Home   Wordpress   Log in

Archive for the ‘Metro’ Category

Siti Bantu Kakak, Adik

August 1st, 2008 by Joe (Admin) | No Comments | Filed in Metro

Oleh Hartati Hassan Basri
hartati@hmetro.com.my

Rap

SELEPAS 12 tahun menceburi dunia seni, nama Siti Nur haliza sudah begitu kukuh bukan saja di negara sendiri malah melangkaui negara jiran, Indonesia hingga ke Jepun dan Taiwan.

Dengan rekod artis paling banyak mengumpul anugerah iaitu lebih 120 selama 12 tahun, kini tiada apa lagi yang dikejar Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, 29, selain meneruskan kelangsungan kerjaya seninya dengan menghasilkan album baru.

Malah penyanyi yang popular dengan lagu Ku Mahu daripada album Hadiah Daripada Hati yang dipasarkan akhir tahun lalu, mahu membantu mengembangkan bakat seni adik- beradiknya yang berbakat dan berminat menceburi nyanyian.

Kakaknya Siti Saida menyertai Akademi Fantasia musim keenam (AF6) baru-baru ini begitu juga adiknya, Siti Sairah pernah menyertai program realiti One In A Million musim pertama tahun lalu.

“Saida dan Sairah kini menjadi artis Siti Nurhaliza Pro duction (M) Sdn Bhd (SNP). Sebagai permulaan, SNP menerbitkan album mereka berdua secara bersama, me muatkan tiga lagu solo masing-masing serta dua lagu duet.

“Single Sairah, Hero Wayang sudah siap dan kini diedarkan kepada stesen radio manakala single Saida, Sedalamnya Cinta akan menyusul tidak lama lagi.

“Konsep muzik yang mereka tampilkan juga berbeza kerana Sairah lebih menjurus kepada pop moden manakala Saida konsep pop. Saya juga memberi kebebasan kepada mereka memilih konsep muzik yang ingin diketengahkan asalkan ia sesuai dengan suara mereka dan keadaan semasa.

“Saya juga sedar dalam keadaan ekonomi sekarang, ke utamaan masyarakat bukan lagi membeli album sebaliknya perkara lain yang disifatkan lebih penting. Apa yang saya tekankan, pemilihan lagu yang sedap didengar.

“Bagi saya penyanyi perlu tampil dengan album kerana daripada itu akan datang peluang untuk menjayakan per sembahan pentas dan juga program televisyen,” kata Siti.

Dia juga tidak menafikan cuba membantu mereka mendapat publisiti dan peluang menyanyi secara pakej bersamanya. Antaranya menjayakan persembahan Laman Santai di Istana Budaya pada 21 Jun lalu serta menjayakan program khas hari raya untuk TV3, Teratak Siti Nurhaliza atau fotografi bersama mereka.

Katanya, program raya yang disiarkan selama satu setengah jam itu berkonsep tradisional dan turut mengundang Saida dan Sairah sebagai artis undangan. Rakaman program itu diadakan di Shah Alam, semalam, jam 9 malam.

“Saya rasa ia bukan satu isu malah tidak salah saya menolong Saida dan Sairah dengan mengundang mereka menjayakan program yang saya jayakan. Bila lagi nak tolong mereka. Lagi pun kalau bukan saya yang menolong mereka, siapa lagi.

“Saya ada peluang, apa salahnya bantu mereka dengan mencadangkannya kepada penganjur atau penerbit tele visyen. Tapi saya sekadar mencadangkan, jika mereka terima, Alhamdulillah.

“Kalau mereka menolak, saya tidak pula memaksa. Tapi nampaknya mereka bersetuju apabila dicadangkan nama mereka berdua ketika persembahan Laman Santai begitu juga program raya itu,” katanya.

Mengenai album baru, Siti yang baru menerima anugerah Artis Profesional Malaysia di Anugerah Kecemerlangan Balai Ikhtisas Malaysia 2008 anjuran Balai Ikhtisas Malaysia (BIM) pada 23 Julai lalu, kini dalam proses rakaman album baru berkonsep tradisional dan dijangka masuk studio rakaman pada bulan puasa nanti.

