Home   Wordpress   Log in

Archive for the ‘Sitizone’ Category

Sokongan peminat…

July 15th, 2008 by Joe (Admin) | 1 Comment | Filed in Sitizone

Assalammualaikum dan salam sejahtera buat semua. Harapan Siti agar semuanya sihat seperti biasa dan berada dalam keadaan yang baik-baik belaka.

Nampaknya agak lama juga Siti tak menulis di sini tetapi tidak mengapalah kerana Siti sentiasa mengikuti perkembangan anda di sini termasuklah permintaan anda untuk tidak memaparkan message board kepada bukan ahli di sini buat sementara waktu.

Apa pun yang anda rancangkan, yang anda fikirkan dan anda lakukan, Siti di sini sentiasa menyokong kerana laman ini adalah tempat kita dan semestinya Siti akan selalu mendengar apa jua permintaan anda kerana di sinilah kita dipertemukan dan persaudaraan itu terjalin.

Mungkin karier Siti senyap seketika tetapi bukan bermakna goyang kaki kerana banyak perkara sedang bergerak. Siti juga gembira kerana SNP sudah mengeluarkan single Sairah berjudul Hero Wayang yang sudahpun dimainkan di radio, bakal menyusul nanti single Saida dan seterusnya album Coda. Segalanya akan berlaku tidak lama lagi dan harapan Siti agar anda semua menyokong artis2 SNP yang lain kerana ini adalah usaha Siti untuk memberikan sesuatu kepada industri muzik kita.

Siti juga sudah tidak sabar melaksanakan pelbagai rancangan yang terdapat dalam agenda SNP, bagi Siti semua ini berkaitan dengan sokongan anda selama ini. Semangat anda membuatkan SIti tidak mudah mengalah untuk meneruskan sesuatu yang boleh dikongsi bersama anda. Doakan agar apa jua yang kami akan jayakan akan mendapat keberkatanNya dan juga sokongan and serta pihak-pihak lain juga.

Setakat ini buat masa ini.Nantikan kahabar Siti lagi.

Salam mesra buat semua, Siti Nurhaliza

Terima Kasih Kerana Prihatin…

June 16th, 2008 by Joe (Admin) | No Comments | Filed in Sitizone

Assalammualaikum dan salam sejahtera buat semua. Salam penuh keceriaan buat semua dan harapan Siti agar semuanya akan mendapat apa yang dihajatkan dalam hidup.

Tidak sangka pula mesej Siti yang sebelum ini menimbulkan banyak persoalan dan juga jadi bualan walaupun sewaktu menghantar mesej tersebut Siti memang tidak memikirkan apa-apa kerana merasakan ia satu mesej yang biasa dihantar. Nampaknya peminat Siti amat prihatin dan Siti juga tidak mahu lagi ada tanda tanya cuma adakala dengan satu mesej, suasana akan bertukar menjadi lebih baik dan juga yang sebaliknya. Harapan Siti agar semuanya akan jadi baik-baik sahaja.

Jangan bimbangkan Siti kerana memang Siti akui sebagai manusia biasa adakala kita juga rasa untuk berkongsi sesuatu dengan orang lain tapi kita tidak boleh mengharapkan orang memahami kita. Namun buat anda semua, Siti tahu bagaimana sokongan anda kepada Siti selama ini dan Siti amat menghargainya.

Masa terus berlalu, memang banyak rancangan yang mahu dilaksanakan. Bukan untuk diri Siti sahaja tetapi syarikat Siti juga. InsyaAllah, Siti juga tidak lama lagi akan memulakan produksi album tradisional kontemporari dan InsyaAllah akan merakamkan vokal bila semuanya sudah sedia. Begitu juga dengan artis SNP yang lain, akan ada produk yang akan dikeluarkan di samping rancangan-rancangan lain. Maklumlah, tahun ini SNP sudah genap 10 tahun. InsyaAllah berkat sokongan semua kami akan melakukan apa yang terbaik untuk industri. Segalanya perlu perancangan yang betul kerana industri hiburan sekarang tidaklah sehebat zaman 90-an dulu. Siti harap dengan usaha yang kami taburkan selama ini akan dapat sentiasa memuaskan dan menghiburkan hati anda semua.

