EON taja Siti ke Kazakhstan.

EDARAN Otomobil Nasional Bhd (EON) menaja wang tunai RM20,000 bagi membiayai rombongan penyanyi, Siti Nurhaliza Tarudin ke pertandingan International Song & Music Festival di Almaty, Kazakhstan dari 2 hingga 5 Ogos ini.

Selepas lebih 10 tahun penganjurannya, ini adalah kali kedua wakil Malaysia memperoleh tajaan dari syarikat korporat. Sebelum ini penyanyi Maizurah Hamzah mendapat tajaan berupa tiket penerbangan dari ntv7.

International Song & Music Festival anjuran bersama Voice of Asia dan Fidov, sebuah organisasi pengurusan acara yang beribu pejabat di Los Angeles Amerika Syarikat.

Seramai 13 anggota rombongan termasuk pihak media akan menyertai Siti di Kazakhstan dan London untuk menjayakan pertandingan itu, selain pertunjukan amal.

Siti menerima replika cek dan jaket kulit EON daripada Pengarah Eksekutif, Kumpulan Motor EON, Donald Choo pada majlis ringkas di ibu pejabat EON di Glenmarie, Shah Alam, hari ini.

Hadir sama Pengurus Kanan Perkhidmatan Pemasaran EON, Datuk Abdul Razak Dawood; Presiden Persatuan Penulis Hiburan Malaysia (Wham), Fauziah Rauf dan Pengarah Urusan Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn Bhd (SNP), Saiful Bahri Tarudin.

Donald berkata, penyertaan Siti mewakili Malaysia pada pertandingan itu adalah pilihan yang tepat.

“Walaupun pada pertandingan itu Siti berdepan dengan penyanyi berbakat dari seluruh dunia, kita yakin Siti mampu memberi saingan hebat kepada peserta yang mungkin lebih berpengalaman daripadanya.

“Sebagai sokongan EON terhadap usaha mengharumkan nama negara, selain mengambil kira kejayaan Siti dalam seni suara selama lebih lima tahun, kami bersetuju membiayainya bersama rombongan ke Kazakhstan.

“Tajaan itu termasuk pembiayaan rombongan Siti ke London bagi mengadakan pertunjukan amal untuk penuntut dan masyarakat Malaysia di sana,” katanya.

Setakat ini International Song & Music Festival menerima penyertaan dari lebih 26 negara dari seluruh pelusuk dunia. Antaranya ialah Amerika Syarikat, Perancis, United Kingdom, Indonesia, Filipina, Russia, China dan Romania.

Sementara itu Siti berkata, beliau menerima dengan hati terbuka sama ada menang atau kalah dalam pertandingan itu.

”Saya berharap rakyat Malaysia mendoakan kejayaan saya di sana. Selain itu, saya berharap dapat bertemu pelajar dan rakyat Malaysia di London ketika membuat persembahan amal di kota itu,” katanya yang berlepas ke Kazakhstan jam 7 malam esok.

Pada pertandingan itu Siti akan mendendangkan tiga lagu iaitu Nirmala, Purnama Merindu dan Jalinan Cinta. Hadiah utama berupa piala emas berserta wang tunai AS$10,000 (RM38,000) dan tempat pertama akan menerima piala emas (saiz kecil) selain wang tunai AS$5,000 (RM19,000).

http://www.emedia.com.my/