Skip to content

November 15, 2008

6

Cinta Kontra



Oleh Shamshul Azree Samshir
sazree@bharian.com.my

Jarak usia bukan penghalang sulam kasih

IBU bapa menjadi setengah gila, anak manis dipinang orang sebaya, hendak diberi pun salah, tak diberi pun salah, kata dan nasihat sudah tak guna…

Begitulah, bait lagu Cinta Kontra dendangan Anita Sarawak yang cukup popular pada awal 1990-an. Lagu itu mengisahkan penerimaan sebuah keluarga terhadap cinta yang disemai si anak yang berusia 15 tahun dengan lelaki yang boleh dipanggil bapa.

Lagu berkonsep humor yang menjadi ‘forte’ Kak Nita sejak dulu jelas menggambarkan senario yang dilihat dalam masyarakat sekarang. Sedar atau tidak, semakin ramai pasangan memilih calon isteri mahupun suami yang memiliki jarak usia berbeza.

Apabila menyentuh soal perbezaan usia, bukan jarak umur setahun dua menjadi perbandingan kerana ia hampir tidak dirasai pasangan. Sebaliknya, jangan terkejut, ada jejaka terpaut dengan pasangan senior yang usianya 10 tahun lebih tua daripada dirinya sendiri.

Mengapa agaknya jejaka terpaut dengan wanita lebih berusia? Apakah memilih pasangan bercirikan mummy figure mencetus aliran baru dalam masyarakat? Bagaimana pula ceritanya wanita yang terkesima dengan lelaki yang mungkin layak digelar bapa sendiri? Soal hati mungkin sukar dimengertikan…

Dua tahun lalu, apabila vokalis No 1 negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Taruddin yang ketika itu berusia 27 tahun mengumumkan hatinya terpaut dengan Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa, masyarakat memberi pelbagai reaksi. Jarak usia 10 tahun antara pasangan itu menjadi topik hangat di mana saja baik di pejabat atau warung kopi kerana mungkin peminat mahu Siti mencari pasangan seusia.

Umumnya, berkahwin dengan pasangan lebih berusia bukanlah sesuatu yang pelik di kalangan masyarakat kita terutama jika wanita itu berusia muda. Namun dek empunya nama Siti Nurhaliza, tentulah reaksi yang dilihat berbeza. Begitu juga ceritanya apabila ratu jazz negara, Sheila Majid menikahi pemuzik, Acis. Namun siapalah kita untuk mempertikaikan soal pilihan hati, biar tua atau muda, tentunya pertimbangan sudah dibuat sebaik mungkin sebelum janji diikat.

Kecenderungan berkahwin dengan pasangan lebih muda ketara dilihat di kalangan selebriti Hollywood. Perhatikan saja pasangan Madonna dan Guy Ritchie. Walaupun mereka dalam proses perceraian, istana cinta mereka bertahan hampir 10 tahun. Jangan lupa kasih antara Michael Douglas dan Catherine Zeta Jones serta siapa tidak kenal pasangan sensasi, Demi Moore dan Ashton Kulcher?

Dalam konteks masyarakat Melayu, lelaki cenderung memilih calon isteri berusia muda. Jika tidak terlalu muda sekalipun, jarak dua atau tiga tahun dianggap paling ideal. Dorongan memiliki isteri berusia muda bukan sekadar tarikan fizikal si gadis yang membuatkan lelaki gila bayang, namun sesetengah lelaki bijak menimbang faktor kemampuan isteri melahirkan zuriat.

Bagi lelaki berpandangan jauh, wanita muda yang memiliki tubuh sihat mampu melalui proses semula jadi sebagai ibu – bermula dari proses awal kehamilan, melahirkan anak, berpantang dan membesarkan cahaya mata. Dalam hal ini, sudah tentu wanita muda memiliki kelebihan dari aspek kekuatan fizikal. Malah wanita muda lebih subur berbanding wanita berusia.

Dalam hal ini, lelaki terutama yang mendirikan rumah tangga pada usia lewat, sudah pasti tidak mahu mengambil risiko gagal memperoleh cahaya mata jika menikahi gadis berusia – walaupun kadang kala faktor cinta membenamkan segalanya.

Sehubungan itu, lelaki yang berkahwin pada usia lewat cenderung memilih gadis muda berusia antara 25 hingga 30 tahun sebagai calon isteri. Pilihan ini semata-mata mahu memastikan keharmonian rumah tangga yang dibina. Lelaki berusia yang mempunyai alasan tersendiri berkahwin lewat, sudah tentu mahu memastikan isteri mengisi kekosongan usia yang ditinggalkan dek bekerja keras membina kerjaya dan cita-cita.

