Felda D’ Saji Mekah Jadi Pilihan

Oleh AZMI ABDUL MALEK


Makanan menepati citarasa pelanggan antara kunci kejayaan restoran Felda D’ Saji menambat hati pelanggan.

SIAPA sangka makanan Malaysia yang dikendalikan Felda D’ Saji Mekah di tingkat dua, Al Safwa Tower berhadapan Masjidil Haram mendapat sambutan menggalakkan daripada umat Islam seluruh dunia.

Lebih-lebih lagi ketika musim mengerjakan ibadah haji, umrah dan puasa Ramadan setiap tahun.

Restoran milik penuh Felda Berhad ini bukan sahaja dikunjungi rakyat Malaysia malah jemaah Indonesia, Thailand, Filipina, Brunei, Singapura, Kemboja, Vietnam, Benua Arab, China, Turki, Iran, Iraq, India, Pakistan dan Bangladesh.

Mempunyai 12 pekerja tetap termasuk empat kakitangan pengurusan mula beroperasi dengan sebuah kedai sahaja pada tahun 2007 dan kini mampu mengembangkan sayapnya sehingga boleh membuka lima cawangan pada masakini.

Walaupun kadar sewa premis dianggap tinggi namun beberapa anak muda negara dan rakyat tempatan yang bertugas di situ berjaya menghasilkan jualan harian yang begitu tinggi.

Chef restoran, Ab. Talib Che Busu, 41, berkata, pada musim haji restoran berkenaan berjaya mencapai sasaran jualan kira-kira RM17,000 sehari berbanding musim umrah dan puasa bulan Ramadan (RM10,000) sehari.

Katanya, restoran berkenaan menjual roti canai, nasi campur, nasi lemak, nasi goreng, nasi ayam, nasi beriani, mee goreng dan bihun sup dari jam 7 pagi hingga 11 malam.

“Kira-kira 15 peratus bahan masakan diimport dari Malaysia pada masa tertentu kerana ia tidak ada dijual di pasaran tempatan,” katanya.

Ab. Talib berkata, antara pemimpin negara yang pernah berkunjung ke restoran berkenaan ialah bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najid Tun Abdul Razak, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin dan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.

Antara artis terkenal yang turut berkunjung ke situ ialah Datuk Siti Nurhaliza Taruddin dan Era Fazira.

Ab. Talib berkata, pada musim haji hujung tahun jumlah pengunjungnya meningkat luar biasa menyebabkan restoran berkenaan terpaksa mengambil kira-kira 100 pekerja sementara tempatan terutama rakyat negara Thailand dan Indonesia yang bermastautin di situ.

Katanya, kebanyakan pekerja tempatan negara berkenaan boleh bertutur dalam bahasa Melayu dan Arab.

Menurutnya, pada Januari dan Februari pengunjung luar tidak dibenarkan masuk kerana banyak kerja-kerja pembersihan sekitar Masjidil Haram dan Kaabah.

Mekah kembali meriah sekitar Mac dan April apabila ramai warga Arab dan pengunjung luar menunaikan ibadah umrah.

Selain menjual makanan, restoran Felda D’ Saji juga menyediakan makanan yang ditempah pemilik hotel berhampiran untuk tetamu istimewa mereka.

Seorang pengunjung, Mohamad Majid, 45, berkata, beliau mula berkunjung ke situ selepas dimaklumkan oleh rakannya.

Beliau berketurunan Melayu Pattani, Selatan Thailand yang dilahir dan membesar di Mekah berkata, makanan yang dijual di situ menepati selera jemaah terutama dari Asia.

“Masakannya sedap dan harga yang ditawarkan adalah berpatutan mengikut harga barangan di pasaran tempatan,” katanya.

Utusan