Cerita Ramadan Siti Nurhaliza

Oleh: SHAZRYN MOHD. FAIZAL

ImageShack
SITI bersama Olay Total Effects terbaru yang memberi rawatan anti penuaan terhadap wajahnya.

DALAM diam tak diam, 1 Ramadan sudah mula disambut oleh umat Islam semalam. Sekali gus itu juga, penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, menyambut Ramadan untuk tahun kedua sebagai seorang isteri.

Jika hendak dibandingkan tahun lepas ketika dia masih lagi baru menjadi isteri kepada usahawan, Datuk Khalid Mohamad Jiwa, sudah pastinya, kali ini penyanyi berdagu lekuk itu sudah arif mengenai persiapan menyambut Ramadan.

“Menyambut puasa sebagai isteri tahun lepas memberi satu pengalaman baru buat diri saya dan sudah menjadi satu kebiasaan kini bagi saya untuk menyediakan juadah untuk berbuka puasa.

“Alhamdulillah, berkat tunjuk ajar daripada kedua ibu dan ibu mertua saya, dapatlah kini saya menyediakan dan memasak sendiri juadah untuk berbuka puasa. Bukan pandai sangat pun, cuma untuk makan-makan sendiri sahaja. Dulu, masa bujang, masak pun ala kadar saja. Sekarang bila dah berumah tangga, semuanya berubah,” jelas Siti ketika ditemui selepas majlis pelancaran produk Olay Total Effects terbaru, malam Selasa lalu.

Jelas Siti, antara hidangan yang dikira ‘wajib’ untuk berbuka puasa adalah sambal udang petai, ikan masin, ikan patin tempoyak serta ulam-ulaman yang menjadi kegemaran suaminya.

“Namun, saya belajar juga untuk memasak kari dan asam pedas bagi mempelbagaikan juadah berbuka. Saya jarang membeli di pasar Ramadan melainkan kuih-muih dan hidangan yang teringin dimakan seperti ayam percik. Lagipun, ibu mertua saya suka jika berkumpul ketika waktu berbuka dan sama-sama menikmati hidangan,” katanya yang anggun mengenakan busana hitam rekaan Khoon Hooi pada malam itu.

Untuk bersahur pula, Siti menjelaskan, hanya sekadar roti dan susu menjadi pilihannya dan juga suami.

“Mengenai sembahyang terawih pula, sudah pasti saya tidak akan melepaskan peluang mengerjakannya. Itu pun jika saya tidak mempunyai sebarang aktiviti seni pada waktu malam. Selalunya saya akan ke masjid berhampiran dengan rumah,” ujar Siti yang baru sahaja dinobatkan sebagai Vokal Wanita Pilihan buat kali kelima pada Anugerah Era 2007 lalu.

Seperti tahun-tahun sebelum ini, ramai yang tahu, Siti Nurhaliza pasti akan mengerjakan umrah pada bulan mulia itu. Bagaimana pula tahun ini?

“Tahun ini, saya tidak mengerjakan umrah kerana saya kini sibuk dengan latihan teater muzikal, Remy…Kisah P. Ramlee (RKPR) dan juga akan memasukkan vokal untuk rakaman album pop saya tidak lama lagi. Lagipun, saya sudah mengerjakan umrah bulan Mei lalu,” jelasnya yang juga duta produk Pantene.

Teater dan album baru

Watak Azizah yang menjadi miliknya dalam teater muzikal RKPR terbitan Enfiniti Productions Sdn. Bhd., bakal menjadi penanda aras buat penyanyi jelita ini di dalam bidang lakonan.

Untuk memastikan watak Azizah kelak meninggalkan kesan di hati penonton dan peminatnya, kini dia giat menjalani latihan di bawah pengarah teater berkenaan, Adlin Aman Ramlie dan Zahim Al-Bakri.

“Saya sudah menjalani latihan sejak bulan lalu. Lagipun, watak Azizah tidak banyak di dalam teater ini, jadi bukan setiap hari saya akan jalani latihan.

