‘Debaran Cinta’ Siti Dan Nicholas

SI gadis cantik dan ribuan peminatnya.

Si teruna pula, tampan dan ribuan gadis yang menggilainya.

Bayangkan jika si cantik dan si teruna itu digandingkan. Apakah peminat akan menjadi histeria atau mungkin berasa terancam?

Penulis bercakap tentang keadaannya jika penyanyi Siti Nurhaliza bertemu dengan aktor filem Ada Apa Dengan Cinta, Nicholas Saputra, bertentang mata bagai orang bercinta dalam sebuah projek.

Bukan, Siti belum bersedia digandingkan dengan sesiapa dalam filem tetapi Nicholas akan bertemunya dalam klip video terbarunya, Debaran Cinta.

Menurut Siti, rancangan untuk menemukan beliau dengan aktor kacak itu sebenarnya bermula di Jakarta ketika Siti sibuk menyiapkan klip video yang dirakamkan oleh Rizal Mantovani.

Di Jakarta, beliau dikejutkan dengan kunjungan Nicholas yang tidak membuat janti temu awal.

‘Nicholas datang secara mengejut, tetapi sekadar menjalin hubungan persahabatan. Kami tidak berbincang mengenai sebarang kerjasama,’ kata Siti.

Bagaimanapun, minggu lalu satu lagi kejutan berlaku apabila Nicholas terbang pula ke Kuala Lumpur, juga untuk bertemu empat mata dengan Siti.

Hai, ada apa-apa cerita sensasi ke?

Siti tetap menegaskan pihak syarikatnya, Siti Nurhaliza Productions (SNP), mahupun syarikat rakaman Suria Records langsung tidak terlibat dengan kunjungan Nicholas ke KL.

Sebaliknya, rancangan menemukan Siti dengan Nicholas diatur oleh syarikat telekomunikasi TMNet yang mana Siti merupakan jurucakap bagi produk syarikat berkenaan.

‘Siti tidak diberitahu mengenai rancangan TMNet mengundang Nicholas. Semuanya diketahui di saat-saat akhir. Apa pun kami fikirkan inilah kejutan yang cukup istimewa buat semua,’ kata Siti ketika ditemui selepas majlis pelancaran klip video itu baru-baru ini.

Bertentang mata dengan Nicholas dalam klip video itu dan harus berlakon sebagai kawan baik bukan sesuatu yang mudah untuk Siti lakukan.

‘Siti berdebar untuk bertentang mata dengannya. Nasib baik Nicholas memberikan kerjasama dan dia cukup profesional sekali,’ ujar Siti menggambarkan karakter Nicholas ketika di lokasi penggambaran.

Apakah Siti, yang berusia 24 tahun itu, juga benar-benar jatuh cinta kepada Nicholas yang berusia 19 selepas bertentang mata dengan aktor yang menjadi pujaan sebilangan besar gadis remaja di Indonesia dan Malaysia?

Siti cepat menepis tanggapan itu.

‘Oh tidak! Siti menganggap Nicholas seperti adik. Umurnya jauh lebih muda daripada Siti,’ kata Siti sambil ketawa.

Menurut Siti, klip video Debaran Cinta merupakan klip video yang menuntut beliau bukan sahaja menyanyi, tetapi juga berlakon untuk menghidupkan lagunya.

Namun Siti cepat menjelaskan kesungguhannya berlakon dalam klip video tidak bermakna beliau kini sudah bersedia untuk menceburi bidang itu secara serius.

‘Ini tidak bermakna Siti akan terjun ke dunia lakonan secara serius. Lagipun cinta Siti masih tertumpu pada bidang nyanyian,’ katanya.

Bagi Nicholas pula, beliau senang sekali bekerjasama dengan karyawan muzik dan filem dari Malaysia dan menganggap peluang bekerjasama dengan Siti Nurhaliza dalam klip video sebagai pengalaman yang sukar dilupakan.

‘Saya juga berdebar apabila bertentang mata dengan Siti. Namun begitu, saya senang sekali bekerja dengan Siti. Dia cukup jelita,’ kata Nicholas sambil melemparkan senyuman ke arah Siti.

Nicholas juga menyatakan kesediaannya untuk bekerjasama dalam produksi filem Melayu andai kata tawaran yang diberi menepati kehendaknya.

‘Paling utama saya harus fikirkan soal kelapangan waktu. Tidak kurang pentingnya jalan cerita harus bagus,’ ujar Nicholas.

Beliau juga begitu gembira apabila diberitahu ‘kekasihnya’ dalam filem Ada Apa Dengan Cinta? iaitu Dian Sastrowadoyo telah ditawar sebagai bintang undangan dalam filem Puteri Gunung Ledang.

‘Saya gembira dengan perkembangan itu dan saya mengharapkan masanya untuk saya berlakon seperti Dian di Malaysia akan menjadi kenyataan,’ kata Nicholas yang kali terakhir muncul dalam filem Biola Tak Berdawai.

http://cyberita.asia1.com.sg/