Dari Siti.Nurhaliza.Com

Biografi

Nama : Siti Nurhaliza Binti Tarudin , AAP(Pahang),PMP(Perak)
Nama Pentas : Siti Nurhaliza
Tarikh Lahir : 11 January 1979
Tempat Lahir : Kampung Awah, Temerloh , Pahang.
Hobi : Menonton VCD dan membaca majalah
Warna kegemaran : Hijau dan warna pastel
Makanan kegemaran : Masakan kampung, Thai dan masakan ibu
Minuman kegemaran : Minuman panas
Muzik kegemaran : Pop, Alternative, R&B, Tradisional
Perkara yang tidak disukai : Dipaksa, Menilai seseorang tanpa usul periksa
Perkara yang paling disukai : Shopping, mengusik anak buah dan memerap di dalam bilik
Harapan Masa Depan : Menaikkan martabat industri muzik tanahair, menempatkan diri di mata dunia

Sejarah siti

Siti Nurhaliza dilahirkan di Berek Polis Kg. Awah, Temerloh, Pahang pada tanggal 11 Januari 1979. Ketika itu bapanya, Tarudin bin Ismail bertugas sebagai anggota polis di balai polis berkenaan sementara ibunya , Siti Salmah Bachik seorang suri rumah.

Siti merupakan anak kelima daripada lapan beradik manakala seorang abangnya meninggal dunia sewaktu kecil lagi. Adik beradik Siti Nurhaliza yang lain ialah Saiful Lizan, Saiful Bahri, Siti Nursaida, Mohd Ali, Siti Nursaerah dan Mohd Hafiz.

Siti mendapat pendidikkan Sekolah Rendah Kebangsaan Clifford, Kuala Lipis dan melanjudkan pelajaran ke peringkat menengah Sehingga tingkatkan lima di Sekolah Menengah Clifford, Kuala Lipis.

Kegiatan seni Siti bermula ketika di bangku sekolah tabika lagi iaitu beliau bersama rakan rakannya membuat persembahan sewaktu majlis penyampaian sijil bagi tabika berkenaan. Kemudian beliau aktif dalam acara kebudayaan di sekolah rendah dan menengah selain aktif dalam acara sukan. Beliau juga sering mengikuti Family Group iaitu band yang dimiliki oleh kaum keluarganya dalam persembahan iaitu majlis kahwin.

Siti mula menyertai pertandingan nyanyian di kampungnya sewaktu berusia 12 tahun dan menjadi Juara bagi pertandingan nyanyian hari kebangsaan. Beliau menyanyi lagu Bahtera Merdeka dan dari situlah beliau berani tampil di khalayak terutamanya dalam acara kebudayaan atau karnival di Kuala Lipis.

Barangkali sudah menjadi tuah Siti Nurhaliza pada tahun 1995, percubaan dalam pertandingan Bintang Hiburan Minggu ini anjuran RTM telah membuka peluangnya bergelar artis rakaman. Walaupun sebenarnya cita citanya ingin menjadi seorang pegawai polis namun rezeki yang datang bergolek tidak dapat ditolak.

Setelah bergelar Juara bintang HMI, syarikat rakaman Suria Record telah menyunting Siti menjadi artis rakaman mereka. Ketika itu, usia Siti baru 16 tahun dan beliau masih menuntut di tingkatkan 4. Berkat sokongan padu keluarga dan guru-guru serta teman sekolah, Siti dapat menjalankan kehidupan sebagai artis dan pelajar tanpa menghadapi masalah.

Sehingga hari ini, Siti telah muncul dengan 7 buah album solo termasuk album Konsert live Siti Nurhaliza dan beberapa album duet serta album kompilasi. Walaupun baru lima tahum mengorak langkah sebagai artis, tetapi usaha gigihnya telah membolehkan Siti mencatat namanya di dalam Malaysia Book Of Records sebagai artis paling banyak memenangi anugerah di Malaysia. Sehingga kini, beliau telah memperolehi lebih 40 anugerah serta menerima darjah kebesaran daripada Sultan Pahang iaitu Ahli Ahmad Shah Pahang (AAP) dan juga daripada Sultan Perak yang membawa gelaran Paduka Mahkota Perak (PMP)

Album: SAFA

Album terbaru Siti ini dilancarkan pada 11 Januari 2001 bersempena sambutan hari jadi Siti yang ke-22. Web team turut terlibat merakamkan siaran secara langsung pelancaran album tersebut dari Golden Palace Hotel. Siti sempat membaca ucapan daripada peminat-peminat dan bergambar bersama-sama kiriman bunga yang dibuat melalui laman web ini. Terdapat 10 lagu terbaru dari album SAFA yang dihasilkan oleh pencipta-pencipta lagu terkenal di Malaysia.

