Datuk K Buka Agensi Modelling Di Paris?

AMBOI dalam orang kalut bercerita tentang kisah Datuk K berkahwin lain dan kisah Siti Nurhaliza dimadukan, Joyah pula terdengar khabar lain.

Kononnya “abang misai” kesayangan penyanyi tersohor kita itu akan membuka agensi modelling di kota Paris yang juga terkenal dengan kehebatan dunia fesyennya.

Wah! Jauh sungguh cik abang kita nak merantau. Jadi siapa kata dia ke London? Datuk kita yang ganteng yang seorang ini rupa-rupanya mengintai peluang perniagaan di Paris.

Khabarnya sekarang ini Datuk K sedang sibuk mencari para jelitawan bertubuh langsing dan tentunya tinggi lampai untuk menjadi modelnya di sana.

Pilihannya mestilah gadis-gadis tempatan yang berminat nak jadi model bertaraf antarabangsa. Joyah dengar beliau sekarang sibuk cari model yang yang tingginya 170 sentimeter. Iyalah, kalau cari gadis yang pendek dari itu macam mana nak layak memperaga di pentas antarabangsa, tak gitu?

Kiranya kalau bentuk badan tu macam Joyah ni hah, tak dapeklah nak nolong. Tak ada chance lah nak ke Paris jadi model terkenal di bawah agensi Datuk K. Sebab Joyah ini “tinggi sangat”.

Joyah dengar Datuk K akan menjalinkan kerjasama dengan Datuk Shah Rezza dalam usaha membawa model Malaysia ke Paris.

Joyah dengar khabar, bukan Datuk K tak mahu buka agensi di negara sendiri. Tapi beliau malas nanti akan timbul banyak sangat fitnah. Tengoklah sekarang, sejak berkahwin dengan penyanyi, beliau terpaksa menghadapi banyak gosip liar.

Macam kisah kahwin lagi satu. Dah nafikan pun orang dok heboh bercakap fasal perkahwinan yang entah iya entah tidak. Sabarlah Tok. Bak kata Datuk hari itu, itulah harga yang terpaksa dibayar kerana mengahwini seorang artis sepopular Siti.

Utusan Malaysia