Datuk K kunjungi keluarga Siti Nurhaliza

Oleh: MUZLINA ABU BAKAR dan RADHUAN HUSSAIN

dn_01_big21.jpg
KERETA Mercedes hitam milik Datuk K diletakkan di hadapan rumah Siti Nurhaliza di Taman Permata, Sungai Kerpan, Kuala Lipis semalam ketika beliau mengunjungi keluarga penyanyi itu.

KUALA LIPIS 23 Jun – Ahli perniagaan, Datuk Khalid Mohamad Jiwa atau dikenali sebagai Datuk K hari ini mengunjungi kediaman keluarga penyanyi terkenal, Siti Nurhaliza Taruddin di Taman Pertama, Sungai Kerpan, dekat sini.

Kunjungan itu memperkuatkan lagi spekulasi hubungan antara ahli perniagaan berusia 47 tahun itu dengan ikon hiburan tanah air tersebut.

Datuk K tiba di rumah keluarga Siti Nurhaliza kira-kira pukul 11 pagi menaiki kereta Mercedes Benz berwarna hitam.

Turut kelihatan bersama ialah kakaknya, Zaiton Mohamad Jiwa dan ibunya, Siti Zainab Hanafi, 66.

Datuk K ketika dihubungi malam ini mengesahkan beliau mengunjungi keluarga Siti Nurhaliza sekadar untuk menziarahi mereka.

‘‘Kunjungan saya bukan merisik atau meminang, cuma kunjungan biasa. Saya menghormati keluarga Siti yang terkenal dengan baik budi bahasa,” ujarnya.

Dalam pada itu, beberapa wartawan yang berada di luar kediaman keluarga penyanyi berkenaan sejak pukul 12 tengah hari bagaimanapun tidak dibenarkan berjumpa dengan keluarga Siti Nurhaliza untuk mendapatkan penjelasan mengenai perkara itu.

Pelbagai usaha untuk menemu ramah keluarga Siti Nurhaliza atau Datuk K menemui kegagalan.

Kira-kira sejam kemudian, para wartawan didatangi seorang lelaki yang mendakwa sebagai anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub meminta wartawan beredar dari situ atas permintaan keluarga Siti Nurhaliza.

Lelaki yang hanya dikenali sebagai Yusoff yang berpakaian preman itu sempat mengambil butir peribadi wartawan sambil bertegas mengarahkan mereka beredar segera atas alasan keluarga Siti Nurhaliza tidak mahu diganggu.

Lelaki itu yang dipercayai kenalan rapat keluarga penyanyi itu bagaimanapun mengesahkan Datuk K berada di kediaman tersebut tetapi menafikan kunjungannya atas urusan pertunangan.

Sebaliknya, menurut lelaki itu, Datuk K sekadar menziarahi ibu bapa Siti Nurhaliza dan memberitahu, penyanyi itu tiada di rumah tersebut pada waktu itu.

Sejurus selepas para wartawan beredar dari kawasan perumahan itu, kereta Mercedes Benz hitam yang dipercayai dipandu oleh Datuk K dilihat meninggalkan pekarangan rumah penyanyi itu.

Sebelum itu, wartawan sempat menemui seorang adik lelaki Siti Nurhaliza dan dia mengesahkan kereta yang berada luar rumahnya adalah milik Datuk K.

Bagaimanapun, dia menolak hasrat wartawan untuk menemu bual bapanya, Taruddin atas alasan bapanya sedang sibuk ‘berbincang’ sesuatu.

Di Kuantan semalam, Datuk K dilaporkan berkata, beliau akan mengumumkan tarikh majlis perkahwinannya bulan depan.

“Pengumuman akan dibuat Julai ini,” katanya selepas menghadiri mesyuarat agung Pasdec Holdings Berhad.