Archive for the ‘Kosmo’ Category
Serasi Bersama Raja Farah
Oleh FAIZAL SAHARUNI mfaizal@kosmo.com.my
JUSTIN TIMBERLAKE ‘berteman’ dengan pelakon remaja popular tempatan, Raja Farah Raja Aziz? Pasti kenyataan ini mengejutkan banyak pihak, malah tidak kurangnya ada yang sukar mempercayai dan menganggap ia tidak ubah seperti kata-kata nakal sahaja.
Hakikatnya, pelakon jelita berusia 20 tahun itu bersahabat baik dengan lelaki yang digelar Justin Timberlake Indonesia, Ressa Herlambang yang terkenal menerusi lagu hitnya, The Real Me.
Tiada hembusan angin bertiup kencang, malah tiada pepohon bergoyang, tahu-tahu hubungan ‘intim’ antara Ressa bersama Raja Farah sudah terjalin sejak dua tahun lalu.
Tempoh dua tahun mereka berkawan, tiada sesiapa pun tahu keakraban Ressa sehinggalah wanita itu turut kelihatan dalam majlis beramah mesra di antara Ressa dan pihak media tempatan yang berlangsung di Planet Hollywood, Selasa lalu.
Sudah terang lagi bersuluh, apakah ini suatu petanda Ressa dan Raja Farah sedang dilanda cinta yang direntasi oleh dua garisan negara ini?
Peluang bertemu mata dengan Ressa tidak dilepaskan begitu sahaja. Bersikap terbuka dan sentiasa tersenyum, Ressa mengaku dia memang berkawan dengan Raja Farah sejak tahun 2006.
“Saya anggap Raja Farah sebagai teman rapat saya,” luah Ressa lalu menelanjangkan rahsia yang tersemat erat di dadanya selama ini.
Mengimbau kembali pertemuan dua sahabat akrab ini, Ressa dan Raja Farah mula berkenalan semasa mereka menjayakan sesi fotografi untuk sebuah majalah yang diadakan di Petaling Jaya, Selangor.
Dari situlah ikatan persahabatan dua insan ini mulai terpupuk dan mekar indah.
Dalam diam, rupa-rupanya Raja Farah sempat melawat ke sebuah laman web terkenal di internet semata-mata mahu mengetahui lebih lanjut tentang Ressa.
PERKENALAN Ressa dan Raja Farah bermula sejak mereka bersatu untuk sesi fotografi sebuah majalah tempatan.
Dan Ressa juga tidak terkecuali bagi melakukan penyelidikan tentang Raja Farah sebelum mereka boleh ‘disatukan’ dalam sesi fotografi itu.
Hurai Ressa lagi, memang ada individu yang paling rapat dan disayangi dalam hidup ini sekali gus dapat bertukar idea dan masalah antara satu sama lain.
“Raja Farah merupakan kawan terdekat di Malaysia yang begitu memahami tentang saya, malah dia juga merupakan seorang wanita yang boleh dikategori gadis berpendidikan.
“Kebiasaannya kami akan berborak dan bincangkan senario yang berlaku dalam industri seni di Malaysia dan Indonesia sambil duduk di kafe kopi.
“Atas faktor itu yang menjadikan saya dan Raja Farah serasi bersama, cuma jangan salah sangka dengan kemesraan kami berdua.
“Selain Raja Farah, saya juga mengenali beberapa rakan artis di Malaysia,” akui Ressa mohon dimengertikan agar hubungan yang terjalin itu tidak disalah anggap peminat.
Hanya mengagumi
Tidak henti-henti membutir bicara tentang kawan baiknya, Ressa menganggap Raja Farah sebagai pelakon yang hebat tatkala muncul di kaca TV mahupun layar lebar.
“Sebelum ini ada sekali saya pernah menonton lakonan Raja Farah. Selepas itu dia juga beberapa kali menunjukkan kepada saya drama dan filem yang dijayakan.
RAJA FARAH akui seronok berkawan dengan Ressa.
“Saya menganggap Raja Farah sebagai pelakon yang mempunyai keistimewaan tersendiri. Dia juga boleh ditafsirkan sebagai artis yang hebat.