Lelaki yang mengorbankan mungkin lebih separuh daripada usia membina karier selain mengumpul harta sebagai jaminan masa depan, tentu mahu ‘keremajaan’ diri yang hilang, dikembalikan dengan pasangan muda. Lumrah orang muda, keseronokan meniti hari lain rentaknya berbanding mereka yang berusia. Jika ditanya, lelaki berusia mengakui kembali ceria menikmati hidup, melakukan pelbagai aktiviti selain khayal dilambung ombak cinta dengan si dia yang lebih muda.

Begitulah senarionya jika bercinta dengan pasangan muda. Secara tiba-tiba, sifat keanak-anakan kembali mewarnai hidup dan tentunya kekosongan hidup sebelum ini kembali terisi. Lelaki berusia tentu berasa diri kembali muda hingga auranya boleh dilihat melalui penampilan. Jika dulu warna kusam memenuhi koleksi pakaian di dalam almari, kehadiran buah hati berusia lebih muda menjadikan lelaki lebih berani mencuba warna lebih daring seperti merah atau fesyen seluar potongan terkini.

Dalam keadaan berbeza, ada juga teruna memilih gadis berusia. Jarak usia berbeza hingga 10 tahun tidak pernah menjadi penghalang kepada hubungan pasangan ini. Si jejaka mungkin memerlukan seseorang yang bersifat keibuan kerana dirinya anak ibu. Lelaki seperti ini dahagakan kasih sayang wanita matang yang tidak terlalu beremosi berbanding gadis sebaya jejaka terbabit.

Sebenarnya, ada dua senario apabila kita membincangkan isu wanita dari kelompok usia lewat 20-an dan 30-an ini. Kumpulan wanita ini sama ada mereka mencapai tahap kematangan hidup atau tidak terlalu memikirkan soal remeh temeh, atau kelompok ‘terdesak’, beremosi dan kuat cemburu. Dalam berdepan dengan gadis dari kumpulan usia ini, jelas pembawaan diri dan keserasian antara dua insan menjadi teras dalam hubungan.

Wanita matang lazimnya tidak melatah apabila berdepan krisis dalam hubungan. Mereka lebih cenderung mengambil sikap terbuka, diplomasi dan menggunakan alasan logik jika berdepan dengan sebarang masalah. Wanita matang banyak memikirkan pro dan kontra sebelum sesuatu tindakan diambil. Jika teman lelaki berusia muda menimbulkan masalah, wanita matang bijak mengatur strategi mengatasi kemelut yang dihadapi.

Wanita matang sentiasa mengingatkan diri mereka berhubung faktor usia dan kedudukan mereka dengan pasangan. Selalunya, wanita matang bersedia menghadapi sebarang risiko dan tahu langkah yang perlu diambil. Wanita matang juga memilih tidak memberi segala-galanya, jiwa raga mahupun harta apabila menjalin hubungan dengan lelaki muda.

Perunding Motivasi dan Presiden Pertubuhan Perunding Latihan dan Motivasi Muslim Malaysia (Tamrin), Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad, berkata wanita berusia rata-rata sedia menerima kehadiran lelaki muda sebagai calon suami asalkan individu terbabit memenuhi kriteria penting.

“Wanita berusia sedia bercinta dengan jejaka muda asalkan lelaki itu matang fikirannya, berperasaan, bertolak ansur, memahami dan bersifat romantis,” katanya kepada XY – Ikon Lelaki.

Dr Tengku Asmadi berkata, lelaki muda pula cenderung memilih wanita berusia atas faktor kestabilan ekonomi dan kerjaya wanita terbabit; kematangan diri; lebih mengambil berat dan memahami; lebih bertanggungjawab selain tarikan batiniah.

“Bagi lelaki, wanita berusia yang mencapai kedudukan ekonomi dan kerjaya yang baik memudahkan mereka membina rumah tangga. Semua sudah ada, tidak payah bersusah-susah… Bukanlah bermaksud hendak mengikis atau menumpang, tetapi soalnya banyak perkara atau beban terlepas jika wanita terbabit sudah mencapai tahap kehidupan stabil,” katanya.

Dr Tengku Asmadi berkata, masyarakat sekarang menerima pasangan yang berbeza jarak usia kerana perubahan gaya hidup selain pemikiran lebih terbuka.

Ditanya apakah faktor ‘mummy figure’ mendorong lelaki mencari wanita lebih berusia sebagai teman hidup, beliau berkata:

“Saya tidak nampak itu faktornya… Kalau berlaku pun, ia hanya kebetulan. Saya tahu ada lelaki yang memperisterikan wanita lebih tua bukanlah anak emak. Mereka sebaliknya lelaki sejati dan mampu berdikari.”

Dr Tengku Asmadi berkata, jika lelaki memperisterikan wanita berusia, tanggungjawab lelaki sebagai ketua keluarga tidak harus berpindah ke wanita.