InsyaAllah seperti biasa, jika segalanya sudah pasti Siti akan umumkan kepada semua. Doakan agar semuanya berjalan dengan baik.

Terima kasih atas semua yang telah anda lakukan di belakang Siti, menjalinkan hubungan yang baik, mengadakan pertemuan dan juga memanjangkan silratulrahim. Itulah matlamat SZ kerana ia bukan hanya menghubungkan Siti dengan anda tetapi di antara anda juga. Maaf jika ada pelawaan yang tidak dapat ditunaikanm, tidak banyak masa dapat diluangkan tapi adakala penghargaan tak dapat diluahkan dengan perbuatan dan perkataan kerana hati yang boleh menyampaikan kebenaran dan kenyataan.

Salam sayang buat semua. Jumpa lagi.
Siti Nurhaliza

Salam semuanya…

May 23rd, 2008 by Joe (Admin) | 6 Comments | Filed in Sitizone

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua. Salam buat warga pekerja, warga belia, warga ibu, warga guru dan sesiapa yang menyambut hari Wesak baru-baru ini, nampaknya bulan Mei banyak hari-hari yang diraikan.

Seperti biasa Siti mendoakan agar semua yang dijalani akan dapat dilalui dengan baik. Siti juga berdoa agar hari-hari yang bererti buat setiap seorang daripada kita akan menjadi detik yang bermakna dalam hidup.

Hidup hanya sekali, itu yang memang kita tahu. Menghargainya setiap detik akan memberikan kita kelegaan kerana kita akan dapat mensyukuri apa yang telah kita miliki. Tidak kira siapa kita, apa status kita, di manakah asal kita, keturunan, bangsa , agama mahupun negara, kita harus tahu erti saling menghormati dan menghargai.

Siti kira terlalu banyak yang telah Siti lalui dan depani, ambil saja yang manis untuk jadikan kenangan terindah dan yang pahit jadikan pedoman untuk ditongkah. Tidak mudah menjadi seorang seperti Siti tetapi Siti bertanggungjawab atas apa yang telah Siti jalani sebagai insan malah Siti tidak mahu mengeluh dan melatah jika ada kata-kata tidak benar dilempar, ada umpatan dan kejian, ada rasa tidak puas hati pelbagai pihak, ada rasa kurang senang mahupun sesuatu yang sampai ke telinga pihak lain adalah sebaliknya daripada cerita atau kisah sebenarnya.

Siti tahu tanggungjawab Siti besar kerana Siti telah melalui hari Siti sebagai orang yang dikenali, pasti apa jua akan diperkatakan. Tapi dalam Siti cuba dan mencuba malah telah lama menerimanya dengan dada terbuka tapi Siti harus akui bahawa Siti juga manusia biasa. Sebagaimana orang lain punya hati dan rasa, punya pertimbangan, akhirnya harus diakui bahawa kita semua adalah sama. Bagaimana ada yang sanggup menyakiti sesama kita, menuding jari ke arah sini dan sana malah melontarkan kata-kata yang mungkin membuatkan ada yang terluka. Apakah di laman ini sudah hilang kepercayaan dan keharmonian? Sudah timbul andaian yang seolah2 menggambarkan diri Siti ini adalah sebaliknya daripada apa yang pernah dikenali?

Beradalah sekejap di tempat Siti, pasti anda tidak sanggup duduk lama. Tapi inilah yang Siti pegang selama ini, bertahan semampu mungkin. Cukuplah… jangan ada andaian lagi. Semua yang berlaku baik-baik belaka. Siti masih ada rasa dan harga. Masih ada maruah dan juga masih punya hati yang seperti dulu. Tidak berubah, tidak ada kesanggupan untuk melukai sesiapa malah tidak pula menonong mengikut telunjuk sesiapa.

Maaf catatan ini merangkumi semuanya. Cukuplah jika selama ini Siti harus berkias dan masih menghormati perasaan orang lain dan kini Siti masih berkias kerana itulah cara Siti.

Semoga masih ada kedamaian dan keceriaan.Doa Siti yang berpanjangan.

Salam mesra buat semua.
Siti Nurhaliza