Skip to content

Posts from the ‘Sitizone’ Category

9
Mar

Selamat Cuti Sekolah



Assalamualaikum dan salam mesra buat semua pengunjung laman ini. Harapan Siti agar anda semua sihat selalu hendaknya.

Bagi adik-adik yang sedang bercuti sekolah, Kak Siti nasihatkan agar menggunakan waktu yang ada untuk dimanfaatkan sebaiknya. Jangan berseronok sahaja kerana perjalanan akademik anda masih jauh dan tentunya banyak persediaan diperlukan untuk melalui kejayaan hari depan.

Siti di sini Alhamdulillah, menjalankan kehidupan dan karier seperti biasa. Mungkin jarang bertemu secara berdepan di majlis-majlis terbuka tetapi di sebaliknya Siti tetap sibuk dengan perkara-perkara yang telah terpikul di bahu Siti.Sepanjang Mac ini banyak persiapan yang harus Siti lakukan untuk beberapa perkara termasuk kemunculan Siti dalam Konsert Datuk Ahmad Jais di Istana Budaya pada 23 Mac nanti. Selebihnya juga beberapa persediaan untuk kerja-kerja pada April nanti. Harapnya anda memahami situasi Siti, walaupun kurang berkesempatan menemui anda di acara terbuka ataupun di alam siber tetapi sokongan dan ingatan anda tetap bersama Siti.

Alhamdulillah, berkat doa anda juga, lagu Bisakah telah terpilih ke peringkat akhir rancangan Hits 1 di RTM. Siti akan muncul dalam pertandingan tersebut pada 27 April nanti. Penglibatan Siti ini adalah sokongan buat pencipta dan penuli liriknya iaitu Aubrey Suwito dan Tessh RS. Bagi Siti lagu ini cukup terkesan di hati dan liriknya juga amat bermakna. Doakan agar Siti dapat membawakan lagu tersebut dengan baik pada hari pertandingan itu nanti.
Siti juga ingin mengajak anda ke rancangan terbitan RTM sebagai menghargai Allahyarham Sudirman Haji Arshad, di Stadium Melawati, Shah Alam pada 1 April nanti. Siti akan menyampaikan dua lagu dalam konsert tersebut dan 1 April juga hari yang bermakna buat Siti kerana album pertama Siti dilancarkan pada 1 April 1996. Tarikh ini bolehlah dikatakan hari mengenang permulaan kerjaya Siti. Datanglah beramai-ramai dan berikan sokongan anda kepada RTM, para artis dan juga sebagai penghargaan buat Allahyarham Sudirman Haji Arshad.

Perkembangan Siti yang lainnya akan sentiasa Siti kongsi bersama anda di sini. Buat masa ini cukuplah setakat ini dahulu. Semoga anda semua gembira selalu hendaknya.

Salam ikhlas daripada Siti.
Siti Nurhaliza

24
Feb

Pandangan Peminat Dibaca…

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua warga Sitizone yang dirindui.

Memang lama Siti tak menghantar berita tetapi jangan bimbang kerana Siti sentiasa menjenguk anda di sini. Walaupun agak lama Siti berdiam diri dan selebihnya berada di luar negara tetapi laman ini tetap di hati Siti. Semua mesej dan perkembangan tulisan anda Siti baca dan Siti faham apa yang ingin anda sampaikan dan begitulah juga sebaliknya.

Pertama sekali Siti ingin mengucapkan ribuan terima kasih di atas usaha anda mengundi Siti untuk Anugerah Bintang Popular yang lalu dan Alhamdulillah Siti masih mengekalkan gelaran Penyanyi Wanita Popular. Bagi Siti, peranan anda begitu besar dalam kemenangan ini tetapi yang lebih besar adalah bagaimana Siti mahu terus memberikan yang terbaik buat anda. Walaupun saban hari Siti dipenuhi jadual kerja, berkejar ke sana ke sini atau bercuti sekalipun tetapi otak tetap berputar, memikirkan apa agenda dan kerja seterusnya. InsyaAllah 2007 ini akan ada sesuatu dari Siti untuk anda dan juga memperkembangkan kerjaya Siti walaupun sudah bergelar isteri. Sokongan anda adalah semangat untuk Siti dan percayalah, kekuatan itulah yang membuatkan Siti masih berada di sini.

