Faizal Tahir Ungguli AIM15
Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
Siti Nurhaliza bersama Faizal Tahir memegang anugerah yang diperoleh semasa Majlis Penganugerahan AIM 15, di PWTC, semalam.
KUALA LUMPUR 3 Meiῖ Faizal Tahir malam ini merangkul empat anugerah utama pada Anugerah Industri Muzik Ke-15 (AIM15) yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini.
Anugerah yang digondol beliau adalah Album Terbaik, Album Rock Terbaik, Artis Terbaik Lelaki dan Persembahan Vokal Terbaik melalui album Aku.Muzik.Kamu.
Penerbit yang terlibat dalam menghasilkan album itu ialah Ahmad Izham Omar, Faizal Tahir, Aubrey Suwito, Audi Mok dan Kunci Demak.
Album tersebut dipilih dari empat album lain yang bertanding dalam kategori itu iaitu Hadiah Daripada Hati (Datuk Siti Nurhaliza), Melodi Ahlaan (Waheeda), Maulana (Rabbani) dan Eclecticism (Melissa Indot).
Sementara itu, Persembahan Vokal Terbaik Wanita pula menyaksikan penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza merampas kembali gelaran itu setelah tewas pada tahun lalu.
Dengan kemenangan itu juga, Siti Nurhaliza berjaya mencipta sejarah apabila berjaya memenangi gelaran tersebut buat kali kesembilan sekali gus menghampakan empat calon lain iaitu Elyana (Jadi Diriku), Atilia (Sangkar), Dayang Nurfaizah (Dayang 2007) dan Karen Kong (Mulakan).
Bukan itu sahaja, penyanyi tersohor itu juga memenangi Album Pop Terbaik menerusi album Hadiah Daripada Hati.
Acara anugerah muzik berprestij itu juga memilih lagu Izinku Pergi ciptaan Azlan Abu Hassan dan Sulu Sarawak yang dinyanyikan oleh Kaer Azami sebagai Lagu Terbaik dengan menewaskan empat buah lagu lain iaitu Menanti Pasti, Mahakarya Cinta, Itu Kamu dan Sekian Lama.
Powered by Utusan Malaysia
Keterujaan Tiara Jacquelina Terhadap P. Ramlee
Oleh WANDA IDRIS
Sean Ghazi dan Siti Nurhaliza tidak terlibat dalam pementasan kali ini.
TERUJA dan terus bersemangat. Itu perasaan yang dirasai Datin Seri Tiara Jacquelina dalam usaha untuk membawa sekali lagi naskhah P. Ramlee kesayangannya ke pentas teater.
Apalagi pementasan kali ini yang dilangsungkan di Istana Budaya bermula pada 28 Mei menjadi antara detik dan usaha untuk memperingati pemergian Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang kembali ke rahmatullah pada 29 Mei 1973.
Justeru, pasti sahaja hanya satu impian yang ingin direalisasikan oleh seorang penerbit berhati waja ini dalam memberi hanya yang terbaik kepada khalayak sebagai tanda penghargaannya buat seorang Seniman Agung.
“Memang semangat menjayakan pementasan kedua kali ini lain macam sikit. Selain sebagai tanda penghormatan kepada beliau, pemergian naskhah ini ke Singapura juga mengundang satu kebanggaan,” kata Tiara.
Kembali ke Jalan Ampas dengan membawa bendera negara, P. Ramlee akan bertamu di pentas bertaraf dunia di Esplanade Theatre, Singapura bermula 17 Mei sebelum kembali ke Kuala Lumpur untuk menyingkap kisah sebenar ikon dunia seni tempatan, bermula tahun 1948 sehinggalah akhir hayat P. Ramlee pada 1973.
Menyingkap jalur-jalur kehidupan seni pemilik nama Teuku Zakaria bin Teuku Nyak Puteh serta kecintaannya kepada wanita-wanita yang pernah mengisi kehidupannya, pementasan kali ini diterajui oleh Adlin Aman Ramlie sebagai pengarah serta Zahim Al-Bakri yang bertindak sebagai pengarah bersekutu.
“Matlamat kami mencipta sesuatu untuk semua dan kepada semua yang menyayangi P. Ramlee,” kata Tiara lagi.
Menjanjikan persembahan yang lebih mantap dalam pelbagai sudut termasuk skrip, persembahan dan teknikal, P.Ramlee The Musical…The Life, The Loves & The Inspiration juga menyaksikan kemunculan beberapa ‘orang baru’.
Musly Ramlee dan Emelda Rosmila diangkat menjadi sebahagian keluarga pementasan P. Ramlee kali ini dengan masing-masing mendukung watak P. Ramlee dan kekasihnya, Azizah yang sebelum ini dijayakan oleh Sean Ghazi dan Datuk Siti Nurhaliza.
“Sebagai penerbit, saya seronok dengan keterujaan untuk menyaksikan perubahan dinamik dalam pementasan teater seperti ini.
“Saya juga gemar meneroka bakat-bakat baru serta tenaga segar dalam memenuhi perkembangan industri kesenian kita.
“Salah satu peranannya adalah memberi peluang kepada mereka yang berpotensi yang mempunyai impian kerana saya juga bermula dengan satu impian.
“Emelda memang seorang yang berbakat. Dia pelakon dan boleh menyanyi. Musly pula bagi saya sememangnya jelmaan P. Ramlee. Wajahnya, senyumannya, suaranya malah lenggok gayanya juga bak legenda kesayangan kita itu.
“Pasti ramai yang akan tergamam melihatnya di pentas nanti. Kerana saya sendiri begitu merasainya dan dia bagi saya adalah pilihan terbaik untuk muzikal ini,” kata Tiara dalam keterujaannya memperkenalkan bintang baru dalam pembikinan itu.
