Archive for the ‘Harian Metro’ Category
RTM Semarak Merdeka
MENYEMATKAN semangat kemerdekaan ke-51 yang akan disambut pada 31 Ogos ini ke dalam jiwa setiap masyarakat negara ini, Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan menyiarkan secara langsung rancangan Ambang Merdeka 2008 dari Dataran Merdeka dan Bukit Bintang menerusi RTM1 dan Kuala Lumpur City Centre (KLCC) di RTM2.
Siaran di RTM1 bermula 30 Ogos ini, jam 10.30 malam dan berakhir jam 12.30 tengah malam. Manakala siaran menerusi RTM2 juga dipancarkan pada tarikh sama, mulai jam 9.15 malam hingga 12.30 tengah malam.
Pengawal Hal Ehwal Awam RTM, Roziana Am, berkata, penganjur program itu, Kementerian Perpaduan, Kebudayaan dan Kesenian serta Petronas menjanjikan pelbagai pengisian menarik untuk menghiburkan penonton.
Katanya, selain memenuhi matlamat utamanya untuk menanamkan semangat patriotik dan cintakan negara di kalangan segenap lapisan masyarakat.
“Paling menarik tumpuan pastinya kemunculan artis terkenal tanah air menghiburkan penonton di lokasi terpilih dan kepada mereka yang menyaksikan menerusi siaran langsung di televisyen.
“Persembahan diadakan berterusan merangkumi empat segmen, Meniti Kemerdekaan, Menjelang Kemerdekaan, Detik Kemerdekaan dan Finale yang diadakan serentak di Dataran Merdeka, Bukit Bintang dan KLCC,” katanya.
Tambahnya, tirai segmen pertama, Meniti Kemerdekaan bermula di Dataran Merdeka dengan tayangan video kemerdekaan, persembahan pasukan sorak merdeka, zapin merdeka, persembahan tarian singa dan naga, Dance Of Borneo dan banyak lagi persembahan budaya yang menepati ciri pelbagai kaum di negara ini.
Acara di Bukit Bintang pula dimulakan dengan selawat dan lagu patriotik disampaikan kumpulan Raihan, Jefrydin, Unimep, Winnie Kok, PCC (tarian singa) dan Estranged.
Segmen kedua Menjelang Kemerdekaan di Dataran Merdeka menampilkan kumpulan Rabbani, Ahmad Jais, Swatari, Stacey AF6 dan Meet Uncle Hussain menguasai pentas dengan lagu Bahtera Merdeka, Tari Dikir Merdeka, Kita Anak Merdeka serta Tarian Kipas Cina oleh kumpulan Dua Space.
Kemeriahan dan debaran diteruskan dengan segmen Detik Kemerdekaan dengan persembahan Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, Mawi, Karen Kong, Andre Goh, Manivanam, Tofa dan Helmy The Gimmick.
Harian Metro
Istimewa Daripada Siti
Oleh Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my
SAMBUTAN peminat setiap kali Datuk Siti Nurhaliza membuat persembahan tidak pernah mengecewakan. Ke mana saja penyanyi popular ini muncul pasti ada peminat setia menanti. Siti juga membuktikan kehebatan vokalnya sukar ditandingi penyanyi baru lain. Ternyata pengalaman selama 12 tahun berkecimpung dalam bidang hiburan mematangkan Siti untuk membuat persembahan dengan lebih baik.
Menerusi program Eksklusif…Siti Nurhaliza Bersama Peminat di Auditorium Perdana, Angkasapuri Kuala Lumpur baru-baru ini, Siti memastikan tanggungjawab sebagai penghibur terlaksana.
Untuk itu Siti mengambil peluang menghiburkan peminat istimewa terdiri daripada penghuni rumah kebajikan, anak yatim dan orang kurang upaya (OKU) dari Kompleks Penyayang BAKTI, Persatuan Sokongan Ibubapa dan Pekerja PDK Selayang, Rumah Juara Anak Yatim Petaling Jaya, Persatuan Dyslexia Malaysia, Persatuan Rumah Kanak-Kanak Ini Disayangi dan Taman Sinar Harapan Cheras.
Tidak terkecuali persembahan sempena Aidilfitri itu juga didedikasikan kepada kakitangan pasukan beruniform yang banyak berkorban menjaga keselamatan negara.
Antara pasukan beruniform yang dijemput memeriahkan program itu adalah Polis Diraja Malaysia merangkumi anggota polis trafik dan Polis Simpanan Persekutuan (FRU), Jabatan Bomba dan Penyelamat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan pelatih tentera darat, laut dan udara dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.
Biarpun konsep rakaman itu diadakan sempena Aidilfitri, bagaimanapun Siti menyatakan program ini lebih pada persembahan istimewa yang membawa kelainan bersama peminat.
Bagi Siti, kehadiran peminat istimewa kali ini cukup bermakna dalam menyokong kerjaya seninya.