Alhamdulillah, pemergian Siti ke majlis Grammy di LA baru-baru ini juga cukup menggembirakan. Bukan mau berseronok tetapi banyak pengalaman yang ditimba. Melihat kejayaan mereka di majlis Grammy membuatkan Siti turut terfikir tentang kerjaya dan InsyaAllah mana yang baik akan Siti ambil untuk dijadikan resepi kejayaan Siti seterusnya. Pengalaman yang tidak pernah terfikirkan berjalan di red carpet, memang seperti mimpi. Siti percaya ia adalah satu penghargaan dan Siti harus berterima kasih kepada penganjur.

Banyak yang ditulis di catatan anda, pujian, teguran, kritikan dan sebagainya, Siti tidak pandang ringan, anda jangan bimbang. Semua itu adalah sesuatu yang Siti perlukan. Siti tidak pernah lupa diri atau berubah, malah Siti senang dengan apa yang anda cuba sampaikan. Untuk memuaskan hati semua pihak mungkin sukar tetapi Siti mencuba. Harapan Siti agar anda semua memahami kerana adakala kita berusaha memberikan yang terbaik tetapi tidak dapat diterima dan begitulah juga sebaliknya.

Sekarang ini banyak perkara yang harus Siti lakukan. Siti juga sedang mengumpul material untuk album tradisional Siti, jika tidak ada aral, sebelum Jun ini akan dipasarkan. Doakan agar dikurniakan lagu-lagu yang bagus dalam album Siti nanti. Sekian sahaja catatan kali ini. Semoga bertemu kembali.

Salam rindu selalu…
Siti Nurhaliza

28
Jun

Mesej dari Sitizone.com

Assalammualaikum dan salam sejahtera buat semua pengunjung yang singgah di sini.

“TUMPANG BERLINDUNG WAKTU SUSAH DAN SENANG, DATANG BERLINDUNG WAKTU SUSAH DAN SENANG”. Kata-kata ini cukup sinonim dengan Rumah yang Siti bina ini. Bak payung yang melindungi, bak pohon rendang yang meneduhi. Begitu harmoni bunyinya. Kita bina makna saudara, biar jauh atau dekat. Kita bersatu tanpa memandang rupa dan pangkat. Kita bersama walau terpisah jarak dan tempat. Kita lalui satu zaman yang sungguh hebat, penuh tawa, ceria dan saling memberi hormat.

Namun apa yang terjadi kini sebaliknya. Kata-kata di atas mungkin sudah tidak revelan lagi kerana maknanya sudah terlalu jauh dari hati kita. Siti memohon maaf kerana terpaksa menutup ruangan catatan atau mesej di Rumah ini untuk mengawal keadaan yang sudah menjurus kepada rasa tidak hormat, umpat, kata-kata kesat dan juga debat. Harmoni yang kita cipta dahulu sudah tidak ada lagi dan Siti akan jelaskan mengapa ia harus ditutup sementara.

Siti sudah lama memohon agar semua pihak bersabar dan memahami. Sudah berkali-kali Siti mohon namun usaha itu ibarat mencurah air ke daun keladi. Selama ini Siti telah banyak cuba memahami kalian, memberikan yang terbaik, namun jika semua ini tidak lagi diberi erti, sukar untuk Siti mohon anda memahami. Walaupun Siti akur ianya sukar, namun Siti hanya mampu memohon. Tidak ada kejadian tanpa sebab, juga bukan sengaja mahu mendiamkan diri dan membuatkan anda tertanya-tanya tentang `hal’ yang sedang berlaku sekarang, jauh sekali untuk mempermainkan perasaan anda, malah ada juga yang menganggap Siti cuba menipu.

Siti hanya mohon agar anda bersabar kerana ianya akan diumumkan daripada mulut Siti sendiri, namun berilah ruang kepada Siti. Bagaimana Siti mahu menolak publisiti yang Siti sendiri memang tidak mahu hal ini terus digembar gemburkan. Ia bagaikan tekak yang dijolok-jolok dengan banyak jari dan akhirnya akan termuntah juga. Itulah umpamanya hal yang Siti tanggung sekarang. Siti tidak pinta semua ini malah jika tidak diperbesarkan lebih melegakan hati, tapi apa daya Siti.