Biar diberi masa hanya enam minggu untuk berlatih dan mendalami watak, kata Tiara, Musly yang sememangnya meminati P. Ramlee, menjayakannya tanpa banyak kerenah malah begitu komited mentransformasikan dirinya menjadi P. Ramlee.
Justeru, kata Tiara, dia percaya, kehadiran Musly pada pementasan itu mampu memberi impak terbaik sekali gus menjadi penanda aras kepada pengukuhan kedudukannya sebagai seorang bintang teater.
Masih mengekalkan Liza Hanim sebagai Saloma, Melissa Saila (Norizan) dan Atilia (Junaidah), pementasan terbitan Enfiniti Productions Sdn. Bhd. itu turut menyaksikan kelainan dari segi muziknya kerana kali ini, Roslan Aziz bakal menggantikan Erwin Gutawa sebagai pengarah muziknya.
“Banyak kelainan yang ditonjolkan. Orang kata lain tukang masak, lain pula rasanya. Dan di tangan Adlin, pengolahannya juga berbeza. Dapat pula bekerjasama semula dengan Roslan Aziz yang juga merupakan peminat setia P. Ramlee, pasti akan memberi impak tersendiri.
“Apalagi pementasan kali ini, kami menerapkan lebih banyak jiwa dan kehadiran Seniman Agung itu menerusi lagu-lagunya. Dengan penampilan dan gaya dan lenggok suara Musly yang seakan-akan P. Ramlee membuatkan Roslan lebih bersemangat untuk menambah lebih banyak lagu,” kata Tiara.
Dia juga memberitahu, terdapat beberapa bahagian jalan cerita yang disunting semula dengan ada sebahagiannya ditambah manakala sebahagian yang lain pula dibuang.
“Apa yang boleh saya katakan, persembahan kali ini lebih padat dan mampat dengan iringan muzik dan lagu yang lebih daripada kelaziman.
“Kepada yang sudah menonton persembahan pertama pasti akan dapat merasai kelainan kali ini. Saya sendiri yang tengok latihannya lebih 20 kali tetap terasa perbezaannya.
“Apalagi, bila kita membuat perubahan pelakon, tentu semangat dan tenaganya juga akan berubah dan lebih dinamik. Misalnya watak-watak Norizan dan Saloma yang nampak sekali berlainan pembawakannya apabila watak P. Ramlee dipegang oleh Musly.
“Kemunculan Musly bersama Liza sebagai P. Ramlee dan Saloma paling membuatkan bulu roma saya berdiri,” kata Tiara terhadap keserasian Musly dengan wataknya bersama-sama wanita-wanita kesayangan P. Ramlee.
Pesan Tiara lagi: “Saya tidak sabar menanti reaksi khalayak terhadap pementasan kali ini. Dan kepada orang ramai, buatlah tempahan awal kerana bukan selalu kami dapat menyajikan kepada anda pementasan seperti ini kerana kos yang tinggi.”
Powered by Utusan Malaysia
Bicara Remaja Saman Datuk K September Tahun Depan
SHAH ALAM 25 April – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan tarikh perbicaraan kes seorang remaja menyaman ahli perniagaan, Datuk Seri Khalid Mohamed Jiwa (gambar) atau lebih dikenali sebagai Datuk K, setelah mendakwa dipukul oleh suami penyanyi nombor satu negara itu, Datin Seri Siti Nurhaliza Taruddin, pada 28 September 2009.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mariana Yahya menetapkan perbicaraan selama enam hari sehingga 2 Oktober 2009. Beliau menetapkan tarikh tersebut ketika kes disebut di kamar beliau, pagi ini.
Peguam plaintif, Suraj Singh ketika ditemui di luar mahkamah, memaklumkan tarikh perbicaraan tersebut. Suraj mewakili Muhammed Kasheef Harris Sivapatham (plaintif) bersama-sama peguam Gobind Singh Deo.
Selain itu, menurut Suraj plaintif akan mengemukakan keterangan lapan orang saksi dan setakat ini, fakta mengenai kejadian serta dokumen berkaitan telah lengkap.
Dalam kes itu, Khalid selaku defendan diwakili peguam Gurbachan Singh.
Pada 13 April 2007, Muhammed Kasheef yang mendakwa dipukul oleh Khalid memfailkan saman di Mahkamah Tinggi di sini untuk menuntut satu deklarasi bahawa tindakan defendan menahannya di rumah No. 3, Jalan Wangsa 13, Bukit Antarabangsa, Ampang pada Mac tahun yang sama adalah salah di sisi undang-undang.
Dalam writ saman setebal 14 muka surat yang difailkan pada 13 April 2007, Muhammed Kasheef, kini 19 tahun, menuntut pengisytiharan bahawa tindakan defendan yang didakwa menahannya lebih kurang pukul 11.30 malam, 17 Mac 2007 sehingga pukul 1 pagi, esoknya adalah salah.
Muhammed Kasheef juga menuntut satu perintah injunksi bagi menghalang defendan sama ada secara peribadi mahupun ejen-ejennya daripada mencederakan plaintif secara fizikal sementara menunggu perbicaraan penuh saman tersebut.
Powered by Utusan Malaysia
Saida Mencemburui Siti?
Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED metra.mohamed@utusan.com.my
MEMILIKI wajah yang cantik, Saida ingin mencuba nasib sebagai pelakon seandainya mendapat tunjuk ajar.
UMUMNYA masyarakat di negara ini tahu, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, 29, sememangnya merupakan penyanyi nombor satu negara.
Kedudukan yang dikecapi anak jati Kuala Lipis, Pahang itu bagaikan sukar digugat biarpun ramai artis baru muncul menghangatkan industri hiburan tanah air.
Dengan kejayaan demi kejayaan termasuk anugerah yang diterima Siti Nurhaliza, ia sudah pasti membuatkan sesiapa sahaja ‘makan hati’ atau berasa cemburu.