“Dengan sikap yang sentiasa rendah diri, ramah dan tidak sombong membuatkan saya dan Raja Farah serasi sebagai teman,” ungkap anak kelahiran Jakarta, Indonesia ini.
Sementara itu, Raja Farah ketika dihubungi Kosmo! hanya tertawa tatkala diaju sejauh mana perhubungannya dengan Ressa.
“Kalau tak silap, saya mula kenal dengan dia dua tahun lalu. Saya akui bersahabat dengan Ressa, tetapi hubungan kami berdua hanyalah sebagai kawan saja.
“Ressa adalah salah seorang kawan artis yang saya ada. Dia dianggap sebagai individu yang seronok untuk berkawan dan merupakan lelaki yang baik,” katanya.
Sambung Farah, jika orang lain tanya tentang keistimewaan Ressa sebagai penyanyi, dia akan bercakap Ressa merupakan seorang pemuda yang berbakat.
“Saya juga berpendapat Ressa adalah Justin Timberlake Indonesia. Dia boleh menyanyi sambil menari dengan baik.
“Dia juga merupakan aktor terkenal di Indonesia. Saya amat mengagumi bakat yang dimiliki pada Ressa.
“Kalau dihurai sebagai seorang kawan, saya boleh katakan Ressa sangat periang dan boleh kongsi apa saja ilmu serta pengalaman yang dia miliki.
“Hubungan kami sekadar kawan. Kalau Ressa datang KL, dia akan beritahu saya. Saya mengaku, kami memang pernah keluar bersama, namun perjumpaan kami bukanlah berdua, sebaliknya saya ditemani ibu,” jelas Raja Farah berterus-terang.
Bantu ‘pasarkan’ artis Malaysia
Dek begitu mengagumi Raja Farah, Ressa sanggup menghulur bantuan untuk memasar bakat dan kebolehan yang dimiliki temannya itu ke Indonesia.
“Saya punya perancangan untuk memperkenal Raja Farah untuk berlakon dalam sinetron di negara saya. Belum menetapkan lagi waktu sesuai, namun saya sudah merencana perkara tersebut.
SEDIA membantu penyanyi Malaysia yang mahu mencipta nama di Indonesia.
“Selain Raja Farah, saya sudi untuk membuka peluang kepada artis Malaysia lain untuk mengembangkan bakat yang mereka ada.
“Saya ingin membuang persepsi negatif yang mengatakan karyawan seni di Indonesia mengamal sikap berat sebelah sekiranya ada artis Malaysia mahu membina nama di negara saya.
“Sebenarnya tiada istilah penggiat seni Indonesia yang menutup kemasukan orang Malaysia untuk bergelar pelakon ataupun penyanyi di sana.
“Kalau ada penyanyi Malaysia yang mahu menerbitkan album di Indonesia atau mendapatkan bantuan komposer kami, saya sedia membantu, malah menerima seadanya.
“Itu janji saya. Lagipun saya lihat banyak artis tempatan yang sudah berjaya membina kemasyhuran di Indonesia. Selain Datuk Siti Nurhaliza, saya perhatikan Anuar Zain, Dafi AF5 dan beberapa nama lagi sudah melakar nama di negara kami,” tutur Ressa yang berpayung dengan Ressa Herlambang Management.
Kedudukan bukan soal utama Kedudukan Ressa sebagai selebriti terkenal di Indonesia tidak harus dipertikai lebih-lebih lagi dia sudah mengecap deretan kejayaan.
Begitu pun, Ressa tidak memandang soal populariti sebagai penanda aras yang menentukan representasi dirinya dalam hierarki seni Indonesia.
“Saya tidak anggap kedudukan menjadi perkara penting. Saya ceburi bidang nyanyian kerana miliki minat mendalam terhadap bidang ini.
“Popular dicongak menerusi penilaian peminat yang selama ini menyokong perjalanan seni saya.
“Saya tidak tekankan aspek kedudukan di tangga seni Indonesia, cuma apa yang boleh saya kata, seluruh rakyat di negara saya mengenali dan tahu Ressa Herlambang,” jelas pemuja jalur muzik R&B ini.