Jika paparan di media yang membuatkan suasana terus-terusan bertambah panas, walaupun Siti sendiri tidak mahu, namun Siti sudah memohon berkali-kali. Adakala Siti sendiri akur, bagaimana rasa hati kalian membaca semua ini kerana kalian juga tidak memahami. Justeru pelbagai anggapan akan berlaku dan mangsanya adalah Siti. Mungkin pada kali ini kita harus menjaga kita sendiri, anda menjaga hati anda juga, begitu juga Siti,kerana bagaikan tiada ruang lagi untuk anda memahami.

Tidak mudah untuk menutup Rumah ini, ia ibarat pintu terbuka kepada sesiapa sahaja. Siti membukanya dengan memberikan anda selesa, catatlah apa sahaja, berkongsilah segala rasa, dan selama ini juga Rumah ini begitu terjaga.

Jika sudah ada yang tidak selesa, berbalah di dalam rumah ini dan ada pihak yang cuba menangguk di air keruh, Siti fikir biarlah Rumah ini ditutup sementara. Biar keadaan reda dan Siti sekali lagi memohon agar anda semua bersabar, dan cuba memahami.

Siti juga ingin memohon maaf kepada pengunjung setia Rumah ini kerana terpaksa melakukan ini walaupun pelbagai spekulasi akan datang dan pergi, namun jauh di sudut hati Siti, Siti berharap agar penutupan sementara ini akan membuatkan keadaan boleh diperbaiki.

Sekali lagi Siti mohon maaf jika ada kata-kata Siti yang kurang menyenangkan dan juga kesalahan-kesalahan Siti, namun sebagai seorang manusia biasa, Siti juga mempunyai hati dan perasaan, malah tidak ada yang luar biasa berbanding anda semua. Kekuatan Siti selama ini kerana mempunyai anda semua, dan besar harapan Siti kekuatan itu masih terus mahu memberi dan mahu memahami.

Salam Hormat Selalu…
Datang Berlindung, Waktu Susah Dan Senang,
Tumpang Berlindung, Waktu Susah Dan Senang.

Siti Nurhaliza
28 hb Jun 2006 : 6.30pm

6
Jun

Mesej dari Sitizone.com

Assalammualaikum dan salam sejahtera buat semua pengunjung di sini.

Pada kesempatan ini Siti ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada para peminat yang telah hadir ke promosi album Tower Records di KLCC pada 28 Mei lalu. Nampaknya terubat kerinduan Siti dan juga peminat kerana sudah terlalu lama Siti tidak berkesempatan untuk turun padang apabila album baru dikeluarkan. Pengalaman di KLCC yang lalu begitu menyeronokkan dan jika ada kesempatan lagi ingin rasanya Siti lebih kerap bertemu secara dekat dengan anda semua.

Siti juga turut berasa sedih dan bersimpati dengan mangsa/korban gempa bumi di Yogjakarta dan juga di Kampung Pasir, Hulu Kelang, KL, baru-baru ini. Marilah kita semua menyedekahkan Al-Fatihah kepada semua mangsa dan kepada mereka yang terselamat, jika boleh sama-samalah kita membantu meringankan beban mereka. Siti juga berasa terkejut dan ingin sekali mengucapkan takziah kepada keluarga Rio, iaitu salah seorang peminat Siti yang turut terkorban di Yogjakarta, moga mereka sentiasa tabah hendaknya.

Begitulah lumrah hidup, kita tidak pernah terduga apa yang akan berlaku, mungkin hari ini naisb menyebelahi kita, esok lusa kita tidak tahu. Justeru itu, dalam menjalani kehidupan kita haruslah sentiasa bersyukur dan jika ada upaya, bantulah orang lain kerana suatu hari nanti, mungkin kita juga akan melalui detik-detik payah seperti mereka.

Sebagai artis, walaupun mungkin pekerjaan Siti berkait rapat dengan dunia hiburan tetapi Siti juga mahu merasai susah senang lain. Apa yang terdaya dan termampu akan Siti lakukan kerana hidup di dunia ini kita akan saling bergantungan.

Siti ingin ingin mengumumkan di sini bahawa album Transkripsi sudahpun dipasarkan di Indonesia dan kulit albumnya berbeza sedikit daripada di Malaysia. Ianya adalah atas pemilihan yang dibuat oleh syarikat rakaman EMI Indonesia. Siti amat berharap agar peminat-peminat Siti di sana akan membeli album yang original. InsyaAllah, bulan Julai nanti Siti akan ke Jakarta untuk mempromosikan album tersebut di samping menjayakan acara tv dan radio di sana.