Tidak terkecuali, empunya diri bernama Siti Norsaida Tarudin, 32, pelajar Akademi Fantasia musim keenam (AF6) turut dikatakan menyimpan perasaan tersebut terhadap penyanyi tersohor berkenaan.
Lantaran itu, Siti Norsaida atau lebih mesra dengan panggilan Saida bertindak menyertai AF6 bagi mengecap populariti yang mampu menandingi kehebatan Siti Nurhaliza.
Bagaimanapun, Saida yang baru sahaja tersingkir daripada meneruskan perjuangan di AF6 Sabtu lalu, bertegas menafikan segala dakwaan itu.
Menurut Saida, perasaan cemburu atau niat untuk menyaingi Siti Nurhaliza tidak pernah ‘bersarang’ dalam hatinya.
Sebaliknya, dia sangat berbangga dengan pencapaian adik kandungnya itu.
“Memang tidak ada niat langsung. Siti Nurhaliza adalah seorang penyanyi yang berpengalaman. Kalau ada orang kata saya memasuki AF6 semata-mata untuk bersaing dengannya, itu tidak benar.
“Lagipun, pada awalnya memang saya tidak mempunyai perancangan untuk menyertai program realiti televisyen berkenaan walaupun saya suka menyanyi,” katanya ketika ditemui di Astro, Bukit Jalil, baru-baru ini.
Ujar Saida, penyertaannya dalam AF6 berlaku secara tidak sengaja bermula apabila dia hanya menemani seorang lagi adiknya, Siti Saerah menjalani uji bakat.
“Ketika menemani Saerah, peserta yang ingin mencuba nasib pada waktu itu terlalu ramai sehingga kami terpaksa menunggu lama.
“Ekoran itu, dia menyuruh saya mengikutinya sekali menjalani sesi tersebut dan entah bagaimana, tanpa disangka saya diterima memasuki AF6 dan Saerah tidak dipilih.
“Siti ketika itu tidak tahu saya masuk uji bakat. Sampailah ke peringkat keempat, baru saya beritahu dia,” ujar Saida sambil menambah Siti Nurhaliza merupakan orang yang paling gembira saat mengetahui dia diterima memasuki AF6.
Sementara itu, ketika menjawab persoalan mengenai cakap-cakap orang yang membeza-bezakan kemampuan vokalnya dengan Siti Nurhaliza, Saida memberitahu bahawa ada ketikanya, dia berkecil hati kerana perbandingan sedemikian dibuat.
“Saya dan Siti memang jauh beza. Biarlah apa orang hendak kata. Apa yang penting, saya tidak sedikit pun tertekan,” jelas ibu kepada empat orang anak iaitu Siti Nurunnyssa (11), Anas (9), Khalid (5), dan Siti Nurul Mashitah (2).
Penyingkiran Saida
Menyentuh mengenai penyingkirannya dalam meneruskan perjuangan di AF6, Saida juga dikatakan sengaja menyanyi teruk dengan harapan disingkirkan awal bagi membolehkannya dapat kembali ke pangkuan keluarga.
Menjawab mengenai hal tersebut, Saida yang sudah bersedia menghadapi apa juga bentuk gosip sebaik bergelar penyanyi nanti mengakui, dia gembira dapat berjumpa dengan keluarganya.
“Tetapi, dalam masa yang sama, saya sedih meninggalkan semua yang berada di AF. Sedih juga tidak dapat habiskan pembelajaran di sana. Kalau orang kata saya sengaja menyanyi dengan teruk, mereka tidak faham apa yang saya lalui sepanjang berentap dalam AF6.
“Saya akui yang saya adalah seorang pemalu. Ditambah dengan perasaan gementar dan takut, itu semua membuatkan saya susah untuk menyanyi dengan baik,” katanya.
Sungguhpun begitu, Saida mengakui, kini dia semakin berani dan mempunyai tahap keyakinan diri yang lebih baik jika dibandingkan sebelum menyertai program realiti TV tersebut.
Suami bagi ‘lampu hijau’
Sebaik tersingkir daripada meneruskan perjuangan di konsert AF6 minggu kelima, Saida sudah pun berbincang sesuatu dengan suami tercinta, Mohd. Ghazali Yahya Zikri, 39, berhubung kelangsungan kariernya sebagai penyanyi.
Dengan syarat tidak melupakan tanggungjawab menjaga keluarga, Saida diberi ‘lampu hijau’ jika mahu meneruskan hasrat menceburkan diri dalam dunia seni.
Saida berkata, selain menyanyi, dia turut berminat untuk menceburkan diri dalam dunia lakonan andai diberi peluang dan tunjuk ajar.
Bernaung di bawah SNP?
Bertugas sebagai Pengurus Kewangan di syarikat milik adiknya, Siti Nurhaliza Production (SNP), Saida berkemungkinan diberikan laluan mudah untuk menjadi artis dan bernaung di bawah syarikat terbabit.
Namun, Saida memberitahu dia akan terikat dengan Maestro Talents terlebih dahulu dan belum mengadakan sebarang perbincangan bersama SNP.
Ditanya mengenai perancangannya untuk berduet dengan Siti Nurhaliza, Saida yang meminati genre balada dan pop rock berkata: “Mungkin. Itu pun jika diberikan peluang”.
Powered by Utusan Malaysia
Kes Remaja Saman Datuk K Dibicara Mulai Sept. 2009
25/04/2008 12:13pm
SHAH ALAM 25 April – Perbicaraan kes seorang remaja yang menyaman Datuk Seri Khalid Mohd. Jiwa atau dikenali Datuk K kerana mendakwa dipukul ahli perniagaan itu akan didengar oleh Mahkamah Tinggi di sini mulai 28 September hingga 2 Oktober 2009.
