Archive for the ‘Lenggok Siti’ Category

Salam Terakhir Siti.


ASSALAMUALAIKUM dan salam sejahtera buat pembaca semua. Semoga anda sihat dan bergembira dalam suasana hari raya yang masih lagi terasa kemeriahnnya. Bagaimana dengan hari raya anda? Tentu seronokkan? Bagi Siti hari raya tahun ini seperti tahun-tahun yang sebelumnya dan ramai peminat berkunjung ke rumah.

Agak sedih juga minggu ini kerana inilah kali terakhir Siti menulis di ruangan ini. Seperti yang Siti beritahu minggu lalu, Siti akan berhenti menulis selepas hampir tiga tahun Siti menulis di ruangan ini.

Siti ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak Metro Ahad yang sudi mengundangang Siti menulis di sini dan jasa baik akhbar ini amat Siti hargai. Memang ada kalanya jadual Siti terlalu ketat dan terlambat menulis, tetapi pihak Metro Ahad memahami situasi Siti. Siti tidak akan lupa dengan kerjasama yang telah Siti berikan.

Begitu juga dengan pembaca dan peminat yang tidak pernah ketinggalan mengikut ruangan ini, Siti ingin mengucapkan terima kasih. Memang Siti menghargai setiap sokongan yang diberikan dan sukar untuk Siti luahkan dengan kata-kata.

Walaupun Siti tidak menulis lagi di sini tetapi Siti berharap agar ingatan dan sokongan dari anda akan berterusan.

Menjelang tahun baru 2001 bermula esok, Siti berharap agar kita semua diberikan oleh Allah kebahagian hidup dan dapat menjalani kerjaya seharian dengan baik dan lancar.

Walaupun Siti akan berehat tetapi Siti tetap akan menyelesaikan beberapa tugas yang telah dipersetujui lebih awal perlu Siti laksanakan dan Insyallah, bila tiba waktu yang sebenarnya nanti, Siti akan kembali menemui peminat semua.

Semoga dengan kelahiran album terbaru Siti nanti dapat mengubat rindu peminat terhadap Siti. Jangan lupa dapatkan album yang original.

Sebelum mengundur diri, sekali lagi Siti ingin mengucapkan terima kasih kepada Metro Ahad, pembaca dan peminat semua. Semoga kita semua akan terus saling mengingati walaupun Siti tidak lagi menulis di ruangan ini.

Salam mesra selalu, wassalam.

-SITI NURHALIZA-

METRO AHAD

Selamat Hari Raya Untuk Peminat.


ASSALAMUALAIKUM dan salam sejahtera buat pembaca Metro Ahad. Semoga anda semua sihat hendaknya di ketika ini.

Hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi kita seluruh umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidil Fitri. Seperti biasa nasihat Siti agar kita semua mengambil langkah berhati-hati sama ada ketika memandu pulang ke kampung atau meniggalkan rumah. DOa Siti agar kita semua akan selamat sampai ke destinasi yang ditujui dan gembira bertemu dengan ahli keluarga di kampung.

Siti rasa bersyukur kerana rakaman album terbaru Siti telahpun selesai dan sebelum pulang ke kampung Siti telah menjalani pengambaran kulit album. InsyaAllah, jika tidak ada aral melintang, album Siti akan dilancarkan pada awal 2001 nanti.

Pada kesempatan ini juga, Siti ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada peminat yang mengirim kad raya kepada Siti. Memang banyak kad yang Siti terima dan Siti berharap agar anda bersabar menanti balasan dari Siti.

Untuk pengetahuan pembaca semua, catatan Siti di Lenggok Siti akan berakhir minggu depan. Walaupun ruangan ini banyak jasa kepada Siti tetapi Siti terpaksa mengundurkan diri kerana sudah agak lama Siti menulis di sini. Selain itu, Siti juga ingin berehat untuk beberapa ketika dan Siti berharap agar pembaca semua dapat memahami.

Sebelum mengundur diri, Siti ingin mengucapkan Selamat Hari Raya buat semua pembaca dan peminat dan semoga Hari Raya ini akan memberi keceriaan kepada anda semua. Siti mohon maaf atas segala silap dan salah Siti selama ini dan harapnya anda akan mendapatkan album terbaru Siti nanti.

Sekian dahulu catatan Siti kali ini.

Salam Mesra. Wassalam.

-SITI NURHALIZA-

METRO AHAD

Jemputlah Ke Rumah.

ASSALAMUALAIKUM dan salam sejahtera buat pembaca semua. Semoga anda semuagembira dan sihat hendaknya pada bulan Ramadan yang mulia.

Nampaknya Syawal yang bakal menjelang menyesakkan lagi bandar raya Kuala Lumpur. Rata-rata yang datang dari dalam dan luar Kuala Lumpur bertumpu ke kompleks membeli belah untuk mencari persediaan hari raya.

Pada fikiran Siti, tentunya hujung minggu sahaja Kuala Lumpur sesak tetapi pada hari-hari biasa juga nampaknya orang ramai tidak melepaskan peluang keluar membeli belah.

Kerana Siti masih sibuk di studio rakaman, Siti hanya melihat sahaja gelagat orang ramai di ketika ini kerana belum berpeluang untuk turut sama membeli belah bagi beberapa keperluan lain.

Pada awal raya nanti, Siti akan beraya di kampung, Kuala Lipis dan pada waktu itu Siti tidak mahu membebankan diri dengan perkara lain kerana Siti sudah mahu berehat.

Walaupun album Siti dijanka akan dikeluarkan pada waktu Siti berehat tetapi ada beberapa komitmen lain yang Siti perlu lakukan tetapi tidaklah sesibuk mana.

Siti berharap peminat Siti akan mendapatkan album itu walaupun pada ketika itu Siti akan berehat.

Menyentuh mengenai hari raya, memang ramai peminat yang bertanya, bolehkah mereka beraya di rumah Siti?

Sebenarnya hari raya memang menjadi amalan mulia supaya kita saling kunjung mengunjungi dan Siti sedia menanti anda semua bertandang ke rumah Siti. Berdasarkan sambutan sebelum ini, memang ramai peminat beraya ke rumah Siti dan Siti amat gembira kerana mereka sudi beraya bersama Siti.

Walaupun adakalanya memang tidak terlayan, apatah lagi jika begitu ramai yang datang, tetapi Siti harap mereka berkunjung ke rumah adalah sesuatu yang amat Siti hargai.

Pada masa inilah Siti benar-benar berpeluang bertemu peminat kerana sebelum ini masing-masing sibuk dengan urusan lain. Selain itu, mereka hanya mengenali Siti menerusi album Siti atau menonton televisyen dan melihat majalah tetapi pada hari raya, kami bersemuka.

Tahun ini, Siti belum fikirkan apakah juadah istimewa untuk peminat Siti teapi seperti biasa, ibu Siti sering menyediakan nasi himpit kuah kacang dan kuih muih yang lain.

Siti berharap agar hari raya tahun ini lebih meriah dan Siti mengambil peluang di sini memohon ampun dan maaf atas apa jua silap Siti terhadap anda semua selama ini.

Salam mesra selalu. Wassalam.

-SITI NURHALIZA-

METRO AHAD