DVD deklamasi sajak Pak Lah, sasterawan

Oleh Sazarina Shahrim

KUALA LUMPUR: Buat pertama kali, rakyat berpeluang melihat pemimpin negara termasuk Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Razak, bergabung bersama sasterawan negara untuk mendeklamasikan sajak yang dihimpunkan dalam bentuk cakera video digital (DVD) bagi menyemarakkan semangat patriotik di kalangan masyarakat.

Kira-kira 500,000 DVD ‘Kumpulan Deklamasi Puisi Patriotik- Tanah Tercinta’ itu dicetak dan akan diedarkan di sekolah dan institut pengajian tinggi (IPT) bermula Januari depan.

Selain Perdana Menteri dan Timbalannya, turut terbabit Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr Rais Yatim; Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Zulhasnan Rafique; Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Zahid Hamidi dan isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor.

Seniman negara yang terbabit ialah Datuk A Samad Said, Datuk Siti Nurhaliza, Dr Lim Swee Tin dan Prof Dr Zainon Ismail.

Rosmah yang juga Penaung Kehormat Persatuan Warga Cinta Negara Malaysia (Pecinta), berkata DVD itu sebahagian pengisian sambutan 50 tahun kemerdekaan negara selain memartabatkan bahasa Malaysia dan sastera Melayu.

“DVD ini diharap akan dapat meningkatkan minat orang ramai mengenai puisi yang boleh dijadikan panduan terutamanya kepada generasi muda yang bakal mewarisi kepimpinan negara,” katanya pada sidang media selepas melancarkan DVD itu di sini, semalam.

Turut hadir ialah isteri Zulhasnan, Datin Seri Ana Noriah Razak; Presiden Pecinta, Datuk Izudin Ishak dan A Samad Said selaku Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana.

Pada majlis itu juga, Rosmah turut menyampaikan Jalur Gemilang kepada sekolah di ibu kota dan IPT serta rumah kebajikan sekitar Lembah Klang.

Dalam DVD itu, Abdullah dan Najib masing-masing mendeklamasikan sajak nukilan sendiri iaitu, ‘Negaraku Terbilang’ dan ‘Segeralah Bangsaku Kita Glokalkan’ manakala Rosmah pula mendeklamasikan sajak karya Samsusin Osman, ‘Kemilau dari Tanah Ini’.

Susulan pelancaran DVD terbabit, Rosmah berkata, beberapa program diatur seperti penerbitan Program Akademi Sastera berbentuk realiti bagi meningkat rasa kecintaan kepada puisi, sajak, syair dan gurindam.

Selain itu, katanya, Malam Puisi Cinta Negara akan diadakan pada Februari 2008 membabitkan 14 individu dalam DVD berkenaan.