Khalid dinamakan pihak defendan merupakan suami penyanyi terkenal, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin.
Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mariana Yahya menetapkan tarikh setelah dimaklumkan bahawa semua fail dan dokumen berhubung kes telah lengkap.
Peguam Surai Singh yang mewakili remaja berkenaan sebagai plaintif ketika ditanya di luar mahkamah memberitahu, pihaknya akan memanggil seramai lapan orang saksi. – Utusan
Powered by Utusan Malaysia
Siti Raih Anugerah Planet Muzik 8 Tahun Berturut-Turut
KUALA LUMPUR 20 April – Penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, 29, mengharumkan nama negara sekali lagi selepas berjaya memenangi anugerah Artis Wanita Paling Popular untuk lapan tahun berturut-turut dalam Anugerah Planet Muzik (APM) 2008.
Sejak APM kali pertama dianjurkan pada 2001, penyanyi kelahiran Temerloh, Pahang itu tidak pernah pulang dengan tangan kosong dalam kategori itu yang dipilih menerusi undian peminat muzik dari Malaysia, Indonesia dan Singapura.
“Syukur kepada Allah yang memberi saya peluang kemenangan ini. Kemenangan ini juga sebenarnya daripada tangan para peminat saya di Malaysia, Indonesia, Singapura dan di mana sahaja.
“Saya akan kenang kesetiaan anda semua,” kata Siti semasa berucap menerima anugerah tersebut di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini malam ini.
Beliau menewaskan empat calon lain iaitu Bunga Citra Lestari, Dayang Nurfaizah, Elyana dan Kris Dayanti.
Selain Siti, pendatang baru berbakat besar, Faizal Tahir juga mengharumkan nama negara apabila dipilih sebagai Artis Baru Lelaki Terbaik. Apa yang lebih membanggakan ialah albumnya, Aku. Muzik. Kamu, diangkat sebagai Album Terbaik menewaskan album Anuar Zain, Kerispatih, Gigi dan Padi.
Dengan kemenangan itu, Faizal menjadi artis Malaysia pertama memenangi Album Terbaik selepas kategori tersebut didominasi artis-artis Indonesia selama tujuh tahun berturut-turut.
Powered by Utusan Malaysia
AF6: Kakak Siti Nurhaliza Tersingkir
PETALING JAYA 19 April – Siti Norsaida Tarudin menjadi peserta keenam tersingkir dalam perjuangan merebut gelaran Juara Akademi Fantasia musim keenam (AF6) yang diadakan di sini malam ini.
Saida, 32, yang merupakan kakak kepada penyanyi nomber satu negara Datuk Siti Nurhaliza terpaksa akur dengan keputusan tersebut setelah mendapat undian khidmat pesanan ringkas (SMS) paling rendah berbanding lapan peserta lain.
Pada konsert mingguan kelima yang berlangsung di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini Saida mendendangkan lagu ‘Bila Bunga Berguguran’ nyanyian Fauziah Datuk Ahmad Daud.
Penyingkiran Saida memberi peluang kepada lapan lagi peserta iaitu Mohamad Aliff Mohd. Razali, 22, atau Alif; Nubhan (Ahmad Nubhan Ahmad, 22); Riz (Mohammed Idris Mohd. Zaizizi, 22); Nadia (Nadia Haswani Hasnan, 18); Stacy (Stracie Angie Anam, 18); Stanley (Stanley Maringai David Impi, 25); Toi (Khairul Nizam Baharom, 31), dan Hairina Abd. Halim, 44, atau Rina untuk bergelar Juara AF6.
Juara AF6 bakal menerima hadiah bernilai lebih RM700,000 termasuk sebuah banglo empat bilik di A’Famosa, Melaka, kereta Peugeot 307X tajaan Naza Motor Sdn. Bhd. serta wang tunai berjumlah RM25,000 sumbangan Hotlink selain percutian ke Afrika Selatan tajaan Mayfirst, pakej pelancongan ke New Zealand tajaan Maybelline.
Naib juaranya bakal menerima hadiah bernilai lebih RM100,000, tempat ketiga (lebih RM20,000), tempat keempat (lebih RM9,000) dan tempat kelima (lebih RM7,000).
Sementara itu, Hetty Koes Endang tampil selaku pengkritik undangan sambil ditemani oleh Fauziah Ahmad Daud dan Ning Baizura pada selaku pengkritik tetap konsert tersebut.
Powered by Utusan Malaysia
Akhirnya Siti Bertemu Celine Dion
Oleh SAHARUDIN MUSTHAFA saharudin.musthafa@utusan.com.my
KELUARGA BAHAGIA… Celine Dion (tengah) diapit oleh Siti Nurhaliza (dua dari kiri), Khalid (kanan), Aazief (dua dari kanan) serta suami Celine Dion, Rene Angelil (kiri) pada pertemuan singkat di Kuala Lumpur, kelmarin.
SUDAH lama artis ternama tanah air, Datin Seri Siti Nurhaliza berhajat untuk menemui penyanyi tersohor dunia, Celine Dion. Dalam pelbagai temu bual dengan media sebelum ini, itulah keinginan yang sering disuarakan penyanyi nombor satu negara itu.
Kata Siti, andai peluang itu diperoleh, dia mahu berbual, berkongsi pengalaman selain menghadiahkan penyanyi kesayangannya itu albumnya.
Dan semua itu, bukan lagi mimpi buat Siti. Keinginan dan hasrat Siti akhirnya termakbul juga.
Kunjungan singkat penghibur yang cukup popular dengan lagu My Heart Will Go On itu memberi peluang keemasan buat Siti bertemu dan berbual mesra seperti mereka sudah lama berkenalan.
