Coklat bukan penyebab utama obesiti, jerawat

Oleh Hanisah Selamat

TERBAYANG keenakan strawberi cecah coklat, pemanis mulut kegemaran penyanyi nombor satu negara yang kini bergelar Datin Siti Nurhaliza. Bukan semua orang ‘seberani’ Siti menjadikan coklat sebagai pilihan terutama mereka yang giat menguruskan badan. Apatah lagi frasa ‘Coklat menggemukkan!’, menjadi taboo yang masih menghantui masyarakat terutama wanita.

Walaupun kajian saintifik membuktikan bahan menyelerakan ini mempunyai khasiat tersendiri, ia belum mampu mengikis tanggapan yang sekian lama menghantui pemikiran individu. Malah coklat tetap dikaitkan punca obesiti.

Bagi yang menjalani proses diet, pemanis mulut yang boleh didapati dalam pelbagai pilihan itu memang disenaraikan sebagai menu yang wajib dijauhi. Pemulauan coklat dalam senarai makanan sebenarnya merugikan.

Perunding Pemakanan/Dietetik sebuah hospital swasta, Norhaslina Othman berkata, tidak salah jika individu yang sedang berdiet mengambil coklat sekali atau lebih dalam seminggu kerana ia tidak akan menaikkan semula berat badan mereka.

Katanya, sebarang jenis makanan jika diambil berlebihan tidak elok untuk kesihatan, bukan membabitkan coklat saja.

“Kalau mahu menjamah sedikit coklat, tidak menjadi hal. Di pasaran ada banyak jenis coklat, jika was-was pengguna boleh memilih kandungan kurang lemak dan manisan. Terpulang untuk mengimbangi kalori yang diingini,” katanya.

Pada masa sama coklat turut dilabel penyebab utama jerawat. Keadaan biologi setiap individu amat berbeza. Pada masa sama, perubahan hormon antara faktor masalah ini. Kekurangan zink dan pengambilan lebih iodin juga menggalakkan kemunculan jerawat. Kelenjar yang tersekat ini akan menimbulkan bintik tidak diingini itu, bukannya pengambilan coklat!

Terdapat dua jenis kolesterol yang boleh dikategorikan sebagai kolesterol jahat LDL (lowdensity lipoprotein) dan kolesterol baik HDL (highdensity lipoprotein). Lemak koko sama sekali tidak mengandungi LDL sebaliknya HDL. Ia bagus kerana mengumpulkan lebihan kolesterol yang melalui jaringan tubuh dan diangkut kembali ke hati. Di sini kolesterol dibongkar menjadi asam hempedu seterusnya lemak dicernakan dan dikeluarkan menerusi ginjal serta ‘pintu belakang’.

Pada dasarnya koko mempunyai kafein seperti kafein dalam kopi dan theobromine pada daun teh. Gabungan alkaloid ini bersifat vasodilator (zat yang menyebabkan pelebaran pembuluh darah). Hasilnya otot yang tegang berumah rileks manakala jantung yang awalnya lesu aktif semula seterusnya membuatkan mood ceria. Keistimewaan ini yang menonjolkan coklat sebagai kudapan yang tidak patut ditinggalkan.

Mengikut kajian, penduduk Amerika menghabiskan coklat hampir satu juta kilogram setahun. Ini memberi makna setiap orang mengambil lima kilogram setahun. Pada hari Valentine saja mereka membelanjakan setengah juta dolar semata-mata untuk coklat.

FAKTA
Kandungan Coklat

Polyphenols

Antara kandungan utama dalam coklat yang berfungsi mencegah tengik. Polyphenols menjadi penangkis kepada beberapa penyakit kronik seperti kanser, sakit jantung, menurunkan tekanan darah dan strok. Jangan risau, jika sekadar mengambil dalam kuantiti diperlukan.

Theobromine

Sebaik menjamah coklat, individu akan berasa lebih bertenaga. Mata mengantuk secara automatik akan terbuka dek penangan bahan theobromine. Bagi individu yang diserang batuk, disyorkan mengambil coklat kerana dikatakan lebih mujarab daripada ubat batuk. Seperti teh yang digunakan untuk mencuci muka, kini coklat turut dijadikan pupur bagi menyegarkan kulit wajah.

Phenylethylamine

Kandungan phenylethylamine memberikan rangsangan otak yang menghasilkan dopamine. Kesan kehadiran dopamine mencetuskan perasaan ceria dan tenteram hingga membangkitkan mood romantis. Justeru coklat sangat sesuai sebagai hadiah paling romantik.

Antioksidan

Bagi individu yang risau dengan garis penuaan yang mula timbul di wajah, coklat barangkali boleh membantu. Sifat antioksidan mampu mencegah proses penuaan yang disebabkan kesan radiasi. Gaya hidup tidak seimbang dengan pilihan makanan segera yang diambil tanpa had juga menjadi penyumbang mempercepatkan proses berkenaan.

Tahukah anda?

Pengeluar coklat Hershey mencipta coklat bar tahan panas khusus untuk diagihkan kepada anggota tentera Amerika Syarikat ketika Perang Teluk 1991. Coklat yang dinamakan Desert Bar itu tidak akan cair walaupun menghadapi suhu setinggi 60C. Kerajaan Amerika berharap pengambilan coklat berkenaan dapat merangsang semangat juang perajurit mereka.