Mengenai DVD konsert di Albert Hall, Siti kira ianya akan mula dipasarkan sebelum Julai ini. Ada sedikit perbezaan dari vcd dan ia juga mengandungi gambar-gambar kenangan Siti di kota London. Siti juga berharap anda akan mendapatkan DVD yang original dan Siti mengeluarkan DVD ini kerana menunaikan permintaan anda semua. semoga DVD ini nanti akan menjadi koleksi kepada anda semua.

Baru-baru ini, Siti sempat ke Sabah untuk Tadau Keamatan dan ke Kedah untuk penutupan Sukma. Alhamdulillah dapat juga bersua dengan peminat-peminat di sana. Siti juga teringin sangat bertemu peminat di Brunei dan juga Singapura, lebih-lebih lagi untuk mempromosikan album baru. Doakan agar impian ini akan tercapai dalam waktu yang terdekat ini.

Sekarang ini Siti kembali menumpukan perhatian kepada persembahan dan juga menjayakan acara tv, dan waktu untuk ke luar negara agak terhad, namun Siti akan usahakan. Menjelang Julai nanti, Siti akan kembali sibuk untuk acara televisyen sama ada siaran langsung dan juga rakaman.

Salam Sayang…
Datang Berlindung, Waktu Susah Dan Senang,
Tumpang Berlindung, Waktu Susah Dan Senang.

Siti Nurhaliza
6hb Jun 2006 : 3.30pm

6
Feb

Mesej dari Sitizone.com

Assalammualaikum dan salam sejahtera. Terakhir menulis sewaktu masih dalam kegembiraan Januari dan kini Februari sudahpun menjelma.
Agak sibuk dengan urusan album, menjayakan persembahan dan beberapa perkara lagi, lantaran itu hampir 3 minggu tidak dapat mencatat apa-apa. Hari ini Siti luangkan masa untuk bersama anda, walaupun sebaris ayat harapnya akan memberi makna.

Album baru ini adalah buah tangan yang amat Siti titik beratkan. Setelah merakamkan beberapa lagu di studio, Siti begitu teruja untuk melihat hasil terbitan Siti ini cepat sampai ke penerimaan anda. Masih ada beberapa lagu lagi yang belum dirakamkan dan kami sedang mengemaskinikan muzik untuk mendapatkan halwa yang lebih mempesona.

Selain itu, banyak perancangan yang cuba diusahakan untuk menjamin agar album ini akan diterima ramai dan dapat perhatian anda semua. Tidak mudah untuk menghasilkannya dan tentunya Siti mahu agar usaha yang telah dicurahkan ini akan berbaloi kerana sebuah produk yang baik bagi Siti harus sampai ke tangan anda, tidak kira peminat Siti atau sebaliknya.

Siti juga amat terharu dengan sokongan anda terhadap Siti apabila membaca catatan anda semua terutamanya dalam ABP dan APM yang akan datang. Bagi Siti, setiap usaha anda itu begitu menaikkan semangat Siti untuk terus memberikan yang terbaik malah bukan anugerah yang dikejarkan, cukup dengan rasa kesetiaan yang anda curahkan.

Maaf juga jika dalam waktu sebulan dua ini Siti agak jarang muncul menemui peminat kerana Siti harus menyiapkan album baru. InsyaAllah, jika ada waktu kita akan bertemu lagi di mana-mana acara persembahan Siti. Semoga anda gembira selalu.

6hb Februari 2006

5
Nov

Raya Card from Sitizone

25
Oct

Mesej dari Sitizone.com

Assalamualaikum dan selamat menjalani ibadah puasa buat semua.
Hari ini Siti telah selamat tiba di tanahair. Semua perkara yang Siti lakukan sejak seminggu lalu berjalan lancar dan dipermudahkanNya. Pengalaman yang cukup bermakna dan tentunya mendamaikan dan mententeramkan jiwa.

Siti juga rindu untuk mengunjungi laman ini dan hendaknya anda semua dalam keadaan yang baik selalu. Ibadah puasa hanya tinggal beberapa hari saja lagi sebelum menjelang lebaran.

Di laman ini Siti letakkan kad ucapan hari raya (di akhir catatan) daripada Siti untuk anda semua. Terima kasih kepada yang telah sudi melayangkan kad untuk Siti dan Siti cuba membalasnya.