SAFA- yang bermaksud putih bersih bersamaan dengan keperibadian dan imej yang dapat ditonjolkan oleh penyanyi yang penuh sopan ini iaitu SITI NURHALIZA. Album terbaru yang dihasilkan ini merupakan album pop yang ke lima dan merupakan album solonya yang ke tujuh selain daripada dua album Melayu Asli iaitu Cindai dan Sahmura. Judul album SAFA dipilih berdasarkan keikhlasan dan ketulusan Siti dalam mengharungi dunia hiburan setelah lima tahun bergelar penyanyi. Dapatkan album terbaru Siti yang asli di kedai berhampiran.

Album : Album Perjalanan Seni S.M Salim & Malaysian Philharmonic +++++–Orchestra – Live

Baru-baru ini, Tan Sri Datuk S.M Salim telah mengadakan persembahan istimewa bersama artis undangannya, Siti Nurhaliza di Dewan Filharmonik Petronas (DFP). Konsert yang dikendalikan oleh Ramli M.S. ini adalah kerjasama DFP dan Warner Music. Peluang dipanggil membuat persembahan bersama dengan bintang veteran, Tan Sri Datuk S. M Salim merupakan satu tuah kerana Siti sudah lama menyimpan hasrat untuk berduet dengan ?orang lama? seperti Tan Sri Datuk S.M Salim.

Dalam konsert yang berlangsung selama dua jam itu, Siti berduet dengan Tan Sri Datuk S.M Salim menerusi lagu Pandang-pandang Jeling-jeling dan secara solo Siti memilih lagu yang pernah dipopularkan Tan Sri iaitu Ku Bermohon Kasih. Pihak Warner Music telah abadikan konsert itu dalam bentuk kaset dan CD.

Album : The Best of Siti Nurhaliza

Album ini adalah himpunan lagu-lagu terbaik nyanyian Siti menerusi album-albumnya sebelum ini serta memuatkan 2 buah lagu baru iaitu Di Taman Syahdu dan Gelora Kasih.

Album : Konsert Live Siti Nurhaliza

Kejayaan konsert solo pertama Siti Nurhaliza yang berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil pada 30 Oktober 2000 bukan sahaja meninggalkan kenangan manis buat diri Siti malah turut memberi kesan yang mendalam kepada para peminatnya. Kejayaan konsert sulung Siti itu juga telah diabadikan oleh SRC dalam bentuk audio dan visual dengan menerbitkan kaset, CD dan VCD.

Para peminat boleh menikmati sebanyak 26 buah lagu nyanyian Siti semasa konsertnya dan sebuah lagu bonus iaitu lagu Walinong Sari. Selain diselitkan lagu-lagu Allahyarham Sudirman Haji Arshad yang telah dinyanyikan semula oleh Siti, peminat juga boleh mendengar sedikit ucapan dialog Siti sewaktu persembahan konsert.

Album : Sahmura

Sahmura adalah sebuah album yang berkonsepkan pop trsdisional. Album ini merupakan ‘permulaan untuk seribu tahun lagi’ kerana ianya memasuki pasaran pada hari pertama di tahun 2000. Album Sahmura lahir bagi menyambung khazanah seni budaya kita supaya tidak mati ditelan zaman. Sahmura memberi maksud permata yang berkilauan. Album ini memuatkan 10 buah lagu-lagu ciptaan terbaru.

Antara lagu-lagu yang menarik perhatian para pendegar ialah Balqis, Ya Maulai, Canggai dan Joget Kasih Tak Sudah. Album ini berjaya memenangi Juara Kategori Etnik Kreatif dan Juara Lagu 2000. Dalam Anugerah Planet Muzik 2000 yang berlangsung di Singapura, Siti telah mengharumkan nama negara kerana diberi penghormatan sebagai Artis Wanita Terbaik, Artis Wanita Paling Popular dan Balqis muncul sebagai Lagu Paling Popular.

Album : Pancawarna

Lagu-lagu yang menjadi siulan anak-anak muda dalam album kelima Siti ini ialah Nian di Hati, Engkau Bagaikan Permata dan Kau Kekasihku. Lagu-lagu ini menjadi hit di stesen-stesen radio dan carta lagu RIM. Dalam album ini, Siti masih mendapatkan khidmat komposer terkenal seperti Adnan Abu Hassan, Azmeer dan Helen Yap. Seperti yang telah dijangka, Juara lagu 2000 masih menjadi milik penyanyi terkenal ini dan lagu ‘berhantu’ Kau Kekasihku diiktiraf Juara Kategori Balada. Lagu Nian Di Hati turut terpilih ke Juara Lagu 2000 dalam kategori Balada.

