Fragmen: Kenapa Sharifah Aini Gagal Tembusi DFP, IB?

Hip
Fragmen: Kenapa Sharifah Aini gagal tembusi DFP, IB?
Oleh Zainuri Misfar
zainuri@bharian.com.my
2012/05/21
Konsert Sharifah Aini yang diadakan di RTM, Angkasapuri, baru-baru ini.
Konsert Sharifah Aini yang diadakan di RTM, Angkasapuri, baru-baru ini.
HARI ini seorang lagi penyanyi muda, Najwa Mahaidin membuktikan kehebatan bakatnya di pentas eksklusif iaitu Dewan Filharmonik Petronas (DFP), KLCC.

Minggu lalu, di pentas yang sama menyaksikan persembahan Anuar Zain bergandingan dengan Dayang Nurfaizah. Beberapa bulan lalu, seorang lagi penyanyi muda, Yuna turut membuat persembahan di DFP.
Sememangnya membuat persembahan di DFP adalah satu peluang keemasan dan cukup bermakna kepada setiap penyanyi. DFP memang eksklusif dan ada prestij. Dewan persembahannya tidak besar. Maksimum mungkin sekitar 500 kerusi atau kurang. Orang ramai yang berpeluang menyaksikan mana-mana persembahan dalam DFP juga diwajibkan berpakaian formal. Malah diwajibkan memakai kot, jacket, sut atau batik sekiranya menyaksikan persembahan orkestra antarabangsa. Itulah disiplin dan prestij DFP, bukan saja kepada artis, tetapi juga penonton yang datang menyaksikan persembahan.
Sepanjang 10 tahun memang ramai nama besar, baik angkatan lama mahupun muda diberi tempat mengadakan konsert di DFP. Antaranya Tan Sri SM Salim, Datuk Yusni Hamid, Datuk Khatijah Ibrahim, Datuk Sheila Majid, Datuk Siti Nurhaliza, Ramli Sarip.

Daripada senarai itu, nama Datuk Sharifah Aini masih belum muncul dalam DFP. Pada hal, beliau adalah nama besar dalam dunia muzik. Anehnya, bukan di DFP, tetapi juga di Istana Budaya (IB).

Di IB pula, Siti Nurhaliza dan Jamal Abdillah sudah lebih sekali membuat persembahan di situ. Penyanyi lain yang sudah beraksi di IB termasuklah Datuk M Nasir, Amy Search, Wings dan kumpulan muzik era 60-an. Tapi Sharifah Aini? Kenapa tidak ada penaja atau penganjur yang berminat untuk membawa Sharifah Aini sama di pentas IB atau DFP?

Mustahil penyanyi bernama Sharifah Aini gagal menarik penonton sekiranya membuat persembahan di kedua-dua tempat itu. Tidak mungkin juga lagu-lagunya sukar untuk memikat jiwa pendengar mahupun peminatnya.

Persoalan di sini bukan kebimbangan menarik penonton tetapi kerana nama besar Sharifah Aini itu sendiri gagal memikat mana-mana pihak tampil sebagai penaja untuk persembahannya.

Oleh kerana Sharifah Aini nama besar yang bukan calang-calang orang, mungkin ada berpendapat biduanita itu patut dijemput sama ada oleh DFP atau IB. Adalah tidak mungkin Sharifah Aini hendak menawarkan diri membuat persembahan kerana ia sudah tentu menjejaskan maruah dan status sebagai biduanita yang sangat disegani.

Lainlah kalau Sharifah Aini sendiri memang tak kisah sama Ada dijemput atau tidak, cuma apa yang penting adalah kesediaan DFP dan IB memberi ruang kepada penyanyi ini.

Tapi untuk membawa masuk Sharifah Aini juga ada kosnya. Pihak mana pula yang bersedia tampil menjadi penaja untuk membiayai kos konsertnya. Itu belum tentu lagi dengan kesediaan untuk menghadapi kerenah penyanyi ini apabila mengadakan persembahan besar. Namun, kita percaya Sharifah Aini bukanlah penyanyi yang memberikan banyak masalah kepada mana-mana penganjur.

Masalah mencari penaja untuk menaja persembahan penyanyi tempatan bukan isu baru. Malahan dalam kes untuk menaja konsert Sharifah Aini, barang kali ada syarikat memikirkan adakah produk mereka sesuai dengan imej dan status penyanyi itu?

Timbul juga persoalan apakah Sharifah Aini mampu menarik penonton, terutama orang muda? Sekiranya sasaran konsert Sharifah Aini adalah untuk orang muda, belia dan mereka yang berusia 40 tahun ke bawah, sesuatu perlulah dilakukan pada lagu-lagunya supaya sentiasa segar di dengar.

Pada hari ini, kepada generasi muda mungkin akan terpinga-pinga kalau ditanya apakah lagu popular nyanyian Sharifah Aini. Mungkin ada yang tahu, tetapi berbeza kalau peminat itu daripada kalangan berumur 40 tahun dan ke atas.

Apa pun, sesuatu harus dilakukan supaya Sharifah Aini diberikan ruang dan peluang untuk mengadakan persembahan di pentas berprestij ini. Rundingan dan perbincangan boleh menghasilkan tolak ansur semua pihak demi memastikan penyanyi dan penghibur ini dapat menghiburkan peminatnya. – zainuri@bharian.com.my

Berita Harian