Archive for the ‘Lenggok Siti’ Category

Persiapan Menjelang Raya.


ASSALAMUALAIKUM dan salam sejahtera buat pembaca semua. Semoga anda dalam keadaan sihat hendaknya disamping menjalani ibadah puasa.

Siti pasti pada minggu kedua kita berpuasa ini ramai di antara kita yang sudah mula membuat pelbagai persiapan untuk berhari raya. Siti sendiri, biasanya persiapan ini dibuat pada minggu terakhir puasa kerana pada ketika tidak begitu sibuk. Sekarang tidak begitu. Sekarang ini, rakaman album baru Siti masih dalam proses dan akan tamat pada minggu depan.

Selasa lalu, Siti berkesempatan muncul dalam majlis berbuka puasa anjuran Suria Record. Pada majlis itu juga diadakan majlis pelancaran video cakera padat(VCD) dan cakera padat album hari raya artis Suria Record.

Bagi peminat yang ingin mendapatkannya, album berjudul Gema Hari Raya itu sudah muncul di pasaran.

Siti sendiri muncul dalam tiga klip video iaitu secara berama-ramai dalam lagu Aidilfitri Di Alaf Baru, Nikmat Hari Raya dan satu lagu solo, Sesuci Lebaran.

Siti juga mengambil kesempatan di sini untuk memohon maaf kepada pihak tertentu kerana tidak dapat memenuhi pelbagai undangan pada bulan puasa ini kerana terikat dengan jadual rakaman.

Bagaimanapun, Siti akan cuba muncul dalam beberapa majlis jika jadual rakaman tidak bertembung dengan tarikh majlis diadakan.

Nampaknya sekian dulu catatan Siti minggu ini. Bertemu kembali pada minggu hadapan.

Sekian Wassalam.

-SITI NURHALIZA

METRO AHAD

Niat Sukar Ditunai.


ASSALAMUALAIKUM dan salam sejahtera buat pembaca semua. Siti pasti anda semua berada dalam keadaan sihat walaupun sedang menjalani ibadah puasa.

Siti baru sahaja tiba dari Shanghai, China, pada Jumaat lalu dan nampaknya terpaksalah berpuasa di negara orang yang memang mempunyai cabarannya yang tersendiri.

Apa yang berbeza cuma waktu berbuka puasa dan imsak sahaja, selebihnya keadaan cuaca yang agak sejuk di sana.

Siti sudah membawa bekal dari Malaysia supaya tidak rindu dengan pelbagai juadah yang tentunya menjadi hidangan paling enak di setiap rumah.

Bermula esok, Siti akan menumpukan perhatian kepada rakaman terbaru Siti. Memang jadual rakaman Siti agak padat ditambah pula dengan beberapa hari tertentu Siti perlu hadir dalam beberapa acara yang sudah ditetapkan.

Walaupun tidak terkejar rasanya tetapi Siti akan cuba lakukan sebaik yang mungkin.

Untuk album kali ini, Siti sudah mendapat beberapa himpunan lagu. Tetapi Siti tidak berani bercerita lanjut mengenai album baru ini kerana ia masih lagi dalam proses pembikinan.

Bagaimanapun, dalam setiap album pastinya Siti akan cuba terapkan sedikit kelainan daripada album yang sebelumnya.

Siti juga sudah mengumumkan dari awal untuk bercuti atau berehat buat beberapa ketika.

Secara jujur, nampaknya niat Siti itu agak sukar ditunaikan kerana terlalu banyak perkara yang harus diselesaikan.

Namun begitu, besar harapan Siti agar peminat dan juga pihak media memahami keadaan Siti.

Ini sajalah waktu untuk Siti berehat kerana sebelum pertengahan tahun hadapan banyak perkara yang hendak Siti lakukan.

Justeru itu, Siti mengambil peluang bulan Ramadan yang mulia ini untuk ‘bercuti’ seketika walaupun hakikatnya Siti menjalani rakaman studio. Tetapi itu satu cara Siti untuk menumpukan perhatian kepada perkara lain.

Selepas itu, Siti akan pulang ke kampung bagi menyambut Ramadan bersama-sama keluarga seterusnya menyambut Syawal di sana.

Sekian catatan Siti pada minggu ini, Bertemu kembali minggu hadapan.

Sekian Wassalam.

-SITI NURHALIZA-

METRO AHAD

Siti Puasa Di Shanghai.

ASSALAMUALAIKUM dan salam sejahtera buat pembaca semua. Semoga semuanya berada dalam keadaan sihat hendaknya.

Jika tidak ada aral melintang, esok atau lusa, seluruh umat Islam akan menjalani ibadah puasa. Siti ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan selamat berpuasa kepada seluruh muslimin dan muslimat.

Semoga ibadah puasa kita semua akan diberkati Allah hendaknya. Insya-Allah album terakhir Siti muncul sebelum berehat untuk seketika.

Justeru, Siti minta jasa baik semua pihak terutamanya pihak media dan juga peminat merestui niat Siti untuk berehat seketika. Siti juga rasa lebih selesa jika sepanjang waktu rehat itu, Siti diberikan ruang ‘berehat’ daripada sebarang publisiti. Pada 28 November ini, Siti akan berangkat ke Shanghai untuk memenuhi undangan ke Festival Muzik Shanghai sebagai artis jemputan. Siti akan menyampaikan dua lagu. Nampaknya awal bulan puasa ini, Siti akan menyambutnya di negara orang.

Pulang dari Shanghai nanti, Siti akan terus masuk studio untuk rakaman album dan kemungkinan besar tidak banyak acara atau aktiviti nyanyian yang Siti sertai sepanjang bulan Ramadan ini. Lagipun, selepas habis rakaman album, Siti akan berehat.

Pada minggu ini juga, Siti ingin menyentuh sedikit mengenai Juara Lagu 2000 yang berlangsung pada minggu lalu. Alhamdulillah, lagu nyanyian Siti, Balqis dan Kau Kekasihku berjaya dan Siti mengucapkan tahniah kepada komposer dan penulis liriknya iaitu Pak Ngah, Hairul Anuar, Ajai dan Alam Maya. Walaupun lagu Nian Di Hati, ciptaan Azmeer dan lirik oleh Azam Dungun kurang berjaya, tetapi Siti ingin merakamkan rasa terima kasih yang tidak terhingga kepada Azmeer yang banyak membantu Siti selama ini.

Siti menganggap kejayaan dalam Juara Lagu 2000 sebagai satu kenangan manis buat Siti dan semua peminat yang memberi sokongan. Barangkali, inilah detik-detik manis yang akan Siti ingati sebelum berehat buat seketika. Nampaknya setakat ini dulu catatan Siti. Bertemu kembali.

Wassalam.

-SITI NURHALIZA-

METRO AHAD