Anak sulung daripada tiga bersaudara ini menjelaskan, tiada apa yang lebih membahagiakan apabila dapat melakukan apa yang dicintai dalam hidupnya.
“Setelah jadi artis dan apabila terjaga daripada tidur pada setiap pagi, ternyata saya cukup teruja untuk meneruskan hari.
“Tugas sebagai penyanyi dan menghiburkan peminat menjadi tanggungjawab yang hebat. Terima kasih kepada Tuhan yang memberi anugerah semulajadi ini buat saya.
“Saya begitu mencintai bidang muzik, saya berdiri di pentas menghiburkan khalayak bukan diminta pujian, cukup hanya melampiaskan bakat yang ada,” tingkah Ressa menoktahkan bicara.
Kosmo
Belum Tetap Tarikh - Sambutan Ulang Tahun Kedua Perkahwinan
Oleh FAIZAL SAHARUNI
MASA deras berlalu. Diam tak diam penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin hampir melangkaui waktu dua tahun melayari bahtera nan indah perkahwinan bersama suami, Datuk Seri Khalid Mohd. Jiwa atau Datuk K.
Kalau ulang tahun pertama perkahwinan pasangan merpati dua sejoli ini diadakan penuh meriah di Hotel One World, Petaling Jaya setahun lalu, pastinya ada peminat ingin mengetahui sambutan kedua mereka.
Siti mengakui belum membuat sebarang perancangan untuk meraikan ulang tahun kedua perkahwinannya dengan Datuk K yang akan muncul pada 21 Ogos ini.
“Siti masih belum menetapkan tentang sambutan itu, tetapi Insya-Allah majlis ulang tahun itu tetap akan diadakan tidak kiralah sama ada secara kecil-kecilan atau besar-besaran.
“Sambutan ulang tahun memang tengah difikirkan, cuma Siti dan suami belum duduk bersama untuk berbincang lebih lanjut tentang perkara ini,” luah Siti pantas tersenyum manis memperlihat dirinya sedang bahagia serta dilanda asmara dengan Datuk K.

KAKAK Siti, Saida turut muncul dalam program Teratak Siti Nurhaliza
Menyambung bicara, Siti selalu berdoa agar hubungan yang terjalin bersama si suami yang senantiasa menyokong karier seninya itu direstui Tuhan.
“Selalu berdoa kepada Allah supaya Siti dan suami diberikan kesihatan yang baik serta kebahagiaan berpanjangan apatah lagi kami sering menempuhi banyak dugaan dalam kehidupan,” jelasnya lagi.
Kekok nyanyi lagu tradisonal
Setelah sekian lama suara merdunya tidak melantunkan lagu berkonsepkan tradisional, wanita jelita berusia 29 tahun ini dengan rendah diri mengaku kekok tatkala mahu melagukan karya dengan genre tersebut.
Siapa sahaja yang tidak mengetahui kewibawaan Siti. Dia boleh membawa apa jua lagu dengan baik tanpa ada tolok bandingnya.
Namun, itulah sikap sebenar yang sukar terhakis di dalam diri anak jati Kuala Lipis, Pahang ini semasa berbicara. Santun kata dan masih berpijak di bumi nyata menjadikan Siti terus punya profil dan kelas tersendiri di mata umum.

SITI sudah lama tidak mendendangkan lagu-lagu tradisional.
Siti menjayakan Teratak Siti Nurhaliza, sebuah program muzikal selama satu jam untuk disiar semasa Hari Raya ini sambil berdendang dengan lagu corak tradisional bersama adik-beradiknya, Saida dan Saerah.
Siti memberitahu, dia berasa kekok semasa menjalani latihan Teratak Siti Nurhaliza disebabkan sudah lama dia tidak menyanyikan lagu-lagu berunsur tradisional.
“Siti rasa kekok sikit semasa latihan sebab sudah lama tidak nyanyi lagu tradisional. Perkara ini tidaklah teruk sangat, Siti cuma nak biasakan lentur dan lenggok suara saja.