“Kena pastikan jangan sampai tugas sebagai ketua keluarga berpindah pula kepada isteri. Sebelum berkahwin kita kena jelas, jangan sampai peranan berpindah pula kepada isteri nanti jadilah pula queen control,” katanya mengingatkan kaum Adam tanggungjawab sebagai ketua keluarga masih berada di bahu mereka walaupun isteri lebih berusia.

10 sebab kenapa pilih pasangan berusia?

Matang – pasangan berusia baik lelaki atau wanita bijak dan tidak memandang remeh perkara penting dalam mengurus rumah tangga.

Stabil – pasangan berusia sudah mencapai tahap kehidupan stabil baik dari aspek kerjaya dan ekonomi.

Berwawasan – pasangan berusia mempunyai wawasan dan hala tuju perkahwinan serta masa depan.

Pelindung – ada individu mencari pasangan yang mampu memberi perlindungan baik dari aspek fizikal dan emosi. Lazimnya mereka yang berusia memenuhi kriteria ini.

Tidak terlalu beremosi – pasangan berusia lebih rasional dan tidak terlalu mengikut emosi dalam menghadapi sebarang situasi.

Pandai jaga hati – pasangan berusia lebih dulu makan garam dan pandai melayan kehendak hati selain mengawal situasi.

Penyayang – sesuai dengan usia matang, pasangan berusia lebih penyayang dan sensitif dengan kehendak si dia.

Pandai bawa diri – pasangan berusia tahu usia mungkin membatasi pergerakan dan tingkah laku tetapi mereka pandai membawa diri demi menjaga imej, reputasi dan kerukunan rumah tangga.

Setia – pasangan berusia lebih setia kerana fokus hidupnya hanya pada si dia dan tidak memikirkan perkara bukan-bukan yang boleh mencemar kesucian cinta.

Berpengalaman – apa lagi alasan terbaik? Pengalaman tentunya mematangkan diri menjadi insan hebat untuk menyayangi dan disayangi. Ini tidak boleh dijual beli!

Tip berkasih dengan pasangan berusia mengikut Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad

Jika anda lelaki muda beristerikan wanita berusia, pastikan jangan sampai tanggungjawab ketua keluarga berpindah kepada isteri. Hak dan tanggungjawab lelaki sebagai ketua keluarga tidak pernah berubah biarpun mengahwini wanita berusia. Lelaki perlu jelas dengan peranan mereka bagi mengelak diri menjadi mangsa queen control!

Sebagai lelaki muda, anda perlu cepat belajar dan matangkan diri. Belajar dari mereka yang berpengalaman mengenai ilmu berumah tangga. Lebih elok, timba ilmu sebelum berkahwin supaya rumah tangga harmoni.

Suami berusia muda perlu faham bahawa Isteri berusia kadang kala sensitif dan cemburu kerana bimbang suami mungkin cenderung memikat gadis lebih muda. Suami perlu lebih sensitif dan menjaga hati isteri yang berusia.

Berita Harian

Read more from Berita Harian
6 Comments Post a comment
  1. Nov 15 2008

    Saya suka melihat pasangan-pasangan yang bahagia, hidup aman damai dan membina keluarga yang bahagia..tak kira usia. Asalkan rumahtangga aman, tak bercerai berai dan anak-anak tidak terbiar.

    Reply
  2. Nov 15 2008

    wartawan ni bodoh ke tak buat homework. Takde masalah kalau pompuan kawin lelaki 10 tahun tua darinya. Masalahnya datuk siti tu kawin dengan lelaki 20 tahun tua darinya!

    Reply
  3. nyonya
    Nov 17 2008

    aiya…ini waltawan manyak gila woo. itu nyonya aahh dua pulut taun beja umut. talak baca buku punya olang aahh ini

    Reply
  4. kekwa
    Nov 17 2008

    wartawan saja nak kipas montot

    Reply
  5. Nov 17 2008

    saper nk jual brg kemas terpakai ke patah ke rosak ke sayer beli….nti aper2 call atau layarwww.buygold916.blogspot.com….k….

    Reply
  6. agk7
    Nov 18 2008

    There r things dat young woman need to consider down de line b4 marring a “much” older man. Right now he may be very spry & in good health, but de time comes when his health will go down & she will still be in her prime.

    She must be able & willing to take on all the repsosibilities dat go along with aging, also. Someone that much older is going to play out sooner dan her. More than likely. Wen de years begin to take its toll on de young woman & him, dis wl tell de true story. If its true love de relationship may last. If not, the story gets ugly and dirty.
    As long as she don’t mind taking care of someone dat may lose their mind before she does, it’s fine.
    Why such a large age gap? Looking for a daddy? I hope not.

    Reply

Leave a comment

required
required

Note: HTML is allowed. Your email address will never be published.

Subscribe to comments