Debaran pengacara TV3

Oleh Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my

PANTUN Melayu, pusaka lama menghiasi majlis pertunangan dan pernikahan Siti Nurhaliza Tarudin, 27, dengan pasangannya, Datuk Khalid Mohamad Jiwa, 47.

Kedua-dua majlis itu yang diadakan di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, kelmarin, berlangsung dengan lancar menepati hasrat mempelai dan keluarga kedua-dua pihak.

Tambah manis, majlis gilang-gemilang itu dapat disaksikan ribuan peminat apabila disiarkan secara langsung menerusi TV3 mulai jam 10.30 pagi hingga 12 tengah hari.

Majlis yang dinantikan itu bukan saja menjadi kenangan paling indah buat Siti dan Datuk Khalid atau Datuk K, malah ia mengundang pengalaman manis buat pengacara upacara itu yang terdiri daripada personaliti terkenal TV3, Nizal Mohamad, Ahmad Fedtri Yahya, Azizah Ariffin, Syafinaz Hussein dan Nuraffenda Mohd Ibrahim.

Nizal yang dijemput keluarga Khalid mengacarakan majlis pada hari itu, berkata dia menyediakan skripnya sendiri selepas mendapat semua maklumat majlis pertunangan dan pernikahan itu dari kakak Khalid, Zaitun Mohamad Jiwa (kak Tun).

?Sehari sebelum majlis itu berlangsung saya berjumpa kak Tun di kediamannya. Pada pertemuan itu segalanya diperhalusi dengan terperinci termasuk siapa yang datang dan atur majlis keseluruhan supaya tidak berlaku kekeliruan dan kesilapan.

?Daripada segala maklumat itu saya sediakan skrip sendiri. Bagaimanapun, acara berbalas pantun antara wakil pihak perempuan dan lelaki, mereka siapkan sendiri.

?Saya biasa mengacarakan pelbagai majlis, namun yang ini menimbulkan debaran kerana ia membabitkan hari bersejarah Siti Nurhaliza.

?Pada mulanya saya fikir saya akan berdiri di satu sudut menurut kebiasaan majlis. Tidak sangka pula saya perlu berada di tengah majlis antara pihak pengantin lelaki dan perempuan.

?Bersila pula tu bagi melengkapkan lagi penampilan saya mengacarakan majlis yang penuh adat istiadat tradisional Melayu,? katanya.

Nizal yang berjawatan Eksekutif Kanan, Jabatan Komunikasi Korporat TV3, berkata itulah kali pertama ia mengacarakan majlis yang begitu hebat.

?Saya tidak pasti apakah ada majlis selebriti kita sebegini meriah lagi. Bagi saya majlis ini, selain merapatkan dua hati, saya percaya seluruh negara dapat menyaksikan proses adat istiadat pertunangan dan pernikahan mengikut budaya masyarakat Melayu.

?Seluruh masyarakat terutama bukan Melayu dapat melihat bagaimana indah dan cantiknya budaya Melayu. Ia sesuatu yang unik dan istimewa,? katanya.

Sementara itu, Azizah Ariffin agak terkejut ditugaskan mengacarakan ketiga-tiga majlis Siti daripada majlis pertunangan dan pernikahan, persandingannya pada 28 Ogos ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dan majlis di Kuala Lipis pada 3 September ini.

?Untuk ketiga-tiga majlis itu saya digandingkan dengan Ahmad Fedtri Yahya. Dia bijak menuturkan kata berbunga berselang-seli dengan pantun yang cantik susunan bicaranya.

?Kami dapat semua maklumat pada saat terakhir. Apa yang kami ucapkan pada hari itu spontan saja. Untuk majlis di KLCC nanti, terasa berdebar namun saya akan buat yang terbaik. Saya, Fedtri, pekerja teknikal dan penerbit, Mazlin Nordin selalu berbincang,? katanya.

Pengacara Malaysia Hari Ini (MHI), Ahmad Fedtri Yahya, berkata dia tiada masalah untuk berpantun bagi menyerikan lagi majlis kerana sudah biasa menyertai pertandingan pantun.

?Saya mengarang pantun mengikut kesesuaian majlis. Saya gembira kerana menjayakan majlis yang dinantikan oleh peminat Siti itu. Pengalaman ini amat bermakna sekali kerana Siti adalah satu dalam sejuta bintang,? katanya.

Rakan sejawatan Fedtri iaitu Nuraffenda Ibrahim pula berkata, dia terasa berdebar ketika membuat lintas langsung majlis yang penuh warna-warni itu.

?Mengacara majlis Siti pengalaman paling menarik dalam kerjaya saya. Apatah lagi peminat Siti sudah lama dan menantikan detik bahagia penyanyi terkenal itu,? katanya.