“Alhamdulillah, suara Siti agak biasa dengan lagu tradisonal, jadi masalah itu tidaklah terlampau merisaukan saya,” ungkap Siti yang ayu mengenakan busana rekaan Rizman Ruzaimi pada majlis itu.

PENUH emosi saat berduet bersama adiknya, Saerah.
Ayie tolak tawaran
Menyusun bait katanya satu persatu, Siti menjelaskan Teratak Siti Nurhaliza pada awalnya mahu mengenengahkan empat beradik iaitu Siti, Saida, Saerah dan Ayie di pentas sama.
“Ayie bagaimanapun menolak dengan baik tawaran itu. Dia kata tak apa dan tidak mahu terlibat dengan program berkenaan.
“Lantaran itu, Siti teruskan dengan dua beradik lain untuk jayakan program ini dengan menampilkan pelbagai kelainan buat tatapan audiens.
“Siti harap sangat rancangan Hari Raya dengan nyanyi lagu tradisional ini dapat membiasakan diri untuk masuk studio rakaman bagi album kontemporari dan fusion Siti kelak.
“Tak sabar rasanya Siti nak buat rakaman album baru. Kalau boleh hendak rakam awal sebelum puasa ini, tetapi Siti kena tengok dulu jadual dan tarikh kelapangan Siti.
“Siti memang harap ia dapat dilaksanakan secepat mungkin, kalau boleh album ini dapat dipasarkan sebelum penghujung tahun ini,” jelasnya.
Dalam pada itu, Siti memberitahu niatnya untuk kembali ke Tanah Suci bagi menunaikan ibadah umrah tidak lama lagi.
“Kalau ikut perancangan, Siti akan tunaikan umrah bersama suami dan ibu mertua pada awal bulan Ramadan ini.
“Siti akan melakukan ibadah di sana selama seminggu,” ungkapnya lagi.
Kosmo
Artis Malaysia Dipinggirkan? - MTV Asia Awards 2008 Di Genting Highlands
Oleh FERIDE HIKMET ATAK feride.hikmet@kosmo.com.my

LEONA LEWIS menyuntik aura kesegaran pada MTV Asia Awards 2008.
TAHUN ini, buat pertama kalinya majlis anugerah hiburan yang dikatakan bertaraf antarabangsa, MTV Asia Awards berlangsung di Malaysia.
Menariknya, antara artis yang hadir baik sebagai calon, mahupun membuat persembahan adalah nama-nama terkenal dunia hiburan global seperti The Pussycat Dolls, Leona Lewis dan Jared Leto.
Justeru, apa pandangan umum apabila dapat menyaksikan MTV Asia Awards 2008 berlangsung di negara ini?
Dari pandangan mata kasar, pasti ramai yang berbangga kerana dalam banyak-banyak negara Asia, Malaysia dipilih sebagai lokasi untuk majlis penuh glamor itu diadakan dan sekali gus ia boleh dijadikan platform untuk mengiktiraf anugerah muzik Malaysia di peta dunia.
MEMUKAU. The Pussycat Dolls mengotakan janji mereka untuk tidak mencetuskan kontroversi menerusi persembahan mereka.
Dengan penganjuran anugerah ini juga ia kononnya membawa satu kejayaan yang cukup besar buat Malaysia kerana mampu mencatat sejarah baru dengan buat pertama kalinya menganjurkan acara yang membawakan satu ‘jenama’ besar dalam dunia muzik.
Namun, ramai yang tidak sedar, dari segi apa yang tersirat, mungkinkah negara kita menjadi pilihan di saat-saat akhir?
Persoalannya di manakah gerangan artis-artis terkenal Malaysia pada MTV Asia Awards 2008 ini?
Pada kebiasaannya, jika sesebuah penganjuran majlis anugerah diadakan di sesebuah negara, pastinya artis-artis tempatan menjadi tumpuan utama baik dari segi persembahan di atas pentas mahupun penyampai anugerah.
YOVIE & NUNO menang berkat album terbaru mereka yang berjaya menarik perhatian khalayak.