Ia dijangka dipasarkan akhir tahun ini atau awal tahun depan, sebagai kelangsungan album pop, Hadiah Daripada Hati yang dipasarkan akhir tahun lalu.

Katanya, kehadiran album baru begitu penting supaya dia tidak dilupakan peminat. Ini ditambah pula dengan kehadiran ramai artis baru, sudah tentu kehadiran album baru mem buktikan dia masih terus menyanyi.

“Selagi mampu, saya akan terus menghasilkan album baru. Maklumlah, buat album keluar duit sendiri ditambah pula keadaan ekonomi sekarang yang tidak begitu menggalak kan.

“Saya juga sedar tumpuan masyarakat kini bukan pada album sebaliknya mengamalkan jimat cermat dengan ber belanja sesuatu yang dirasakan lebih penting.

“Pada waktu sama penyanyi perlu muncul dengan album baru supaya kehadiran mereka tidak dilupakan. Insya- Allah album baru berkonsep tradisional akan berada di pasaran akhir tahun ini,” katanya.

Siti yang akan meraikan ulang tahun perkahwinan kedua pada 21 Ogos ini, mengakui tiada apa yang perlu dirungutkan kerana kehidupannya kini cukup bahagia dan gembira ber sama suami, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa dan anak.

Katanya, masanya kini banyak terluang berbanding sebelum kahwin apabila sibuk dengan tuntutan kerja sekali gus mampu melakukan perkara yang sebelum ini tidak berpeluang di lakukan.

“Saya kini ada masa menonton wayang bersama suami dan anak-anak pada hujung minggu atau bercuti bersama ke luarga. Baru-baru ini saya juga berpeluang bercuti di Pulau Pinang dan mencuba parasailing. Ia aktiviti yang sudah lama ingin saya lakukan tetapi tiada peluang,” katanya.

>Profil

Nama sebenar: Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin

Tarikh lahir: 11 Januari 1979

Tempat lahir: Kampung Awah, Temerloh, Pahang.

Bintang: Capricorn

Keluarga: Anak kelima daripada lapan beradik

Status: Berkahwin

Suami: Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa

Warna kegemaran: Hijau dan pastel

Muzik kegemaran: Pop, alternatif, R&B, ttradisional

Anugerah: Johan Setia Mahkota (JSM), Paduka Mahkota Perak (PMP), Ahli Ahmad Shah Pahang (AAP), Setia Ahmad Shah (SAP) dan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP yang membawa gelaran Datuk)

Harian Metro

Respirasi Muzik: Intan Tulis Lirik Sendiri Dalam Album Salut

July 22nd, 2008 by Joe (Admin) | No Comments | Filed in Metro


Rap

MENILAI pembabitan pelakon drama terkenal Indonesia, Intan Nuraini atau Intan dalam industri muzik serantau tidaklah begitu mengagumkan. Malah di tanah kelahirannya dia masih berusaha untuk menempatkan diri dalam kelompok penghibur disegani.

Walau album pertamanya kurang sambutan tetapi ia tidak bermakna gadis berasal dari Jakarta ini tidak perlu terus berusaha. Dalam kesibukannya berada di lokasi, Intan sempat menghasilkan album kedua, Salut.

Menarik kebanyakan lagu dan lirik dimuatkan dalam album ini dihasilkan Intan sendiri seperti Salut, Jauh, Cinta, Menunggu dan Gubrak sementara pengurusnya P Intan S bertindak sebagai penerbit.

Selaku penerbit P Intan S mengambil langkah bijak apabila menggunakan khidmat beberapa komposer terkenal seberang seperti Tohpati dan Pongky Prasetyo yang pernah menghasilkan lagu untuk Datuk Siti Nurhaliza juga Edmond Franky untuk menyusun kembali muzik dihasilkan.

Ternyata kebanyakan lagu dimuatkan dalam album kedua ini lebih baik berbanding album sebelumnya. Tambahan pula apabila beberapa pemuzik terbaik seperti Yoyo dari Kumpulan Padi turut menyumbangkan bakatnya dengan bermain untuk lagu dihasilkan.