Dalam suka, Siti turut kecewa kerana VCD konsert di Royal Alber Hall telah menjadi mangsa cetak rompak. Alangkah sedihnya kerana ada pihak yang mengambil kesempatan dan tidak menghargai usaha, keringat dan wang yang telah banyak kami laburkan untuk konsert tersebut. Pesan Siti agar setiap seorang daripada anda akan membeli VCD asli.

Sekian catatan Siti.

Mesej 25 october 2005

21
Oct

Mesej dari Sitizone.com

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua.
Berlalu Ramadhan, Syawal menjelang namun waktu mencemburui untuk menulis sesuatu. Bulan penuh kemuliaan ini, Siti menyampaikan salam lebaran kepada semua yang mendukung selama ini, tidak kira di negara mana, kerna yang pasti, antara kita sesama umat manusia harus sentiasa menjalinkan makna saudara.

Mohon maaf kerana tahun ini Siti tidak membuat Rumah Terbuka seperti selalunya kerana memang sudah berniat untuk berkumpul bersama keluarga dan sanak saudara. Setelah 10 tahun hanya menerima tetamu, Siti kira inilah waktu untuk berkumpul dan melepas rasa rindu di mana tidak mudah untuk kami semua bertemu.

Selain mahu bercerita mengenai hari raya, Siti juga mahu berkongsi kegembiraan kerana dapat bertemu para peminat di Kuala Terengganu dan Kuantan sewaktu Hotlink Tour di sana. Terima kasih kerana sudi datang menjayakan acara dan bergembira sewaktu Siti menghiburkan anda. Alhamdulillah, selepas persembahan di Kuantan, Siti berada di Pekan untuk menerima pingat dari DYMM Sultan Pahang, dan Siti Menjunjung Kasih ke atas Tuanku di atas penganugerahan pingat S.A.P.

Besar tanggungjawab yang digalas, insyaAllah Siti mahu menjadi anak negeri yang sentiasa menabur bakti.

Satu lagi berita gembira yang ingin Siti sampaikan adalah kaset dan cakera padat konsert di London akan berada di pasaran. Tanggal 28 November menjadi pilihan dan Siti harap album original akan dibeli oleh peminat-peminat budiman.

Semoga album tersebut akan berjaya, bukan sahaja dipasaran tetapi dipendengaran. Berjaya juga menjauhi cetak rompak jika anda semua tahu membezakan. Seperti yang Siti pernah beritahu dahulu, tidak mudah untuk memungkinkan album ini boleh dipasarkan kerana banyak ranjau dan liku tetapi demi peminat-peminat, semua itu tidak mengganggu.

Album baru pula akan memulakan rakaman vokal pada Disember nanti, doakan agar semua yang akan Siti jalani akan membolehkan anda berpuas hati.

Sekian dahulu catatan kali ini, moga anda berpuas hati.

Salam Mesra…
Datang Berlindung, Waktu Susah Dan Senang,
Tumpang Berlindung, Waktu Susah Dan Senang.
Siti Nurhaliza
21hb Oktober 2005 : 10am

15
Jul

Message written By Siti Nurhaliza

Actual Messange in malay was extracted from http://www.sitizone.com

Translate In English

Today, I’m at Bali, Indonesia. I’m here for some events and performance, my dedication was accompanied by the Foundation of the Johor Inheritance.

The last trip to Bali was when I’m undergoing the drafting of the videoclip Beradu Di Khayalan few years back. It was fun to be in Bali at that time, because I had an opportunity to stroll along the area there.

Since the location of the vidoe drafting was far into the countryside region, I could personally saw the beauty of the community’s culture there. In more with the greenery environment and the lovely coast.

I really admired Bali, because it has a lot of beautiful places, Definitely when you are here, women will be most fond of with the treatment of traditional beauty. Where you will get to relax your mind and body. Although at that point of time, in Bali, I was filled by work but I stole the opportunity to shop and watched the atmosphere in Bali closely. Although my trip this time was a short one, but hopefully it helps to treat yearning.

After coming back from Bali, I will be in Singapore. Increasingly close to the concert day increasingly fast my heart beat was. I’ve longing to meet my fans in Singapore and hopefully be able to put forward my best for the concert on 20 July. This time the concert will be a relax one, I want to interact with my fans, have a great laugh and share stories with them so that we won’t feel the pressure.

I still remembered during my concert in Singapore which was held in year 2000.
I was very happy with the overwarming reception given and fans that had given me a non stop responds and I really missed that moments.

For me the concert is not just a simple space to meet closely, entertaining but able to interact and talk about anyting I wished for.

