Debaran Kat & Siti Nuhaliza kian membara

Oleh NIEZAM ABDULLAH

Konsert Mentor separuh akhir di Sri Pentas 2 Plaza Alam Sentral.

hi_02_big5.jpg

PROGRAM Mentor terbitan TV3 kini hampir berada di penghujungnya. Pertandingan peringkat pertama semi final yang dimulakan pada minggu lalu ternyata menguji kemampuan Kat dan juga Ayu.

Di antara mereka siapakah yang layak untuk dipilih sebagai juara Mentor semakin terasa.

Kat yang bermentorkan Datuk Siti Nurhaliza manakala Ayu bermentorkan Hazami telah mempersembahkan kehebatan masing-masing dalam persembahan tersebut.

Namun begitu kuasa memilih terletak di tangan penonton yang mewakili 50 peratus markah menerusi undian khidmat pesanan ringkas (SMS) manakala 50 peratus keputusan lagi adalah pilihan juri profesional.

Hari ini pukul 9 malam, kita akan dapat menyaksikan semi final peringkat kedua yang akan menampilkan Fiq (Mentor-Amy Search) dan Nieyl (Mentor-Nurul) sebelum keputusan memilih mereka yang layak ke final diumumkan pada 26 November akan datang.

Bagi Kat atau nama sebenarnya Siti Khatijah Hassan, dia merasakan debaran yang begitu hebat untuk menanti keputusan tersebut.

Malah dalam pertemuannya dengan Ayu minggu lalu, Kat mengakui lawannya itu mempunyai kehebatan dan penyokongnya sendiri.

Walaupun keputusan semi final itu belum lagi diketahui namun Kat telah pun merancang satu kejutan seandainya dia terpilih ke peringkat final nanti.

“Bersaing pada peringkat semi final sudah ‘menakutkan’ apatah lagi untuk bertemu pada peringkat akhir nanti sekiranya terpilih,’’ katanya.

Menurut Kat, Nieyl dan Fiq mempunyai kekuatan tersendiri dari segi vokal dan konsep yang dibawa.

Oleh kerana kehebatan itu Kat bersama Siti Nurhaliza sedang merancang untuk membawa kelainan terhadap persembahannya nanti.

Kat menganggap pengalamannya menyanyi di kelab-kelab dan juga majlis makan malam merupakan antara faktor yang akan membantunya beraksi seandainya ada rezeki untuk dia ke final nanti.

Katanya, ramai yang tidak menyedari dia sebenarnya berkebolehan menyanyi pelbagai irama berdasarkan kepada pengalamannya itu.

“Orang tidak tahu Kat sebenarnya boleh menyanyi lagu berkonsepkan asli, balada dan beberapa jenis muzik lain lagi.

“Insya-Allah sekiranya Kat terpilih untuk bertemu dengan Fiq atau Nieyl nanti, penonton akan melihat sesuatu persembahan yang tidak pernah mereka saksikan selama ini,’’ katanya.

Di samping itu Kat amat bersyukur dengan komitmen yang diberikan oleh Siti Nurhaliza.

Sebelum ini penyanyi nombor satu negara itu sibuk dengan persiapan perkahwinan dan juga percutian sehingga terpaksa ‘meninggalkan’ Kat seorang diri.

Bagaimanapun ketika keadaan semakin sengit ini, Siti telah mula membantu Kat untuk bersiap sedia bagi menghadapi cabaran tersebut.

“Setiap latihan, kak Siti sentiasa menemani Kat selain banyak memberi tunjuk ajar untuk melihat Kat mampu memberi persembahan terbaik nanti.

“Kat juga mengakui kak Siti pun turut merasakan debaran sebagaimana yang Kat rasakan selama ini,” katanya.

Jelas Kat, pengorbanan yang ditunjukkan Siti itu bagaikan satu ‘ubat’ yang dapat menguatkan semangatnya.

Siti pula dalam kesibukannya dengan pelbagai aktiviti seni dan permulaan menjalani kehidupan berumah tangga, tidak pernah mengabaikan anak didiknya itu.

Mungkin Siti sudah tahu jatuh bangun Kat juga memberi banyak makna kepada kerjaya seninya.

Gara-gara Kat juga masa Siti banyak di luar dari rumah.

“Siti mahu Kat bijak berdikari dan menjadi seorang artis yang boleh pergi jauh.

“Sebab itu setiap kali ada kelapangan Siti tak akan lepaskan peluang untuk bersama-sama dengan Kat dalam setiap aktiviti yang dianjurkan oleh TV3,’’ kata Siti.

Gara-gara Kat juga, Siti dibawa sehingga ke Jalan Masjid India baru-baru ini bagi mempromosikan Mentor.

Tentunya sejak bergelar artis, tempat awam yang berselirat dengan manusia itu jarang sekali dikunjungi oleh Siti yang tersohor tetapi demi keranamu Kat, dia tidak menolak untuk bersama.

Kecoh juga jadinya bila Siti Nurhaliza turun ke Jalan Masjid India dan Kat pada waktu itu ‘dikenakan’ oleh mentornya apabila terpaksa menjual kuih-muih kepada orang ramai di situ.

“Paling penting Kat tahu macam mana hendak berdikari,’’ kata Siti lagi yang mengharapkan anak didiknya itu akan terus gemilang di dalam dunia seni suara selepas ini.