Berkonsepkan pop sepenuhnya, kebanyakan lirik dihasilkan Intan berkisar soal cinta sesuai dengan usia dan penampilan.

Bagi mengingatkan kembali peminat terhadap kerjaya seni nyanyian Intan, Salut turut memuatkan kembali tiga lagu dipetik dari album pertama seperti Delima, Aduh dan Menyesal yang dianggap mempunyai kekuatan tersendiri.

Album: Salut

Artis: Intan

Harian Metro

Winnie Berani Hadapi Risiko

July 16th, 2008 by Joe (Admin) | No Comments | Filed in Metro

Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my

Rap

PENYANYI tempatan yang sudah ada nama pun, sukar menembusi pasaran muzik Indonesia. Kalau ada pun, memang boleh dikira dengan jari seperti penyanyi nombor satu tanah air, Datin Seri Siti Nurhaliza Tarudin dan Ratu Jazz, Sheila Majid.

Namun pendatang baru dalam industri muzik Melayu, Winnie Kok atau kini ingin dikenali sebagai Winnie K, 27, berani mengambil risiko berkenaan. Semuanya demi menjayakan impiannya melebarkan sayap ke negara seberang itu.

Demi album solo Melayunya juga, Winnie atau nama sebenarnya Kok Mui Kuan sanggup berulang-alik selama tiga bulan termasuk menguasai bahasa Indonesia sekali gus mencuri perhatian penggemar muzik di sana.

“Sejak awal lagi, semua orang sudah bertanya kenapa saya melancarkan album di Indonesia lebih awal dan selepas itu baru di tanah air sendiri?

“Maklumlah, bukan sedikit cabaran untuk saya menjual album di sana. Selain tidak fasih berbahasa Indonesia, pasaran album di Indonesia juga jauh lebih besar daripada di sini. Malah, sepanjang mempromosikan album di sana, rata-rata orang sana hanya kenal Siti dan Sheila.

“Apatah lagi, dalam kegawatan pasaran album ketika ini, ramai artis kita putus asa untuk bikin album. Tapi saya pula semakin bersemangat dan berusaha sedaya upaya untuk menyahut cabaran dalam bidang muzik sekarang.

“Apapun pandangan orang, saya lebih suka melihat dari sudut positif kerana saya juga tampilkan lagu dan muzik segar.

“Saya sedar artis baru seperti saya mengambil masa yang panjang untuk mendapat tempat di Indonesia. Saya anggap diri masih baru dalam industri muzik Melayu dan lebih suka bersaing dengan cara yang sihat dengan mereka,” katanya.

Kehadiran Winnie yang mendapat jolokan ‘Siti Nurhaliza versi Mandarin’ di Indonesia pada Mac lalu bukan dengan tangan kosong sebaliknya penyanyi jelita ini mempertaruhkan album solo Melayunya, Kau Ada Di Mana yang dilancarkan di sana.

Selepas Indonesia, album solo Winnie menjengah pasaran Malaysia pada 26 Jun lalu. Jika diikutkan, kata Winnie, dia sudah lama memasang impian untuk mempunyai album solo Melayu sejak dulu lagi.

Sejak berkecimpung sebagai penyanyi sejak 1999 sampai sekarang, Winnie sudah mempunyai tiga album solo berbahasa Cina dan album terakhirnya pula diterbitkan pada 2003.

“Saya sudah lama berhasrat merakamkan album Melayu tapi tidak ada peluang. Semangat saya semakin membara untuk buat album Melayu kerana sambutan lagu Kau dan Aku, ciptaan Ajai yang juga percubaan pertama untuk menembusi industri muzik Melayu tidak lama dulu.

“Akhirnya, impian itu terlaksana juga apabila syarikat rakaman Warner Music menawarkan peluang itu. Apapun, saya bersyukur dengan pencapaian setakat ini kerana perjalanan kerjaya seni saya juga sukar dan tidak mudah seperti disangka,” katanya.

