Destinasi Cinta iringi 5 kategori pop rock ke AJL22

Oleh Rozdan Mazalan

ImageShack
NYANYIAN BERTENAGA: Siti mendendangkan Destinasi Cinta pada pertandingan separuh akhir AJL22 di Seri Pentas 2 Plaza Alam Sentral, Shah Alam, malam tadi.

SHAH ALAM: Selepas lagu kategori balada berjudul Bisakah nyanyian Datin Seri Siti Nurhaliza gagal tersenarai untuk Anugerah Juara Lagu 22 (AJL22), minggu lalu, akhirnya peminat penyanyi nombor satu negara itu lega apabila Destinasi Cinta layak bagi kategori pop rock.

Lagu ciptaan Lin Li Zen dan lirik Rozie Abdul Razak itu mengiringi lima lagi lagu lain untuk bertanding pada peringkat akhir pada Januari depan.

Keputusan pertandingan separuh akhir Muzik-Muzik kategori pop rock yang berlangsung malam tadi diumumkan pengacaranya Cheryl Samad dan Faizal Ismail yang disiarkan secara langsung di TV3 dari Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, di sini.

Pihak penganjur turut membuat kejutan apabila mengumumkan tambahan satu lagi tempat ke akhir AJL22 daripada lima lagu yang sepatutnya layak berikutan kekuatan dan populariti lagu yang dipertandingkan dalam kategori itu.

Lima lagu lain yang layak ialah Janjiku nyanyian Sofaz, ciptaan Taja dan lirik Tass serta Itu Kamu ciptaan juga dendangan Estranged sementara lirik oleh Rachael Lawrence.

Lagu Aidit Alfian dan lirik Loloq, Sembunyi dinyanyikan secara duet oleh Misha Omar dan Andy Flop Poppy serta Mawi yang mempertaruhkan lagu Angan dan Sedar ciptaan M Nasir dan lirik Loloq selain Farhana Putri Bumi Kenyalang yang dicipta oleh Denai dan lirik Andy Rahman, nyanyian Jinbara.

Empat lagi lagu yang gagal ke peringkat akhir ialah 3 Malam Tanpa Bintang nyanyian Fiq, ciptaan Master G dan lirik Azmeer serta Satu Harapan dendangan Jaclyn Victor, ciptaan Audi Mok dan lirik Mabel Liew.

Aku Penciptamu ciptaan sepenuhnya Ajai dan dendangan Felix serta Vince yang mendendangkan lagu ciptaan sendiri, Percayalah Sayang dan lirik M Zulkifli.

Dengan enam lagu berkenaan, ini bermakna 14 lagu terbaik akan bertanding pada peringkat akhir AJL22. Lima lagu bagi kategori balada iaitu Mahakarya Cinta (Faizal Tahir), Kasih Tercipta (Faizal Tahir), Ceritera Cinta (Jaclyn Victor dan Lah Ahmad), Harapan (Fazli Zainal) dan Izinku Pergi (Sahri).

Empat lagu kategori etnik kreatif ialah Samudera (Nora), Kasihnya Balkis (Aishah) dan Dirgahayu (Ramlah Ram).

Barisan juri yang menilai keputusan sepanjang peringkat separuh akhir terdiri daripada penulis lirik, Amran Omar; komposer, Iman Wan; Pensyarah Fakulti Muzik Universiti Teknologi Mara (UiTM), Khairil Johary Johar.

Selain komposer, Edry dan Pengarang Hiburan Harian Metro, Adam Salleh serta Pengurus Besar Jabatan Hiburan, Sukan dan Rekreasi TV3, Azhar Borhan selaku ketua juri.