Fahamilah diri Siti Nurhaliza yang mencari erti kebahagiaan

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca,

HAMPIR enam bulan lamanya kisah percintaan dan perkahwinan penyanyi kesayangan saya, Siti Nurhaliza menjadi topik hangat di kalangan masyarakat bukan sahaja di Malaysia malahan juga di negara jiran. Saya merasa terpanggil untuk meluahkan segala rasa hati yang sekian lama terpendam apatah lagi setelah melihat pelbagai spekulasi tentang Siti dan kekasihnya.

Saya sendiri bagaikan tidak faham mengapa begitu susah sekali untuk segelintir masyarakat menerima kenyataan bahawa Siti sedang meniti hari-hari bahagia bersa insan tersayang yang sudah berjaya mencuri cintanya.

Saya dapat merasakan apa yang terpaksa Siti tanggung sekarang, perasaan yang amat sukar untuk ditafsirkan kerana perlu juga menjaga hati sendiri. Berilah Siti ruang untuk beliau membuat keputusan tentang jalan hidupnya pada masa mendatang. Biarlah siapa pun pilihannya sebagai suami sama-samalah kita mendoakan kebahagiaan mereka.

Adalah tidak wajar kita sebagai masyarakat menilai ‘insan pilihan hatinya’ sesuka hati hanya dengan pandangan mata kasar dan pelbagai versi cerita bercampur aduk dengan kata-kata nista. Sedarlah, hanya jauhari kenal manikam dan hanya Siti kenal diri kekasihnya itu lebih dari pengetahuan kita sebagai peminat dan pemantau.

Tidak salah kita mendoakan kebahagiaan orang lain kerana kita juga akan memperoleh kebahagiaan.

Cuba anda semua renungkan sejenak, selama ini Siti banyak berkorban perasaan sepanjang dunia remaja tidak seperti rakan seusianya yang lain untuk menghiburkan, menceriakan dan membahagiakan kita, khususnya peminat setianya.

Biarpun berhadapan dengan pelbagai kontroversi, gosip, tohmahan namun kekuatan semangat serta sokongan peminat, Siti tabahkan hati menghadapi dengan tenang dan menyembunyikan gelodak jiwa agar peminat bahagia melihat Siti sendiri bahagia.

Namun mengapa pada saat Siti ingin mengemudi sebuah bahtera rumah tangga bersama insan tersayang yang menjadi pilihan hatinya, segelintir peminat seakan ingin menafikan kebahagiaan yang sedang dikecapi.

Kebahagiaan yang ingin dikongsi disaluti dengan pelbagai cerita pedih dan ditanggung penuh keperitan, namun cinta yang suci terbina dari hati yang murni dan tulus memberi keutuhan untuk tidak tunduk kepada andaian.

Buat Siti Nurhaliza, kami peminat setiamu yang sejati akan sentiasa berada di belakangmu walau apa pun berlaku. Kami memahami dirimu dan setiap apa yang Siti Nurhaliza lakukan kami tahu pasti ada alasannya.

Pencintamu
huda@sitizone.com