Sebaliknya, apa yang berlaku pada MTV Asia Awards 2008, artis-artis Malaysia yang dijemput penganjur seperti Hujan, Faizal Tahir, Hannah Tan, Jaclyn Victor dan lain-lain ‘dicampakkan’ ke luar daripada lokasi majlis anugerah tersebut iaitu Arena Of Stars di Genting Highland untuk mengadakan persembahan hanya di luar majlis anugerah tersebut.
Hanya Pop Shuvit ‘terselamat’, dan dengan membawakan lagu Mara Bahaya, persembahan mereka di atas pentas MTV Asia 2008 begitu hebat dan sekali gus mampu melontarkan persepsi bahawa artis-artis tempatan juga mampu membuat persembahan bertaraf antarabangsa.
Apa pun, pada keseluruhannya, acara ini tidaklah sehebat seperti yang dibayangkan sebelum ini. Cuma perjalanan anugerah ini berjalan dengan lancar tanpa sebarang gangguan.
STEFANIE SUN (kanan) dan Show Lo masing-masing menjadi pilihan Singapura dan Taiwan.
Leona permata yang bersinar Walaupun begitu, Leona Lewis bagaikan menjadi permata dalam majlis anugerah kali ini. Hampir semua mata tertumpu pada gadis tinggi lampai ini pada acara karpet merah.
Lebih-lebih lagi saat dia membuat persembahan di pentas anugerah, dengan menyanyikan lagu hit, Bleeding Love dan Better In Time, kemunculan Leona telah membawa aura kesegaran pada pertengahan majlis itu.
Kemudian, sejurus dia diumumkan sebagai pemenang Anugerah Artis Harapan, dirinya semakin menjadi titik fokus.
Begitu juga dengan The Pussycat Dolls, penonton yang hadir menjadi histeria tatkala mereka muncul membuat persembahan pembukaan majlis anugerah ini dengan mengalunkan lagu Buttons dan Stop And Stare.
LEO KU artis pilihan Hong Kong.
Persembahan mereka bijak kerana tidak tampil terlalu seksi kerana menurut mereka, apa yang ingin dipersembahkan adalah lagu-lagu mereka dan bukan keseksian diri mereka.
Pussycat Dolls ternyata mengotakan janji mereka untuk menghormati adat dan budaya negara ini.
Nicholas tewaskan Siti Sementara selain itu, bintang realiti Astro Talent Quest 2002, Nicholas Teo berjaya menewaskan penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza dan dua calon lain, Faizal Tahir dan Pop Shuvit bagi Anugerah Artis Pilihan Malaysia pada malam itu.
Penyanyi yang menempa nama di Taiwan ini mempunyai peminat yang begitu ramai di sana.
“Malaysia dan Taiwan adalah sama sahaja. Saya harap dengan kejayaan ini, kerjaya saya akan berkembang dengan lebih mudah lagi.
KEMUNCULAN sekali lagi The Click Five di Genting Highlands.
“Akhirnya, saya dapat juga anugerah idaman ini. Tentang saya dapat mengalahkan Datuk Siti Nurhaliza, minta maaf Datuk!. Saya merupakan peminat setia anda!,” tuturnya selepas menerima anugerah Artis Pilihan Malaysia.
Pemenang anugerah Artis Pilihan Indonesia, Yovie & Nuno pula mengulas, “Kami gembira kerana album terbaru kami lebih bagus berbanding album pertama dan kedua, justeru sejak itu kami raih banyak peminat. Inilah faktor kejayaan kami ini.”
Dalam pada itu, Leo Ku yang meraih anugerah Artis Pilihan Taiwan menegaskan inilah pencapaian pertama kali dirinya meraih anugerah pada MTV Asia Awards kali ini.
AKSI girang Jared Leto (kiri) dan artis terkenal Hong Kong, Karen Mok di pentas.
“Kemenangan ini bakal menaikkan lagi karier saya. Berita gembira ialah pada akhir tahun ini, saya akan membuat konsert di Malaysia,” ujarnya.
Selain Leona Lewis, The Pussycat Dolls dan Pop Shuvit, pentas MTV Asia Awards 2008 turut dihangatkan dengan persembahan The Click Five, Panic At The Disco, Stefanie Sun yang berduet dengan band Electrico, One Republic dan ramai lagi.
Kosmo