Pada satu pertemuan eksklusif yang diatur oleh kenalan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohammad Jiwa di Hotel Ritz Carlton, Kuala Lumpur kelmarin, Siti bagaikan tidak percaya, dia berpeluang bertentang mata dengan Celine.
Selain Siti dan suaminya, Khalid, turut serta dalam pertemuan itu ialah anak tiri Siti, Aazief.
Seperti peminat lain yang sentiasa mendambakan peluang bertemu penyanyi kesayangan mereka, sikap dan telatah Siti saling tidak ubah seperti itu.
Apa lagi, bintang yang ingin ditemui Siti tempoh hari ialah ikon yang juga inspirasinya dalam dunia seni suara.
“Sebaik ternampak kelibat dia (Celine), hati Siti berdebar. macam tak percaya yang Siti berada di hadapannya,” kata Siti menggambarkan perasaannya sebaik Celine melangkah ke bilik persendirian hotel berkenaan iaitu tempat dia bertemu penyanyi itu.
Sapaan Celine menarik perhatian Siti. Tanpa dibayangi imej superstar antarabangsa, Celine menyapa Siti bagaikan mereka sudah lama berkenalan.
Barangkali juga, awal-awal lagi pengurusan Celine sudah memaklumkan kepada penyanyi itu bahawa artis Malaysia yang bakal ditemuinya itu bukan calang-calang artis.
“Celine begitu ramah. Menjawab satu persatu soalan yang diajukan padanya. Bahkan, dia juga sangat mesra melayan Siti.
Diplomasi
“Apa yang turut mengagumkan Siti mengenai Celine ialah sikap diplomasi yang ditunjukkannya. Kesediaannya bertemu Siti merupakan satu penghormatan kerana siapalah Siti untuk dibandingkan dengan kedudukannya di persada seni dunia,” kata Siti menyatakan rasa kagumnya terhadap idolanya itu.
Biarpun kemesraan yang terjalin antara Siti dan Celine hanya sesingkat 15 minit, namun pertemuan eksklusif berkenaan seperti melengkapkan keinginan lebih sedekad Siti untuk bertentang mata dengan penghibur kelahiran Kanada itu sekurang-kurangnya.
Dan sudah tentu, peluang keemasan itu direbut oleh Siti untuk menghadiahkan Celine album terbarunya, Hadiah Daripada Hati yang ditandatanganinya.
“Kata Celine, dia akan pastikan untuk mendengar album yang Siti hadiahkan pada dia. Moga-moga dia akan berbuat demikian,” ujar Siti mengenai harapannya itu.
Selebihnya, masa 15 minit yang diperuntukkan tempoh hari diambil oleh Siti untuk merakamkan kenangan menerusi kamera sebagai tanda kenangan paling berharga buatnya sepanjang bergelar anak seni.
Lebih manis lagi, Celine mencadangkan agar kedua-dua mereka turut mengajak suami mereka bersama merakamkan foto.
“Ini akan menjadi kenangan paling manis buat Siti selain kata-kata perangsang yang dibekalkan oleh Celine buat Siti,” katanya menyambung perbualan.
Dan bagaimana pula reaksi suami Siti?
“Sudah tentu dia juga gembira bagi pihak Siti kerana suami sangat memahami keinginan Siti untuk bertemu idola Siti,” jelasnya.
Dan jangan dilupa, Aazief yang turut serta dalam pertemuan itu sama seperti Mak Itinya (panggilan manja buat Siti) berdebar-debar sementara menanti Celine hadir di depan mereka.
“Aazief sempat berbisik pada Siti, dia pun berdebar sangat. Macam tak percaya Celine ada depan mata,” kata Siti menceritakan perihal Aazief iaitu anak bongsu Khalid hasil perkahwinan pertamanya.
Sebagai peminat nombor satu Celine juga, pada malam yang sama, Siti bersama keluarga tidak ketinggalan menonton persembahan penghibur itu.
“Vokalnya cukup mengagumkan. Berdasarkan aspek persembahan pentas, Celine sudah berada di kelasnya yang tersendiri.
“Seperti orang lain, Siti merasa puas menonton persembahannya tempoh hari,” kata Siti lagi.
Selepas ini, Siti tidak perlu lagi bermimpikan Celine Dion. Bahkan, Siti juga sudah tentu tidak perlu lagi terbang jauh sehingga ke Amerika Syarikat kerana semuanya sudah pun menjadi kenyataan buatnya.
Powered by Utusan Malaysia
Tarikan Celine Dion
Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL shazryn.faizal@utusan.com.my
BERAKSI bersama salah seorang pemuziknya. Gambar SHAHRIL AZMAN ZAIN
APA sahaja tentang penghibur kelahiran Charlemagne, Quebec, Kanada ini semuanya akan mendapat perhatian yang cukup meluas.
Dia bukanlah seperti kebanyakan artis popular yang lain yang mencipta populariti murahan semata-mata untuk menempatkan diri dan meraih perhatian.
Hanya dengan bakatnya yang cukup luar biasa itu sudah cukup untuk membuktikan bahawa dia bukanlah calang-calang penyanyi yang lahir semata-mata untuk meraih populariti tetapi lebih kepada penonjolan bakat yang ada dalam dirinya itu.
Memulakan karier seninya seawal usia 15 tahun, Celine Marie Claudette Dion atau lebih dikenali dengan nama Celine Dion di seantero dunia, menyedari bahawa perjalanan seninya bukanlah semudah yang disangka.
Terlalu banyak onak dan duri yang perlu ditempuhinya dalam memastikan bakat luar biasanya itu mendapat perhatian ramai.
“Apa yang saya lakukan semuanya kerana minat yang mendalam terhadap muzik dan saya sedar saya tidak mampu untuk memuaskan hati semua pihak.
