rambang mata juga Siti memilih mana yang sesuai kerana semuanya cantik-cantik belaka!

Sesekali, Siti merujuk juga kepada Khalid yang sememangnya mempunyai cita rasa tersendiri dalam memilih barang kemas untuk bakal isteri kesayangannya itu.

Apa yang penting kata Khoon Hooi, set barang kemas yang dipilih Siti itu haruslah kena dengan konsep gaun pengantin rekaannya.

Lebih menarik, baju yang menggunakan fabrik sutera satin dari Itali itu akan turut ditaburi ribuan mutiara putih Rafflesia pada bahagian bawahnya!

“Ya, tadi Siti sudah pergi ke butik saya untuk membuat fitting. Jahitan dan ukurannya memang perfect,” kata Khoon Hooi yang tidak sabar-sabar melihat hasil akhir busana rekaannya itu. Kata Siti pula: “Siti terharu kerana Khoon Hooi dan Rafflesia sudi menaja salah satu gaun pengantin. Siti cukup hargai erti persabahatan yang terjalin antara Siti dan mereka yang pernah bekerjasama dan menyokong Siti selama ini.” Hari itu Siti kelihatan simple tanpa sebarang mekap kecuali bergincu nipis.

Khalid yang duduk bersandar di sofa empuk bertentangan Siti pula kerap tersenyum dan sesekali bersuara.

“Ketika ini, kita memanglah sibuk tetapi semuanya OK, insya-Allah,” kata Khalid kepada penulis. Beliau tampak begitu berketrampilan dalam sut kelabunya.

Tidak lama kemudian, Siti turut mencuba beberapa tiara daripada koleksi Rafflesia untuk dipadankan dengan buasananya kelak.

Bagi menyesuaikan dengan konsep fesyen pengantin, Winnie berkata, pihaknya akan cuba menyulam butiran kecil mutiara pada tiara itu kelak selain kasut yang akan dipakai Siti.

“Kami amat terharu kerana dapat menaja barang kemas untuk salah satu acara pada hari perkahwinannya nanti (28 Ogos),” kata Winnie yang turut menyerahkan seutas kalung mutiara berwarna kelabu kepada Siti sebagai hadiah perkahwinannya itu. Winnie bagaimanapun enggan menyebut berapa harga sebenar kalung itu yang sememangnya anggun dan sofistikated.

Sementara itu, kakak ipar Siti, Rozie Razak yang turut berada di situ, berkata satu sidang media khas akan diadakan pada 15 Ogos ini bagi memaklumkan beberapa perkara penting kepada semua jurugambar serta wartawan yang bakal membuat liputan terutama di Masjid Persekutuan, Jalan Duta serta Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

“Kita cuba mengelakkan sebarang kesulitan dan kesesakan pada hari akad nikah mahupun persandingan lebih-lebih lagi sewaktu di dalam masjid. Kita amat memerlukan kerjasama daripada semua pihak. Kita akan menjelaskan dengan lebih lanjut pada sidang media itu nanti,” katanya.

Ditanya mengenai artis yang akan membuat persembahan pada perkahwinan Siti, Rozie berkata, biarlah pihak TV3 mengumumkan mengenai perkara itu.

Namun difahamkan, penghibur Indonesia, Kris Dayanti akan hadir membuat persembahan manakala pengacara majlis pula adalah Zakiah Anas, Ishak Nengah (ayah Joe, anggota Too Phatt) dan Ally Iskandar. Kini Siti dan Khalid hanya membilang hari.

“Doakan kesihatan dan kesejahteraan Siti dan Datuk ya,” katanya sebelum berlalu meninggalkan butik barang kemas itu untuk menguruskan beberapa perkara lain.