Datuk K nafi pukul Muhammed Kasheef

KUALA LUMPUR 30 Mac – Ahli perniagaan Datuk Khalid Mohamad Jiwa atau Datuk K menegaskan bahawa tuduhan beliau memukul dan menggelar Muhammed Kasheef Harris Sivapatham sebagai pengedar dadah adalah palsu, tidak berasas dan tidak benar.

Dalam kenyataannya kepada Bernama hari ini, Khalid berkata, beliau akan mengambil tindakan sivil dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Muhammed Kasheef atau mana-mana pihak yang terbabit dalam memfitnah beliau.

Datuk K yang merupakan suami kepada penyanyi terkenal negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, percaya Muhammed Kasheef menjadi mangsa pihak ketiga yang mempunyai motif dan agenda tersendiri untuk memburuk-burukkan namanya.

Beliau juga kesal kerana Muhammed Kasheef telah mengemukakan tuduhan yang tidak berasas selepas memohon maaf kepadanya pada 17 Mac lalu.

Pada hari tersebut juga, Muhameed Kasheef membuat laporan polis mendakwa Khalid telah memukul dan menggelarnya sebagai pengedar dadah.

– Bernama