Winnie yang kini bernaung di bawah syarikat rakaman Warner Music berkata, dia mengakui tidak kisah mengambil masa yang lama (dua tahun) untuk buat album solo Melayu itu.

“Saya difahamkan penerbit mengambil masa lama untuk buat album ini kerana mereka susah cari lagu sesuai untuk saya. Saya sabar menanti sekian lama kerana ingin hasilkan yang terbaik buat peminat,” katanya.

“Apa yang menariknya, album ini mendapat sentuhan komposer Malaysia dan Indonesia. Bagi versi Indonesia, lima lagu dirakamkan semula untuk pasaran Indonesia seperti Kau Ada Di Mana, Kekasih Gelapmu dan Tak Bisa Memilih. Antara komposer Indonesia terbabit dalam pembikinan album ini ialah Dewiq dan Yudis Dwikorana.

“Komposer tempatan pula Ramli MS, Ajai, Cat Farish, Audi Mok, Tam Spider dan Siew. Versi Indonesia mengandungi 10 lagu dan pasaran Malaysia pula ada 11 lagu,” katanya.

Katanya, dia juga menimba pengalaman berharga bekerja dengan komposer dari seberang. Bagi Winnie, cara kerja mereka sama saja dengan komposer kita.

“Kalau boleh, mereka ingin saya menyanyi seperti artis mereka (Indonesia) tetapi pada masa sama, mereka juga beri kebebasan pada saya juga,” katanya.

Sekalipun menghasilkan album Melayu, Winnie tidak melupakan perancangannya untuk menghasilkan album Cina. Katanya, selepas ini dia akan buat album bahasa Cina dan bahasa Melayu lagi.

Selain kerjaya nyanyian, Winnie yang juga jurucakap pusat pelangsingan badan Cenosis dan pernah beraksi dalam filem Potret Mistik pada 2004 juga berhasrat mengembangkan bakatnya dalam bidang pengacaraan dan lakonan pada masa depan.

“Saya banyak dapat tawaran buat drama tapi terpaksa menolaknya kerana penggambarannya membabitkan masa yang panjang. Maklumlah, ketika itu saya sibuk buat album dan memenuhi undangan persembahan.

“Jika ada tawaran berlakon selepas ini, saya ingin beraksi dalam filem komedi dan romantik pula,” katanya.

Mengenai gosip hangat hubungannya dengan gitaris kumpulan Ungu, Oncy, Winnie berkata, mereka memang berkawan rapat dan tidak lebih daripada itu.

“Secara kebetulan, saya dan Oncy bernaung di bawah syarikat rakaman yang sama di Indonesia, Trinity Optima Production yang mengedarkan album saya di sana.

“Hubungan kami rapat kerana sepanjang tiga bulan di sana, kami sering buat persembahan dan menghabiskan masa bersama. Apapun, saya belum mempunyai teman istimewa selepas putus cinta lebih setahun lalu.

“Bukan saya tidak mahu mencari pengganti tapi kerana komitmen pada kerja menyebabkan saya tidak ada masa untuk semua itu,” katanya.

>Profil

NAMA SEBENAR: Kok Mui Kuan

TARIKH LAHIR: 16 Mac 1982

TEMPAT LAHIR: Kuala Lumpur

PENDIDIKAN: Diploma Lanjutan dalam jurusan Pengurusan Perniagaan

STATUS: Bujang

PROFESION: Penyanyi dan model

ALBUM: Lian Ai Kuai Le (Mandarin-1999), Change (Mandarin-2001) dan Chang (Mandarin bersama satu lagu Melayu berjudul Kau Dan Aku-2003)

PENCAPAIAN: Juara Asia Bagus di Singapura (1993), Top Ten Artis Cina Malaysia selama lima tahun berturut-turut sejak 2001 dan Anugerah Best Artist dan Malaysia Most Highly Supported Best Artis Global Chinese Golden Art Award (2005)

IKLAN KOMERSIAL: Model Duta Pepsi (2001), Coklat Cadbury (2002) dan

produk kesihatan di China (2003). Lain-lain Cool Fever, Follow Me, Yoko

Yoko dan Gardenia

Harian Metro