DULU KAD KAHWIN, SEKARANG ANAK ANGKAT

KOSMO 4 JUN 2006

ASSALAMUALAIKUM dan selamat hujung minggu buat anda semua pembaca setia akhbar KOSMO! Ahad.

Kepada adik-adik yang sedang bercuti, jangan hanya tahu berseronok sehingga lupa kerja-kerja sekolah.

Sementara buat anda yang naik pelamin sempena musim cuti sekolah, saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Pengantin Baru. Saya mendoakan semoga rumah tangga yang dibina kekal sehingga ke akhir hayat.

Sebetulnya, ketika saya leka mulis artikel ini, saya sedang tersenyum bila mengenangkan semula dakwaan pakcik Ibrahim Deraman, 81, dari Pasir Puteh, Kelantan kononnya saya anak kandungnya.

Secara jujurnya, saya betul-betul tidak pasti apa motif beliau berbuat demikian.

Setahu saya, ibu dan ayah saya ialah Siti Salmah Bachik dan Tarudin Ismail. Saya sedia maklum sejarah kelahiran saya dan saya fikir tidak ada sebab mengapa status saya sebagai anak kepada ibu dan ayah yang tercinta perlu dipertikaikan lagi.

Keadaan ini kembali mengingatkan saya kepada satu lagi kejadian yang pernah berlaku beberapa tahun lalu.

Ada pihak yang cuba mengambil kesempatan dengan mencetak kad perkahwinan yang tertera nama saya dengan seorang lelaki yang saya tidak kenali.

Terkejut bukan kepalang saya ketika itu. Masakan ada orang yang sanggup melakukan tindakan sedemikian terhadap saya.

Aduh, bila mengenangkan dua kejadian ini, berpinar kepala saya memikirkan apakah motif yang mendesak pihak-pihak sebegini sanggup berbuat demikian.

Namun, sebagai seorang yang rasional, saya tidak mahu begitu resah memikirkan hal-hal yang remeh sebegini kerana pokok pangkalnya saya tahu siapa diri saya yang sebenar.

Sebagai artis, semua ini adalah lumrah yang harus saya lalui. Pendek kata, ia adalah dugaan dan asam garam hidup sebagai selebriti.

Membicarakan mengenai dugaan hidup juga, saya terpanggil untuk berkongsi rasa sedih dengan kejadian gempa bumi yang berlaku di Yogyakarta, Jawa Tengah, Indonesia baru-baru ini yang mengorbankan banyak nyawa.

Takziah daripada saya kepada keluarga yang kehilangan orang-orang tercinta dalam musibah itu.

Berdasarkan apa yang saya baca dalam laman web rasmi saya, sitizone.com juga saya diberitahu salah seorang peminat setia saya menjadi mangsa korban gempa bumi di negara jiran kita itu.

Dalam hal ini, saya ingin merakamkan penghargaan dan rasa bangga dengan anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Malaysia (SMART) yang telah melaksanakan tugas yang sangat baik apabila dihantar oleh kerajaan ke Yogyakarta untuk membantu mereka yang ditimpa bencana alam itu.

Kesedihan kita pastinya juga terbawa ke dalam Negara apabila kejadian tanah runtuh turut berlaku di Kampung Pasir, Hulu Klang, Selangor Rabu lalu.

Saya dapat memahami bagaimana keadaan mereka yang sudah tentu tidak mampu daripada menyembunyikan keadaan sedih selain meratapi pemergian orang-orang tersayang.

Namun, pada masa yang sama, sebagai umat Islam, kita harus reda dan menerima segala ketentuan Yang Maha Esa.

Pada ruangan ini juga, saya mahu mengajak seluruh peminat seni tanah air untuk terus memastikan semangat seni yang ditinggalkan oleh Seniman Agung, Tan Sri P.Ramlee yang genap 33 tahun pemergiannya ke rahmatullah pada 29 Mei lalu akan terus subur dalam diri kita.

Pejam celik, pejam celik sudah lebih tiga dekad, Allahyarham pergi meninggalkan kita khazanah seni yang sangat berharga untuk kita warisi.

Sebagai anak seni, saya banyak menjadikan beliau sumber inspirasi kerana kecekalan dan dedikasi Allahyarham terhadap kerja-kerja seninya sangat tinggi dan wajar dijadikan contoh buat artis-artis generasi baru.

Semoga Allah terus mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham.

Berbalik kepada cerita kerjaya seni saya, Rabu lalu saya diundang untuk menjayakan persembahan sempena Pesta Tadau Keamatan yang diadakan di Universiti Malaysia Sabah.

Sebagai meraikan hari kebesaran itu, saya turut diminta menyampaikan lagu bahasa Kadazan berjudul Rumandawi.

Ia merupakan detik yang menyeronokkan saya kerana bukan sahaja sekadar menyanyi lagu tersebut bahkan turut mengenakan pakaian suku kaum Kadazan.

Rasanya setakat ini sahaja yang dapat saya kongsi dengan anda kerana seperti anda saya juga harus memenuhi undangan perkahwinan.

Bertemu lagi di ruangan PenaSiti minggu depan.