Cincin tatah berlian pengikat hati dua sejoli

TARIKH sudah pun ditetapkan dan kini menghitung hari untuk meniti hari bahagia. Tetapi yang pastinya, sebentuk cincin akan menjadi simbol untuk melahirkan, meluahkan dan menyatakan perasaan. Hakikat inilah yang tidak mungkin dapat dinafikan pasangan penyanyi nombor satu negara, Siti Nurhaliza dan ahli perniagaan, Datuk Khalid Mohd Jiwa dalam mengikat jalinan cinta mereka dalam masa beberapa hari lagi.

Sejak dulu sudah dibuktikan cincin mempunyai ‘kuasa penyatuan’ emosional, spiritual dan fizikal antara dua insan yang mempunyai perasaan kasih sayang. Sebentuk cincin yang direka dengan istimewa bukan hanya cantik di mata, tetapi lebih bernilai di hati pemiliknya atau si penerima.

Rekaan cincin unggul bukan saja membawa maksud padanan sempurna tetapi juga makna tersirat yang menjadi pelengkap antara satu sama lain khususnya bagi jiwa memberi dan menerima. Apatah lagi, dalam masyarakat Melayu terutama yang mementingkan adat, cincin adalah barangan perhiasan yang mesti dibawa sewaktu menjalankan majlis pertunangan dan perkahwinan.

Justeru, tidak hairan seandainya cincin sering menjadi tumpuan dan keutamaan dalam setiap majlis besar seperti merisik, pertunangan atau perkahwinan. Begitulah juga dengan majlis perkahwinan yang bakal berlangsung antara Siti Nurhaliza dan Khalid.

Ramai yang ingin tahu rekaan dan sentuhan pembuatan cincin yang bagaimanakah akan disarungkan ke jari manis pada hari bahagia mereka. Ada mengatakan cincin dibeli di luar negara berharga ratusan ribu ringgit dan ada juga yang mendakwa, pasangan berkenaan menempah cincin di malaysia saja.

Berdasarkan pandangan jauhari, cincin bertatahkan berlian dan bersalut emas putih adalah paling tepat dan sesuai untuk meraikan pasangan mempelai yang akan melangkah ke gerbang perkahwinan. Ini kerana berlian mempunyai aura yang begitu intim dan menyentuh kalbu. Padanan emas putih pula adalah aliran masa kini dan menjadi pilihan generasi muda.

Beberapa pereka aksesori yang dihubungi berkata, kebanyakan wanita memang menyukai berlian kerana selain melambangkan kemewahan dan bernilai tinggi ia juga mempunyai keunikan tersendiri yang tiada tandingan.

“Kilauan berlian bukan saja memancarkan sinaran yang memikat hati tetapi memberikan kesan menusuk jiwa dalam kehidupan. Sebutir berlian yang berkilau pastinya jawapan terbaik untuk suatu ikatan lebih abadi,” kata seorang pereka yang enggan dikenali.

Katanya, walaupun berlian pada zahirnya jernih dan tiada warna, apabila berkilauan ia akan memancar semarak warna pelangi yang memukau pandangan. Sekali gus, tentu memberi makna yang begitu mendalam di antara si pemberi dan penerima.

Namun, gaya rekaan cincin berlian bagaimanakah yang sesuai untuk disarungkan ke jari manis Siti Nurhaliza? Ada pereka berpendapat, rekaan ‘princess cut’ paling serasi untuk penyanyi jelita itu. Rekaan seumpama itu bukan saja klasik tetapi juga mempunyai nilai sentimental dan sesuai untuk wanita muda berjiwa tabah dalam mengharungi dugaan.

“Saya percaya Siti akan dihadiahkan sebentuk cincin yang direka sempurna dan bermutu tinggi. Namun, apa saja dipakainya tetap cantik kerana ciri wanita menarik sentiasa ada pada dirinya,” katanya.

Bagaimanapun, sebagai panduan memilih cincin sesuai, pereka itu berkata jika jari seseorang itu mempunyai jari runcing beliau adalah insan yang bertuah kerana apa saja bentuk atau rekaan, semua sesuai digayakan. Berbanding mereka yang mempunyai jari pendek, tidak sesuai memilih cincin relung terlalu lebar kerana ia akan menampakkan jarinya lebih pendek. Bentuk tatahan berlian yang sesuai untuk jari seperti itu pula ialah berbentuk bujur atau potongan badam.

