Salam Terakhir Siti.
December 31st, 2000 by Joe (Admin) | No Comments | Filed in Lenggok SitiASSALAMUALAIKUM dan salam sejahtera buat pembaca semua. Semoga anda sihat dan bergembira dalam suasana hari raya yang masih lagi terasa kemeriahnnya. Bagaimana dengan hari raya anda? Tentu seronokkan? Bagi Siti hari raya tahun ini seperti tahun-tahun yang sebelumnya dan ramai peminat berkunjung ke rumah.
Agak sedih juga minggu ini kerana inilah kali terakhir Siti menulis di ruangan ini. Seperti yang Siti beritahu minggu lalu, Siti akan berhenti menulis selepas hampir tiga tahun Siti menulis di ruangan ini.
Siti ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak Metro Ahad yang sudi mengundangang Siti menulis di sini dan jasa baik akhbar ini amat Siti hargai. Memang ada kalanya jadual Siti terlalu ketat dan terlambat menulis, tetapi pihak Metro Ahad memahami situasi Siti. Siti tidak akan lupa dengan kerjasama yang telah Siti berikan.
Begitu juga dengan pembaca dan peminat yang tidak pernah ketinggalan mengikut ruangan ini, Siti ingin mengucapkan terima kasih. Memang Siti menghargai setiap sokongan yang diberikan dan sukar untuk Siti luahkan dengan kata-kata.
Walaupun Siti tidak menulis lagi di sini tetapi Siti berharap agar ingatan dan sokongan dari anda akan berterusan.
Menjelang tahun baru 2001 bermula esok, Siti berharap agar kita semua diberikan oleh Allah kebahagian hidup dan dapat menjalani kerjaya seharian dengan baik dan lancar.
Walaupun Siti akan berehat tetapi Siti tetap akan menyelesaikan beberapa tugas yang telah dipersetujui lebih awal perlu Siti laksanakan dan Insyallah, bila tiba waktu yang sebenarnya nanti, Siti akan kembali menemui peminat semua.
Semoga dengan kelahiran album terbaru Siti nanti dapat mengubat rindu peminat terhadap Siti. Jangan lupa dapatkan album yang original.
Sebelum mengundur diri, sekali lagi Siti ingin mengucapkan terima kasih kepada Metro Ahad, pembaca dan peminat semua. Semoga kita semua akan terus saling mengingati walaupun Siti tidak lagi menulis di ruangan ini.
Salam mesra selalu, wassalam.
-SITI NURHALIZA-
METRO AHAD