“Yang penting bagi saya ialah kebahagiaan dan kegembiraan yang peminat saya rasai menerusi album dan hasil karya saya. Saya akan berasa gembira jika mereka puas hati dengan setiap album yang saya lahirkan kerana mereka yang tidak henti menyokong saya dan saya perlu terus memberikan yang terbaik buat mereka.
“Malah, saya juga tidak kisah jika ada yang mengatakan saya tidak sepopular artis-artis lain kerana tidak mahu hanyut dengan populariti.
“Bukan itu sahaja, saya juga tidak mahu mengikut trend terkini dalam usaha meletakkan diri saya di carta populariti. Saya masih di sini dengan bakat yang dikurniakan kepada saya,” kata penghibur berusia 40 tahun ini pada sidang media di Hotel Ritz-Carlton, Kuala Lumpur beberapa jam sebelum berlangsungnya konsert solonya di Stadium Merdeka, malam kelmarin.
Kehadiran sulung Celine ke Malaysia adalah bersempena dengan konsert jelajah dunianya, Taking Chances World Tour 2008 yang bermula di Johannesberg, Afrika Selatan pada 14 Februari lalu.
Apa yang membanggakan, Malaysia merupakan satu-satunya negara di Asia Tenggara yang dipilih sebagai lokasi konsert jelajah dunianya itu dan negara kedua Asia selepas Shanghai, China yang menyaksikan penyanyi bersuara mantap itu membuat persembahan pada 11 April lalu.
Malah, dengan cukup rendah diri, penyanyi yang mula mencipta nama menerusi lagu Where Does My Heart Beat Now yang dipetik dari album Inggeris pertamanya, Unison pada tahun 1990 ini, kejayaannya mengekalkan reputasi sebagai seorang penghibur yang sofistikated selama 25 tahun mengabdikan diri dalam dunia seni adalah bersandarkan sokongan yang tidak pernah putus dari orang di sekelilingnya.
“Saya masih ingat lagi pengurus saya, Ren Ang lil yang kemudiannya menjadi suami saya pada tahun 1994 sanggup mencagarkan rumahnya semata-mata untuk mencari wang untuk membawa dan memperkenalkan saya kepada orang-orang penting dalam industri muzik dalam proses melahirkan album Perancis pertama saya, La voix du bon Dieu.
“Sehingga ke hari ini, suami, anak, rakan-rakan serta peminat saya tidak pernah berhenti menyokong saya dan terus memberikan semangat buat saya untuk terus menjadi seorang penyanyi dan penghibur.
“Meskipun saya hampir membuat keputusan untuk berhenti menyanyi selepas melahirkan anak sulung saya, Rene-Charles Dion Angelil pada tahun 2001, namun, saya sedar saya tidak dapat berbuat demikian.
“Ini adalah kerana minat dan cinta saya terhadap muzik begitu mendalam dan tidak mungkin saya akan melepaskan begitu sahaja.
“Sejak berumur 15 tahun, saya tahu saya mahu menjadi seorang bintang dan akhirnya, saya terus berada di sini,” kata Celine yang pernah menerima lima anugerah Grammy sejak mula menerobosi pasaran Amerika Syarikat pada tahun 1990.
Sebagai seorang artis senior yang kejayaannya bukanlah datang bergolek, Celine sempat memberikan nasihat dan panduan buat mereka yang mahu menjadi seorang anak seni.
“Saya tidak ada resipi istimewa dalam mempertahankan kedudukan saya sebagai seorang penghibur (ketawa).
“Cuma, pada saya perkara pokok untuk terus bertahan dalam apa sahaja bidang yang kita lakukan adalah kerja keras dan usaha yang pastinya, anda akan nampak hasilnya peringkat demi peringkat.
“Menjadi anak seni ini juga sebenarnya bukanlah semudah yang disangka. Selain bakat, personaliti dan masa juga memainkan peranan penting dalam pembentukan dalam menjadi seorang artis.
“Malah, tuah dan rezeki juga merupakan elemen penting buat seseorang artis itu untuk terus bertahan dalam tempoh yang lama,” jelasnya penuh optimis.
Apa yang menarik tentang wanita ini adalah apabila dia cukup ralit bercerita tentang kehidupannya sebagai seorang ibu yang tiada kata yang mampu dilafazkannya bagi menggambarkan kebahagiaanya.
“Bayangkan, sewaktu saya kembali ke persada seni dengan membuat pertunjukan di Caesars Palace, Las Vegas selama empat tahun bermula tahun 2003, anak saya baru sahaja belajar merangkak dan kini dia sudah pun berusia tujuh tahun.
“Terbit juga perasaan risau dalam hati saya seandainya saya tidak mampu memberikan sepenuh perhatian terhadap keluarga dan anak saya. Tetapi, saya sedar bahawa karier dan keluarga adalah dua perkara yang cukup berbeza.
“Akhirnya, saya berjaya mengimbangi kedua-duanya dan saya berasa bahagia serta bersyukur dengan apa yang telah saya nikmati kini. Menjadi seorang ibu sememangnya merupakan pengalaman yang cukup indah dan berharga dalam hidup saya,” ungkap Celine yang merupakan anak bongsu daripada 14 adik-beradik itu lagi.
Namun begitu, jelas pemilik vokal lagu paling popular di dunia iaitu My Heart Will Go On itu lagi, dia tidak akan terus memandikan anaknya itu dengan limpahan kemewahan dan kesenangan kerana dia mahu anak lelakinya itu menghargai hidup dan sedar tentang kesusahan yang dihadapi oleh mereka yang kurang bernasib baik.
“Sebagai contoh dalam rancangan Idol Gives Back yang disiarkan baru-baru ini, kami sekeluarga telah berkunjung ke Afrika untuk membantu masyarakat di sana.