Ekskutif Perhubungan Awam Habib, Yasheedah Yashyaiya turut tidak menafikan, cincin bertatahkan berlian adalah hadiah paling istimewa untuk meraikan hari perkahwinan. Lebih unik, berlian sering dikaitkan dengan komitmen, kesetiaan dan kasih sayang.

Katanya, rekaan cincin perkahwinan lebih romantik dan paling sesuai ialah apabila ia bertatahkan berlian garam sebuku atau solitaire diatasnya. Berlian ini terkenal kerana potongannya yang sempurna memancarkan kilauan sungguh menakjubkan.

“Solitarie membawa maksud ‘satu’. Ia sesuai menjadi hadiah perkahwinan kerana tatahan solitaire itu bermakna – sekali perkahwinan dalam seumur hidup,” katanya.

Beliau berkata, antara kelebihan pemberian cincin berlian ialah mengungkapkan emosi seseorang dan wanita yang menerima lazimnya akan berasa bangga memilikinya apatah lagi ia adalah hadiah daripada seseorang disayangi. Selain itu, berlian juga serasi untuk mereka yang dilahirkan dalam bulan April.

“Batu permata seperti berlian, nilam, delima dan sebagainya sering juga dikaitkan dengan zodiak seseorang. Kononnya, ciri-ciri terdapat pada batu itu melambangkan peribadi seseorang. Misalnya, mereka yang lahir pada bulan Januari serasi dengan granit iaitu batu permata berwarna merah gelap. Antara ciri granit ialah melambangkan sikap konsisten dan keteguhan dirinya. Orang ini juga penyabar dan tabah, serta sanggup menghadapi segala rintangan hidupnya,” katanya.

Apapun, kita tunggu pada 21 Ogos ini. Bagaimana bentuk dan rekaan yang akan disarungkan ke jari manis Siti, semuanya akan terjawab.

FAKTA
Cincin dalam adat budaya masyarakat Melayu

Dalam masyarakat Melayu, cincin adalah barangan perhiasan yang mesti dibawa sewaktu menjalankan majlis merisik, pertunangan dan perkahwinan kerana ia dianggap lambang yang mengikat lelaki dan perempuan sebagai suami isteri.

Cincin mempunyai erti tersendiri yang tidak dapat dirasakan jika barang kemas lain seperti rantai atau gelang tangan dijadikan ganti. Malah, dalam masyarakat Melayu dulu, jika barang kemas lain dijadikan sebagai ganti ia seperti janggal kerana cincin sejak dulu dianggap sebagai tanda perkahwinan.

Ada di sesetengah kawasan, semasa merisik gadis lagi, cincin yang disebut sebagai cincin tanda juga diberi. Ini bermakna selepas majlis perkahwinan pengantin perempuan akan mendapat tiga bentuk cincin iaitu cincin semasa merisik, bertunang dan berkahwin.

Urusan pemilihan cincin juga diserahkan sepenuhnya kepada pihak keluarga lelaki dan pihak perempuan hanya menerima apa saja yang dibawa. Berbeza dengan fenomena sekarang yang pemilihan cincin ditentukan sendiri oleh pasangan bakal berkahwin.

Dulu, ketika urusan peminangan dijalankan, cincin yang dibawa hanyalah cincin emas biasa tanpa batu kerana ia hanya sebagai tanda bahawa gadis itu sudah diikat secara tidak rasmi.

Upacara menyarung cincin biasanya dilakukan oleh emak saudara, kakak atau saudara perempuan terdekat bakal pengantin lelaki itu ke jari manis tangan kiri si gadis.

Hanya semasa hari perkahwinan, barulah cincin emas bertatahkan berlian dibawa. Dulu, walaupun pihak lelaki bukan golongan berada, cincin yang dibawa tetap bertatahkan berlian.

Dulu upacara menyarung cincin selepas diijabkabul bukan dilakukan oleh suami tetapi saudara perempuan terdekatnya dan jari yang dipakaikan cincin tetap jari manis tangan kiri, bukan kanan seperti sekarang.

Ada di sesetengah tempat juga pihak perempuan membalas balik cincin pemberian lelaki dengan cincin juga tetapi bukan emas dan tiada batu. Bagaimanapun, ia bukan adat dan terpulang kepada budi bicara masing-masing.

Cincin disarungkan ke jari manis bulan saja paling cocok tetapi kononnya turut berkait rapat dengan hati yang boleh menyatukan cinta untuk selama-lamanya. Bagaimanapun, bukan hanya masyarakat Melayu yang menyarungkan cincin ke jari manis tetapi juga semua masyarakat di dunia ini.