Demi Palestin TVAlhijrah

pix_gal0
Dalam menyemarakkan lagi usaha untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat mengenai isu Palestin serta memberikan ruang kepada masyarakat untuk membantu rakyat Palestin, TVAlhijrah dengan kerjasama tujuh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Aman Palestin, Viva Palestina Malaysia, Haluan, Mercy Malaysia, Aqsa Syariff, Islamic Relief Malaysia (IRF) dan Perdana Global Peace Foundation mengadakan satu karnival yang diberi nama Demi Palestin.

Ia bertemakan Persaudaraan Bermula Di sini bertempat di perkarangan ibu pejabat TVAlhijrah, hari ini, bermula jam 9 pagi sehingga 11 malam.

Pelbagai aktiviti menarik diadakan seperti fleamarket, persembahan artis dan aktiviti lelongan untuk mengutip dana untuk disumbangkan kepada rakyat Palestin.

Barisan personaliti TVAlhijrah dan personaliti TV tempatan seperti Syafinaz Yunus, Amie Sofia, Farra Adeeba, Heliza Helmi, Maulana dan Salima Habibi akan turut bersama memainkan peranan mereka dalam menjayakan program Demi Palestin ini melalui aktiviti perkongsian pengalaman semasa melawat ke Gaza, baru-baru ini.

Ia akan dikongsikan bersama pengunjung yang bakal hadir di pentas utama perkarangan TVAlhijrah.

Menariknya pada hari berkenaan, acara lelongan amal untuk Palestin akan diadakan yang mana jubah selebriti terkenal tanah air Datuk Siti Nurhaliza akan dilelong untuk kutipan amal Palestin.

Selebriti Chef TVAlhijrah, Chef Ammar juga akan melelong jersi pemain Chelsea yang ditandatangani oleh pemain kelab tersebut.

Selingan tazkirah kesedaran Palestin juga akan diadakan sepanjang siang hari program berkenaan berlangsung.

Pada sebelah malamnya pula, persembahan istimewa Malam Demi Palestin yang menjadi acara kemuncak akan diadakan di Dewan Muktamar, Pusat Islam dan disiarkan secara langsung di TVAlhijrah oleh barisan artis dan selebriti terkenal tanah air seperti Afdlin Shauki, Rabbani, Nowseeheart, Inteam, Saujana, Hijjaz, Unic, Nash, Cherita, Dakmie, Nubhan, Muadz Dzulkefly, Yoga Al Ghazali, Azhary, Tasha Manshahar, Adik Zaid Najmuddin, Akma, Alyah, Heliza Helmi, Amie Sofea, Farrah Adeeba, Ustaz Shahrizan Daud At Turabi, Ustaz Syed Norhisyam, Ustaz Izhar Arif, Amin Idris, Amran Ibrahim dan ramai lagi.

Malam Demi Palestin akan disiarkan secara langsung mulai 9 malam di TV AlHijrah.

Semoga gelombang kemanusiaan dalam misi membantu Palestin yang diteruskan oleh TVAlhijrah mampu menimbulkan kesedaran dan kesan mendalam kepada pengunjung dan penonton dalam membantu rakyat Palestin yang sangat memerlukan sokongan kita dan dunia Islam.

Orang ramai dijemput hadir ke pekarangan stesen TVAlhijrah pada hari ini (23 Disember, bermula jam 9 pagi dan bersamasama kita tunjukkan rasa cinta dan sayang serta mengimarahkan semangat dan perjuangan dalam membebaskan bumi Palestin yang tercinta, kerana mereka saudara kita.

Berita Harian