Gelaran Ratu ‘Tiara’ kini milik Siti

06-12-2006 03:09:57 PM
Radin Sri Ghazali

siti-1.jpg
Datuk Siti Nurhaliza Tarudin sekali lagi mencipta namanya sebagai duta kepada Elegance Tiara Collection
(Foto The Star Oleh Ibrahim Mohtar)

KUALA LUMPUR: Datuk Siti Nurhaliza Tarudin sekali lagi melakar sejarah apabila dia dilantik sebagai duta kepada koleksi terhad, ‘Elegance Tiara Collection’ bertempat di Palace of the Golden Horses baru-baru ini .

Koleksi tersebut adalah hasil rekaan Tracy Ong iaitu pengasas kepada Elegance Club Sdn Bhd dan merupakan tiara eksklusif yang pertama di Malaysia.

ct44.jpg

Siti tetap anggun dan berseri walaupun sudah bergelar isteri (Foto The Star oleh Ibrahim Mohtar)

Ketika memberi ucapan alu-aluan kepada tetamu yang hadir, Siti tidak putus-putus menyuarakan kekaguman dan memuji kecantikan serta keanggunan koleksi tiara dari Elegance Club tersebut.

siti-3.jpg

Penglibatan Siti sebagai duta dikatakan tidak membebankannya daripada segi kerja
(Foto The Star)

“Siti amat bersetuju dengan moto Tracy Ong iaitu ‘A Thing of Beauty is a Joy Forever’ (Sesuatu kecantikan itu merupakan sebuah kegembiraan yang kekal untuk selamanya) dan kagum dengan rekaan koleksi terbaru serta terhad Elegance Club.

“Oleh itu, Siti berbesar hati untuk menjadi duta kepada koleksi ini,” ujarnya lagi.

Pereka yang berbakat besar itu juga pernah menaja kesemua tiara yang dipakai oleh Siti bagi majlis akad nikah serta persandingannya di KLCC dan Kuala Lipis.

Keserasian di antara Tracy dan Siti membuat penyanyi terkenal itu tidak teragak-agak untuk memberi kerjasama apabila diminta menjadi duta.

Bagi Tracy dia telah membuat satu pilihan yang tepat dengan memilih penyanyi berusia 28 tahun itu sebagai duta untuk koleksi tiara ekslusif yang akan berada di pasaran pada bulan Disember ini.

“Kami mempunyai kerjasama yang baik sejak dari dulu lagi. Malah, Siti begitu kagum dengan Tracy terutamanya daripada segi perniagaan kerana dia merupakan seorang wanita yang gigih berusaha,” ujar Siti ketika sidang akhbar yang berlangsung kira-kira sepuluh minit.

siti-2.jpg
Siti mengenakan tiara disaluti emas putih yang dihiasi dengan koleksi mutiara khas iaitu South Sea Pearls yang disulami ratusan butir belian
(Foto The Star)

Siti telah menandatangani perjanjian dengan Elegance Club Sdn Bhd selama setahun dan akan menggunakan koleksi tiara tersebut untuk beberapa majlis yang melibatkan Elegance Club Sdn Bhd..

siti-4.jpg

Siti kelihatan anggun dengan gaun tajaan Datuk Berrnard Chandran
(Foto The Star)

“Bagi Siti, endorsement ini tidaklah seberat mana kerana ianya hanya tertakluk kepada penggunaan tiara sahaja dan bukannya jenis barang perhiasan yang lain,” ujarnya yang kelihatan anggun dengan koleksi tiara ‘Throne of Pearls’ yang bernilai kira-kira RM 2 juta ringgit.

Tiara yang disaluti emas putih itu dihiasi dengan koleksi mutiara khas iaitu ‘South Sea Pearls’dan disertakan dengan ratusan butir berlian.

Pada malam yang sama juga, Siti Nurhaliza turut mengadakan persembahan tertutup di Palace of the Golden Horses sempena Malam Penghargaan untuk pelanggan-pelanggan setia Elegance Club.

Kesemua set barangan kemas untuk persembahan pada malam itu ditaja oleh Elegance Club.

Manakala busana Siti Nurhaliza ditaja oleh pereka tersohor negara, Datuk Bernard Chandran.