“Saya bawa sekali anak saya dan apa yang saya nampak, dia tahu tentang apa yang berlaku dan turut membantu memberi makan dan minum kepada mereka. Saya mahu dia tahu dan sedar serta melihat dirinya begitu bertuah berbanding orang lain,” ujar satu-satunya artis wanita yang berjaya mencatatkan penjualan album melebihi 200 juta unit di seluruh dunia.
Konsert Celine cukup bertenaga
PENANTIAN untuk menyaksikan persembahan satu-satunya artis wanita paling berjaya di dunia ini akhirnya berbalas apabila Stadium Merdeka menjadi saksi dengan bergemanya suara lantang dan mantap oleh Celine.
Ternyata kehadirannya sememangnya dinantikan meskipun pada awalnya, konsertnya itu dijadualkan berlangsung pada 8 April lalu.
Tetapi disebabkan mengalami sakit tekak selepas mengadakan persembahan di beberapa buah bandar di Australia, konsertnya itu ditunda ke 13 April dan yang pastinya, itu sedikit pun tidak merobah kesetiaan peminatnya untuk menyaksikan persembahan hebat Celine.
Memulakan persembahannya tepat pukul 8.45 malam, hanya dengan mengenakan gaun pendek beserta seluar hitam panjang dan but hitam, Celine menyampaikan lagu I Drove All Night yang berjaya menimbulkan suasana yang cukup meriah dengan pekikan para peminatnya yang mahu mendengarkan sendiri kehebatan vokalnya secara langsung.
Malam yang dingin kerana hujan di sebelah siangnya menjadi hangat saat Celine melontarkan vokalnya menerusi lagu yang menaikkan namanya di persada muzik antarabangsa iaitu The Power of Love.
“Saya diberitahu ketika ini hujan tidak menentu di negara ini dan ia membuatkan saya begitu risau. Ternyata, malam ini begitu indah dengan sinaran bulan yang akan mengiringi persembahan saya malam ini,” kata Celine yang turut mengungkapkan ucapan ‘terima kasih’ di dalam bahasa Malaysia.
Meneruskan persembahannya dengan lagu Taking Chances, penyanyi ini membuktikan pada usia 40 tahun, suaranya masih lagi mantap dan ampuh sebagaimana dia mula menjengah pasaran muzik antarabangsa hampir 18 tahun yang lalu.
Aura
Rangkaian lagu-lagu It’s All Coming Back To Me Now, Because You Loved Me dan To Love You More sudah cukup membuktikan penyanyi ini mempunyai aura tersendiri yang tidak ada pada mana-mana penyanyi seangkatannya.
Tidak perlu menari lincah mahupun berceloteh panjang yang merapu, kekuatan Celine sememangnya terletak pada vokalnya yang mampu dan bisa menggamit pendengar dan penonton untuk terus menonton persembahannya meskipun ada beberapa lagu nyanyiannya kurang mesra di telinga terutama lagu-lagu dari album terbarunya, Taking Chances.
Hampir 20 buah lagu yang dinyanyikannya, sedikit pun tidak mendengar suaranya terkucil mahupun tergelincir dari landasannya.
Malah, rangkaian lagu-lagu rancak seperti Eyes On Me, I’m Alive, River Deep, Mountain High serta rangkaian lagu-lagu berentak soul seperti It’s a Man’s Man’s Man’s World, That’s Just the Woman in Me dan Love Can Move Mountains juga membuktikan C line sememangnya penghibur sejati.
Bukan itu sahaja, kerana mengagumi kehebatan kumpulan rock legenda Queen terutama penyanyi utamanya, mendiang Freddie Mercury, Celine turut mengadakan segmen khas bagi mengenang kembali lagu-lagu kumpulan itu yang pernah menggegarkan dunia iaitu We Will Rock You dan The Show Must Go On dengan gayanya yang tersendiri.
Malah, Celine turut berduet dengan salah seorang penyanyi latarnya, Barnev Valsaint menerusi lagu I’m Your Angel yang sebelum ini R. Kelly yang menjadi pasangan duet Celine menerusi lagu indah itu.
Bagaikan tidak lengkap persembahannya tanpa menyampaikan lagu My Heart Will Go On, Celine sempat bertukar busana kepada gaun kuning cair sebelum mengalunkan lagu tema filem Titanic itu yang pernah mencipta fenomena besar pada tahun 1998.
Ternyata, sudah 10 tahun berlalu, kemantapan vokal Celine menerusi lagu ciptaan James Horner dan Will Jennings masih lagi ampuh dan berbisa serta mengimbau kembali nostalgia perjalanan filem paling laris di dunia itu.
Kehebatan Celine di atas pentas tidak boleh disangkal lagi dan ternyata dia sememangnya dilahirkan sebagai seorang penghibur hanya dengan berbekalkan suaranya yang mampu memberikan persembahan yang cukup bertenaga.
Beberapa artis tempatan dan seberang, turut hadir menyaksikan persembahan Celine antaranya Datin Seri Siti Nurhaliza yang sememangnya peminat setia Celine Dion turut hadir bersama suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa, Ziana Zain, Jaclyn Victor, Nora bersama suami, Johan Nawawi, Ezlynn, Fara Fauzana, Amy Searh dan isteri, Rossa, Ruth Sahanaya, serta Angkasawan Negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor.
Powered by Utusan Malaysia
Konsert Setiakawan 2 Simbol Keharmonian
Oleh WANDA IDRIS Foto RASHID MAHFOF
Dendangan lagu Memori daripada penyanyi empat negara dari kiri Yuni Shara, Maya Rahman, Misha Omar dan Fairuzneezan.
SEINDAH namanya, begitulah juga dengan hasrat murni penganjuran Konsert Setiakawan 2 yang dilangsungkan pada 5 April lalu di Dataran Merdeka. Tujuan penerbitannya tidak lain adalah untuk mempereratkan lagi hubungan sedia ada antara negara jiran seperti Indonesia, Singapura dan Brunei Darussalam. Dan hiburan merupakan antara medium terbaik untuk mengangkat hubungan serumpun yang tidak jauh beza adat, budaya dan bahasanya.
