Dr ‘K’ Nafi Nikah Lagi Di London

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa atau lebih dikenali sebagai Datuk ‘K’ kelmarin menafikan bahawa beliau telah bernikah lagi.

‘Boleh dikatakan 99 peratus masa saya dihabiskan bersama Siti (Datuk Siti Nurhaliza Taruddin). Ke mana saya pergi dia pasti ada bersama,’ kata Datuk Seri Khalid, menafikan gosip perkahwinan keduanya yang hangat diperkatakan kebelakangan ini.

Ketika ditemui pada majlis berbuka puasa dan memperkenalkan artis baru bernaung di bawah Siti Nurhaliza Production Sdn Bhd (SNPSB) di Menara Yayasan Tun Razak di sini, kelmarin, ahli perniagaan itu, berkata gosip disebarkan itu tidak berasas sama sekali.

Siti Nurhaliza turut hadir di majlis itu.

Datuk ‘K’ turut menegaskan bahawa cerita mengenai majlis pernikahannya dengan seorang pramugari di London awal Ogos lalu dibuat dengan niat mengganggu kebahagiaan rumah tangganya.

‘Saya tidak tahu mengapa pihak media boleh menyiarkan gosip itu. Apabila ia dibaca ramai menyebabkan berita menjadi bertambah hangat. Bila masa saya ke London tanpa Siti di sisi?’ katanya bertanya kembali.

Menurutnya, beliau hanya mengetahui gosip itu beberapa hari sebelum disiarkan di akhbar dan tidak terlalu memikirkan sangat tentangnya, hinggalah gosip itu tersebar meluas.

‘Bayangkan ada rakan saya dari Johor dan Kedah menghubungi dan bertanya adakah benar saya sudah bernikah satu lagi? Bagi saya tidak baik orang membuat fitnah mengenai saya dan Siti. Pada saya cukuplah cerita tidak baik dibuat mengenai kami sebelum ini. Tambahan pula sekarang bulan puasa (Ramadan). Sudah-sudahlah,’ katanya.

Sebelum ini, Siti sendiri menerusi laporan disiarkan Metro Ahad, menafikan gosip yang disebarkan itu. — Harian Metro.

Cyberita