Dengarnya… Konsert Gandingan Siti, Awie Di IB?

Hip
Dengarnya… Konsert gandingan Siti, Awie di IB?
Oleh Normah Becok

2012/05/24
SEBELUM ini, Cik Normah pernah tengok Datuk Siti Nurhaliza mengadakan konsert mahupun persembahan bersama beberapa penyanyi terkenal lain seperti Tan Sri SM Salim, Faizal Tahir, Aizat, Ella, Ramlah Ram dan sebagainya.

Sekurang-kurangnya apabila penyanyi nombor satu negara itu tampil bersama penyanyi atau penghibur lain, konsep mahupun bentuk persembahan jadi agak berbeza.
Nampaknya, konsep gandingan untuk konsert membabitkan Siti tidak terhenti setakat itu saja. Terbaru Cik Normah dengar, penyanyi Biarlah Rahsia itu bakal mengadakan konsert bersama vokalis Wings, Awie.
Jika benar perkhabaran yang hinggap ke telinga, Cik Normahlah orang pertama yang bersetuju dengan gandingan berkenaan. Sebelum ini peminat sudah biasa tengok gandingan mantap Awie dan Ziana Zain, begitu juga Awie dan Ella. Kali ini apa kata kita pakat saksikan Awie menyanyi dengan Siti pula. Pasti hangat!

Khabarnya juga, konsert membabitkan dua artis hebat ini bakal berlangsung di Istana Budaya (IB).

Nampaknya Awie dan Siti kembali ke pentas berprestij terbabit kalau benarlah konsert itu diadakan di lokasi berkenaan. Kedua-duanya pernah mengadakan persembahan di IB, sama ada secara solo mahupun bersama artis lain. Kiranya, mereka bukanlah nama asing apabila berbicara mengenai pentas yang menjadi idaman ramai itu.

Masing-masing pun berjaya menghimpun ramai peminat setiap kali mengadakan persembahan di sana. Jadi, sesuai sangatlah jika konsert gandingan kedua-duanya dipentaskan di situ.

Tak sabar pula Cik Normah untuk mendengar pengumuman rasmi daripada pihak IB, jika benarlah konsert itu diadakan di tempat mereka penghujung tahun ini.

Lebih menarik, seperti yang Cik Normah dengar, Siti akan menyanyikan lagu popular daripada kumpulan rock itu, begitu juga Awie yang membalasnya dengan mengalunkan lagu Siti.

Bayangkan Siti menyanyi lagu Peronda Jaket Biru, Taman Rashidah Utama, Inspirasi Taming Sari, Bazooka Penaka, Opera Hidup dan banyak lagi. Begitu juga Awie menyanyikan lagu Cindai, Aku Cinta Padamu, Bukan Cinta Biasa dan Kesilapanmu Keegoanmu… Menarik bukan?

Cik Normah doakan, perancangan konsert ini berjalan dengan lancar dan berjaya merealisasikan dengan jayanya.

Berita Harian