“Dalam seminggu, dua kali saya akan ke lokasi latihan bersama pengarah dan pelakon. Namun, kini latihan makin giat dilakukan memandangkan pementasannya pada 19 Oktober nanti,” jelas wanita kelahiran Kampung Awah, Temerloh, Pahang ini lagi.

Selepas lahirnya album Transkripsi, Siti ada mengatakan mahu menerbitkan pula album tradisional selepas lima tahun tidak melahirkan album bercorak sedemikian. Kali terakhir adalah album Sanggar Mustika pada tahun 2002.

“Masalah saya sekarang adalah material untuk album tradisional tidak mencukupi tetapi material untuk album pop pula yang banyak saya terima. Mahu tidak mahu, saya akan teruskan dengan rakaman album pop. Konsepnya masih seperti yang saya lakukan untuk Transkripsi. Insya-Allah, sepanjang bulan puasa ini saya akan rakamkan album itu dan akan berada di pasaran selewatnya sebelum hujung tahun,” kata Siti yang turut meminta lagu dari komposer dan penyanyi Indonesia, Katon Bagaskara.

Penyanyi lagu-lagu filem

Sebelum ini, Siti Nurhaliza pernah menyanyikan lagu untuk filem Laila Isabella (2003), Paloh dan Puteri Gunung Ledang (2004) masing-masing menerusi lagu Untuk Selamanya, Tetap Di Sini dan Bagaikan Sakti yang menyaksikannya berduet dengan M.Nasir.

Tahun ini, dia telah menyumbangkan suara lemak merdunya itu untuk lagu yang dimuatkan dalam dua buah filem iaitu Kayangan dan 1957: Hati Malaya.

Untuk Kayangan, dia telah mengalunkan lagu ciptaan Ajai, Menanti Pasti manakala untuk 1957: Hati Malaya pula, dia merakamkan lagu Hati hasil ciptaan Sharon Paul.

Ini merupakan kali pertama pemenang Vokal Wanita Terbaik AIM sebanyak lapan kali itu menyumbangkan vokalnya untuk filem arahan Shuhaimi Baba.

“Sebelum ini, Shuhaimi Baba banyak kali menawarkan saya menyanyi lagu untuk filemnya termasuk Waris Jari Hantu namun, saya tidak berkesempatan kerana terikat dengan komitmen lain. Jadi, apabila diberi peluang merakamkan lagu Hati, saya terima kerana tertarik dengan melodi dan liriknya.

“Saya menyanyikan lagu Hati dengan penuh penghayatan dan semangat selepas diberi sedutan filem itu oleh Shuhaimi Baba. Daripada situ, saya meletakkan diri saya di dalam filem itu dan menghayati sepenuhnya untuk lagu Hati,” katanya teruja.

Setia bersama Olay

Bercerita tentang Olay, Siti menjelaskan dia begitu tertarik dengan Olay Total Effects (OTE) terbaru yang memberikan kesan yang singkat pada wajahnya.

“Pada mulanya, apabila mereka memberi sebotol OTE yang baru untuk dicuba, saya enggan menerimanya kerana sudah berpuas hati dengan OTE yang sedia ada.

“Setelah mencuba, dapat dilihat perbezaan pada wajah saya berbanding OTE yang lama dan baru ini. Yang lama, ia menentang tujuh penanda penuaan tetapi yang baru ini, ia memberikan rawatan kepada anti penuaan,” kata Siti yang enggan menjelaskan jumlah bayaran yang diterimanya bagi menyambung kontraknya bersama Olay untuk tahun kedua.

Tambah Siti lagi, dengan aktiviti seni yang tiada berpenghujung, menyebabkan dia sedar, bahawa dia perlu menitikberatkan kecantikan dirinya dan dengan itu, dia mempercayai OTE mampu membantunya.

“Ada sekali, selepas bercuti di Indonesia, saya perlu bergegas ke Bangkok, Thailand untuk menjalani penggambaran iklan untuk Olay. Bayangkan, betapa penatnya saya ketika itu. Bagaimanapun, OTE mampu membantu saya dalam memberi rawatan kepada muka saya. Malah, OTE ini juga boleh digunakan oleh kaum lelaki,” jelas Siti.