Hope to see you in Singapore and pray so that this concert will be a success.

Message written By Siti Nurhaliza
15 July 2005
4pm, Malaysia timing…

25
May

Mesej dari Sitizone.com

Assalammualaikum dan salam sejahtera buat semua pengunjung laman ini, tidak kira di mana sahaja anda berada, harapan dan doa Siti agar semuanya dilindungiNya dan berada dalam kebahagiaan.

Banyak perkara yang berlaku dalam hidup dan kerjaya Siti sepanjang ini tidak dicatatkan apa-apa di ruangan ini. Mungkin ada juga di antaranya ada sudah baca di dada akhbar atau menontonnya sendiri.

Selama 10 tahun dalam bidang seni, Siti berasa amat terharu apabila diraikan oleh Rafflesia dalam satu majlis gilang gemilang pada 16 Mei lalu. Majlis yang selama ini begitu Siti idam-idamkan iaitu Siti dapat berkumpul dengan semua media tidak kira syarikat dan penerbitan, bangsa atau agama, bersatu dalam satu ruang dan bertemu di majlis yang begitu bermakna dan mengharukan.

Siti amat terharu apabila mendengar rakan media dan rakan artis menyanyikan lagu-lagu Siti dalam majlis tersebut dan juga ada wartawan yang menghadiahkan Siti bacaan sajak yang menyentuh hati. Siti berasa amat gembira pada malam tersebut kerana memang sebelum ini Siti pernah mengadakan majlis seumpama itu tetapi beberapa tahun yang lalu, namun pada kali ini kehadirannya lebih ramai lagi.

Rafflesia meraikan Siti di atas kejayaan Siti sebagai Bintang Paling Popular ABPBH yang lalu di mana ianya juga mendapat tajaan syarikat itu. Bagi Siti, semua ini adalah berkat sokongan peminat, apa yang Siti dapat iaitu kereta dan juga rantai mutiara itu adalah hadiah daripada peminat-peminat Siti.

Berkenaan rancangan Mentor pula, terlalu banyak cerita yang keluar sekarang ini. Bagi Siti, sewaktu TV3 menawarkan Siti menyertai Mentor, Siti sudah dapat merasai apa yang akan berlaku. Namun Siti positifkan diri, jika bukan dengan Mentor, perkara-perkara lain juga adakalanya akan membuka cerita demi cerita juga. Apa salahnya jika Siti mahu memperpanjangkan sedikit ilmu yang ada ini untuk mendidik orang lain yang berminat dalam seni?

Saluran ilmu Siti bukan hanya untuk Fahmi tetapi kerana beliau adalah protege Siti, dan ianya menjadi tanggungjawab Siti. Seperti yang Siti katakan sebelum ini, Fahmi berbakat dan Siti mahu mengasuhnya. Jika bukan kerana bakat, tentu fahmi tidak berada dalam bilangan 8 orang protege yang bertanding. Bagi Siti, jika Fahmi menang atau kalah, dia tetap ada bakat yang tersendiri. Nasib dan rezeki menyebelahi orang yang berusaha dan Siti lihat Fahmi bersungguh-sungguh dan dia memang mahu belajar. Kemenangan Fahmi hanya dikaitkan dengan Siti, tetapi orang di luar sana juga Siti yakin melihat bakat Fahmi.

Tidak adil untuk kita menidakkan bakat yang ada pada Fahmi dan kemenangan beliau ada rezeki dan Siti tidak mahu orang meletakkan 100% adalah disebabkan Siti. Sebagai peserta lelaki, Fahmi harus dinilai di mana keistimewaan dan dimana kekuatan nyanyiannya .Siti tidak akan memaksa dia menjadi orang lain dan Siti menonjolkan dimana kelebihannya. Tidak perlu berbuat sesuatu yang diluar kemampuan Fahmi tetapi InsyaAllah, Fahmi akan membuat yang lebih baik. Sama-sama kita melihat perkembangannya nanti.

Tentang konsert di Singapura, pihak webmaster akan mengisi maklumatnya nanti. Semoga peminat Siti tidak kira dimana berada akan datang ke konsert tersebut. Jika anda tidak berpeluang ke London tempohari, datanglah ke Singapura. Kita jumpa lagi.

Salam Mesra…
Datang Berlindung, Waktu Susah Dan Senang,
Tumpang Berlindung, Waktu Susah Dan Senang.

25 Mei 2005