Gambar Bertuah

SUNGAI PETANI: Rakaman gambar penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin dengan peserta pertandingan mewarna membawa tuah kepada seorang jurugambar amatur apabila dinobatkan pemenang utama Pertandingan Fotografi di Pameran Foto Sempena Sambutan 20 tahun Harian Metro di pasar raya Tesco Sungai Petani Selatan, di sini, semalam.

Siti Mariam Ahmad, 31, dari Kampung Paya, Kepala Batas, Pulau Pinang mengambil gambar Siti dan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa ketika kedua-duanya mengunjungi tapak pameran itu pada 19 Februari lalu.

Hasil kemenangan itu, Siti Mariam membawa pulang hadiah berupa sebuah pencetak tajaan Canon.

Siti Mariam berkata, dia tidak menyangka boleh memenangi tempat pertama kerana gambar itu hanya diambil secara suka-suka ketika Siti melawat pameran itu.

“Saya memang minat dengan fotografi tetapi bukan terlalu serius. Apabila mengetahui Harian Metro turut menganjurkan pertandingan fotografi, saya terus hantar penyertaan kerana saya fikir gambar Siti Nurhaliza melawat pameran ini menarik,” katanya.

Selain pertandingan fotografi, pameran yang melabuhkan tirainya semalam sejak 12 Februari lalu turut dimeriahkan dengan pertandingan mewarna kanak-kanak dan kuiz mengenai Harian Metro.

Dalam pertandingan mewarna terakhir semalam, pasangan kembar, Muhammad Danish Eirman Abd Majid dan Muhammad Danila Eirfan, 10, mengungguli tempat pertama dan kedua bagi kategori 10 hingga 12 tahun. Tempat ketiga dimenangi Muhammad Ammiruddin Rodzi, 11.

Seramai 37 kanak-kanak berusia enam hingga 12 tahun menyertai peraduan mewarna yang dibahagikan kepada dua kategori iaitu enam hingga sembilan tahun dan 10 hingga 12 tahun.

Hadiah kepada pemenang disampaikan Eksekutif Foto Harian Metro, Abd Rahim Rahmat dan Eksekutif Kanan Pusat Sumber NSTP, Md Isa Jamil.

Pameran yang bermula sejak 12 Februari lalu melabuhkan tirainya semalam dan selepas ini akan diadakan di pasar raya Tesco Station 18, Ipoh bermula dari 5 hingga 18 Mac depan.

Harian Metro