Album : Seri Balas

Selepas Seri Mersing, percubaan Siti menyanyikan lagu Melayu tradisional tidak dipandang rendah. Setelah Cindai muncul, album terbitan khas ini pula menyusul dengan mengekalkan konsep yang sama dan sambutan yang diterima juga amat mengalakkan. Siti kembali memeriahkan persada muzik tanah air menerusi album duetnya bersama penyanyi Noraniza Idris.

Gandingan mantap Siti dan Noraniza ketika mendendangkan lagu Hati Kama yang dimuatkan dalam album Seri Balas ini juga melayakkan mereka memenangi anugerah Album Pop Etnik Terbaik dan Album Terbaik AIM 2000. AIM 2000 merupakan kenangan paling manis buat Siti kerana berjaya merangkul hadiah Vokal Wanita Terbaik dan Anugerah Kembara. Susunan muzik Hati Kama cukup indah dan penuh keistimewaan yang tersendiri. Album ini juga mendapat pengiktirafan oleh RIM sebagai Pencapaian Album Melayu Terbaik 1999.

Album : Adiwarna

Gandingan lagu pop dan sentimental menjadi pilihan Siti dalam albumnya yang keempat iaitu Adiwarna.Album ini mengulangi kejayaan album-album yang lain dengan memenangi Album Pop Terbaik , Album Terbaik dan Siti juga dianugerahkan Vokal Wanita Terbaik dalam AIM 99. Siti telah menyertai Pertandingan Lagu Antarabangsa Pasifik Selatan dan mendendangkan lagu Satu Cinta Dua Jiwa/We’ll Be As One. Usaha Siti berbaloi kerana anugerah Persembahan Vokal Wanita Terbaik berada dalam genggamannya. Lagu yang didendangkannya pula diiktiraf sebagai Lagu Pop Terbaik. Bukan itu saja, untuk sekian kalinya Siti muncul Juara Lagu 99 dan Juara Kategori Balada menerusi Purnama Merindu.

Album : Cindai

Setelah sekian lama hasrat untuk mengabadikan irama Melayu Asli tersemat di hati, akhirnya lahirlah album ketiga Siti yang berjudul Cindai. Cindai membawa maksud selendang. Album ketiga ini cukup besar ertinya pada Siti kerana album ini mengenengahkan lagu-lagu Melayu tradisional seperti Cindai, Laksmana Mati Dibunuh, Kaparinyo, Joget Pahang, Joget Berhibur dan Lela Manja. Tahun 1998 juga sekali lagi menyaksikan kemenangan Siti dengan membolot Juara Lagu 98, Juara Irama Malaysia dan Juara Lagu Cindai.

Album : Siti Nurhaliza

Album kedua Siti yang diterbitkan pada 1997 ini masih bertajuk Siti Nurhaliza. Lagu-lagu yang dimuatkan dalam album ini memang sedap didengar seperti Aku Cinta Padamu, Wajah Kekasih, Kesilapanku Keegoanmu, Demi Kasih Kita dan Bisikan Asmara. Album ini agak istimewa kerana inilah pertama kali Siti berduet bersama penyanyi berbangsa Cina iaitu Ciang Teng melalui lagu Rindu Diantara Kita. Siti juga menyelitkan satu lagu bonus trak berbahasa Inggeris yang bertajuk ‘The Colour of My Life’. Vokal yang mantap dan lirik yang berkesan dalam lagu Aku Cinta Padamu membawa Siti ke Muzik-muzik 1997 dan memenangi anugerah Persembahan Terbaik, Juara Kategori Balada dan Juara Lagu 1997.

Album : Siti Nurhaliza

Melalui album pertama inilah, Siti mula mencipta kejayaan demi kejayaan dalam bidang nyanyian. Album ini juga menyaksikan Siti menggondol anugerah Persembahan Terbaik, Juara Kategori Balada dan Juara Lagu Muzik-muzik 1996 menerusi lagu yang menjadi kegemaran ramai iaitu Jerat Percintaan. Bukan itu sahaja, Anugerah Industri Muzik juga telah menobatkan Siti sebagai Penyanyi Wanita Baru Terbaik dan lagu Jerat Percintaan dipilih sebagai Lagu Terbaik AIM 1997.