Ia juga menjadi sebuah manifestasi yang melambangkan keakraban persahabatan hubungan antara Malaysia dan negara-negara sejiran yang sentiasa berterusan dengan menjadikan laras seni dan budaya sebagai tonggak mengerat dan menyatukan hubungan keharmonian antara negara terbabit.
Berlandaskan kejayaan konsert pertamanya yang dilangsungkan sempena 50 tahun hubungan diplomatik Malaysia dan Indonesia pada 11 Januari lalu, RTM sekali lagi mengangkat Konsert Setiakawan sebagai acara pengikat hubungan.
Bagaimanapun, kesinambungan konsert keduanya ini adalah bagi meraikan ulang tahun ke-62 Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang disambut pada 1 April lalu.
Penerbitnya, Ain Sabrina Onn mengakui berpuas hati dengan penerbitan ini dan menganggap ia satu kejayaan dalam usaha mendekati orang ramai khususnya para peminat setia RTM.
Berkonsepkan santai, Ain mempertaruhkan lebih banyak input hiburan yang dibuat di tempat terbuka walaupun terdapat risiko yang perlu diambil seperti keadaan cuaca yang tidak menentu di samping kelancaran sistem audio yang mungkin mengganggu penonton.
Namun pertaruhan itu tidak menghampakan kerana walaupun hujan pada sebelah petangnya, ruang dataran bersejarah itu tetap dipenuhi kira-kira 5,000 warga kota dan ia turut disiarkan secara langsung menerusi di RTM2.
“Sebenarnya selain berhibur, turut memberikan satu ruang lain bagi rakan artis dan tenaga produksi yang membawa artis negara masing-masing ke sini untuk berkongsi rasa dan pengalaman,” kata Ain.
Melihatkan kejayaan sambutan konsert yang telah dilangsungkan, adalah menjadi satu harapan sekiranya program hiburan ini dijadikan acara khas untuk hiburan ramai. Malah adalah lebih baik sekiranya penerbitannya mendapat kolaborasi antara negara jiran terbabit agar ia sama-sama dapat ditonton khalayak luar.
“Memang kita mempunyai perancangan ke arah itu dan kita mengharapkan Konsert Setiakawan ini menjadi satu rancangan hiburan khas dan turut disiarkan secara langsung di negara-negara jiran terbabit,” jelas Ain.
Dijayakan oleh artis-artis popular tanah air seperti Datuk Siti Nurhaliza, Misha Omar, Adibah Noor, David Arumugam (Alleycats), Elyana, kumpulan Sofaz, Suki, Izwan Pilus dan Prem Nath, Indonesia pula diwakili penyanyi saduran popularnya, Yuni Shara yang juga merupakan kakak kepada Kris Dayanti.
Sementara Singapura pula diwakili artis-artis seperti Ferhad, Ahli Fiqir dan Maiya Rahman manakala Brunei oleh Fairuzneezan dan Maria.
Persembahan mereka diiringi oleh pemuzik daripada Kombo RTM di bawah pimpinan Rusmadi Ramli dan digamatkan oleh pengacara Zul Yahya dan Sharifah Shahira.
“Penglibatan artis-artis negara jiran memang mendapat respons yang baik malah mereka sangat teruja untuk bertemu dengan para penggemar seni di sini. Malah kita memilih mereka kerana populariti di negara masing- masing di samping memperkenalkan mereka kepada penggemar seni muzik di negara ini.
“Maya misalnya kini merupakan artis yang sedang meningkat di Singapura. Begitu juga dengan Fairuzneezan yang semakin dikenali di negara Brunei,” kata Ain sambil memberitahu artis terbabit mahu terus menjalinkan hubungan kerjasama bersama RTM.
“Malah dengan kehadiran artis popular kita membuatkan konsert itu berjalan lancar,” tambahnya yang memuji komitmen artis tempatan terhadap penerbitan konsert Setiakawan 2 itu.
Konsert Setiakawan 2 membuka tirai persembahan dengan lagu Memori yang didendangkan oleh Misha Omar, Yuni Shara, Maya dan Fairuzneezan.
Pada persembahan yang dilangsungkan selama dua jam itu, kebanyakan lagu-lagu pilihan dendangan artis adalah daripada himpunan lagu-lagu malar segar. Tidak ketinggalan lagu-lagu popular masa kini antaranya yang didendangkan oleh penyanyi Elyana seperti lagu Kalis Rindu, Sembunyi (Misha Omar), Indah Lelapku (Izwan Pilus), Kukkoo (Ferhad) dan Nongkrong (Maiya Rahman).
Kumpulan Sofaz menghiburkan khalayak dengan lagu popular mereka, Cinta Dalam Hati dan Kepantasanku; Adibah Noor (Siapa Itu dan Cahaya) serta Yuni Shara (Tiada Maaf dan Oya). David Arumugam pula mempesonakan penonton dengan lagu popular Alleycats berjudul Hingga Akhir Nanti dan Sampaikan Salam.
Turut dipersembahkan ialah lagu-lagu paduan suara seperti lagu Persamaan antara Izwan Pilus dan Maiya Rahman; Misha Omar dan Ferhad (Inikah Cinta); Siti Nurhaliza dan Yuni Shara (Bukan Cinta Biasa) dan Elyana dan Maria (Akhirnya Kini Pasti).
Persembahan yang dinanti-nantikan tentunya kemunculan solo Siti Nurhaliza yang menyampaikan lagu popularnya Pastikan dan Ku Mahu sebelum kesemua artis bergabung di pentas menjayakan persembahan penutup dengan lagu Lets Dance Together.
Powered by Utusan Malaysia