Festival Seni Istana Budaya, Dewan Filharmonik

Oleh MUHAMMAD SYAFIQ ROOS ANNUAR


Mohd. yazid zakaria

BUAT pertama kalinya, Istana Budaya (IB) dan juga Dewan Filharmonik Petronas (DFP) akan bergabung tenaga bagi menjayakan Festival Seni Pusat Konvensyen Kuala Lumpur 2011 (KLCC Seni Festival).

Persembahan yang akan diadakan di DFP pada 28 Oktober ini itu bakal menghimpunkan 50 pemuzik daripada Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) di bawah pimpinan konduktor muzik, Mohd. Yazid Zakaria.

Menurut Yazid, peluang yang diberikan kepada pihak IB untuk membawa muzik tradisional ke DFP cukup membanggakan.

“Sememangnya kerjasama pertama ini merupakan satu peluang yang tidak harus dilepaskan.

“Malah OTM juga telah membuat persiapan yang lengkap bagi memastikan semuanya berjalan lancar.

“Lebih mencabar, persembahan pada malam tersebut turut menggabungkan muzik daripada pelbagai lapisan kaum di negara ini.

“Ini membuatkan pemuzik kami lebih bersedia bagi memastikan persembahan yang disampaikan adalah yang terbaik,” jelasnya ketika ditemui di Istana Budaya, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pada malam tersebut, OTM bakal mempersembahkan kekayaan seni budaya melalui muzik dan lagu di samping menampilkan penyanyi undangan, Jaclyn Victor, Iqwal Hafiz dan juga kumpulan Orang Asli, Bahbola.

Antara lagu yang bakal dipersembahkan ialah Gemilang, Joget Kenangan Manis, Somewhere, Corazon Espinado, medley P. Ramlee, Pak Ngah Balik, Santubong, Sayang Kinabalu, Dondang Sayang, Empat Dara dan Zapin Budi.

Selain persembahan OTM di DFP, KLCC Seni Festival juga akan diserikan dengan persembahan Aswara Dance Company dan Ensembel Seni MPO hari ini pimpinan koreografer-koreografer terkenal tempatan seperti Joseph Gonzales, Shafirul Azmi dan Umesh Shetty.

Manakala pada Sabtu ini pula, giliran Seni Groove Ensemble mempersembahkan MPO’s Naive Foray, di bawah pimpinan pemain trombon MPO, Marques Young.

Mereka akan menyampaikan muzik daripada lagu-lagu Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Datuk Sheila Majid, Datuk Siti Nurhaliza, James Brown dan Ibrahim Ferrer.

Festival itu bakal berakhir dengan persembahan zapin dan ghazal daripada Badan Kesenian Warisan Johor pada 30 Oktober ini.

Empat segmen bakal dipersembahkan iaitu Tika Dinihari, Terbitnya Suria, Cahaya Mega dan Berlabuhnya Malam Permata Tetap Bersinar.

Selain itu, orang ramai juga boleh menyertai aktiviti yang disediakan sempena festival itu selain datang beramai-ramai menyaksikan persembahan yang diadakan di KLCC Esplanade.

Antaranya persembahan No Noise Percussion, Royal Rhapsody Seratas, Seri Puteri Winds, Stage Circle, Amir Jahari, Tony Leo, Dikir Barat, Saturday Afternoon, Aswara Dance Company, Floor Fever dan Aswara Percusion Ensemble.

Tiket persembahan boleh dibeli pada harga RM58. Untuk keterangan lanjut boleh layari www.dfp.com.my atau hubungi 03-2051 7007.

Utusan