“Program ini membawa kelainan dalam persembahan yang pernah saya lakukan. Saya gembira kerana berpeluang menjayakan program ini di hadapan peminat setia yang hadir menyaksikan persembahan ini secara langsung.
“Apa yang menjadikan program ini tambah menarik sebenarnya adalah kehadiran peminat dari rumah kebajikan, golongan OKU dan anggota pasukan beruniform yang turut berhibur bersama saya. Mereka ini jarang mendapat peluang sebegini dan saya sendiri menunggu peluang ini untuk bersama mereka.
“Biarpun program itu berkonsepkan Aidilfitri tetapi saya mahu peminat turut berhibur dengan persembahan lagu popular saya sebelum ini.
“Saya percaya mereka juga mahu menyaksikan saya menyanyikan lagu saya sendiri dan persembahan ini tentunya menjadi kenangan manis antara saya dan peminat,” katanya.
Dalam rakaman berkenaan yang mengambil masa dua jam menyaksikan Siti menyanyikan lagu popular seperti Ku Mahu, Kau Ku Sayang, Wanita, Penawar Rindu, Bukan Cinta Biasa dan Biarlah Rahsia. Memberi kelainan dalam persembahan, Siti juga menyampaikan medley lagu Si Baju Hijau dan Pahlawanku yang ditujukan khas buat kakitangan beruniform yang hadir pada malam itu.
Berkonsepkan santai bersama peminat, Siti tidak hanya bersandarkan persembahan nyanyian semata-mata dalam menarik perhatian peminat sebaliknya meluangkan masa berkomunikasi dengan peminat. Sambil bertanya khabar pada peminat OKU dan warga emas, Siti kemudian mengajak peminat untuk sama-sama menyanyikan lagu raya, Sesuci Lebaran.
Ternyata kemeriahan persembahan Siti bersama peminat menerusi program terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) ini begitu dirasai dan kelainan dalam program ini berjaya mengubat hati peminat istimewa yang hadir.
Menurut Penerbit program itu, Azman Hashim, walaupun idea asal program ini hadir dari RTM tetapi atas perbincangan bersama Siti, program ini dijangka menjadi antara tarikan penonton di RTM sempena Aidilfitri nanti.
“RTM sendiri mencadangkan konsep eksklusif program ini untuk mengajak peminat istimewa seperti golongan OKU, warga emas dan anggota pasukan beruniform dan Siti berbesar hati untuk menjayakan program ini. Perkataan eksklusif itu sebenarnya merujuk pada Siti yang diminati ramai tidak kira bangsa, peringkat umur mahupun latar belakang pekerjaan.
“Sama ada kanak-kanak atau dewasa hingga Cina mahupun India, ramai yang mengenali Siti sebagai penyanyi popular. Melihat sambutan peminat terhadap Siti, RTM merasakan persembahan Siti suatu yang eksklusif apatah lagi mengundang peminat istimewa.
“Pembabitan Siti bersama peminat istimewa dalam program ini adalah pertama kali dilakukan untuk program raya yang pernah diterbitkan RTM. Menariknya, Siti berpeluang menghiburkan hampir 600 peminat yang datang menjayakan program kali ini.
“Peminat istimewa yang hadir pastinya menantikan peluang ini untuk berhibur bersama Siti. Malah persembahan Siti ini juga menjadi penghargaan buat peminat.
“Sebelum ini, Siti hanya muncul menerusi program Konsert Fenomena dan program terbaru Siti ini menjadi antara sepuluh program muzikal terbaik sempena Aidilfitri nanti. Program ini yang bersiaran selama sejam dijangka tayangan pada Aidilfitri nanti menerusi RTM2.
“Dalam program Konsert Fenomena ini pula, RTM membawakan persembahan Ziana Zain bersama adiknya, Anuar,” katanya.
Sementara itu, Siti juga menyatakan sambutan puasa pada tahun ini tidak banyak beza berbanding tahun sebelumnya. Meskipun menjalankan tanggungjawab sebagai isteri pada Datuk Khalid Mohd Jiwa untuk tahun kedua usia perkahwinan mereka, Siti mahu berehat seketika daripada persembahan nyanyian dan hanya memenuhi jemputan majlis berbuka puasa.
Katanya, pengalaman menjadi isteri selama dua tahun ini masih dianggap proses pembelajaran dalam memahami tanggungjawab menguruskan rumah tangga dengan lebih teratur.
Percaya kebahagiaan hubungan suami isteri perlu mempunyai sikap tolak ansur, Siti menyatakan urusan rumah tangganya kini berjalan dengan baik.
Di samping itu, Siti juga mempunyai perancangan besar untuk mengadakan konsert amal menjelang hujung tahun ini. Mahu membantu golongan tidak bernasib baik seperti anak yatim dan OKU, projek ini yang diusahakan di bawah Yayasan Nurjiwa kini berusaha mencari penaja.
Harian Metro
Jarum Emas: Semangat Patriotik Makin Luntur
Oleh Adam Salleh
KALAU tidak kerana Olimpik Beijing 2008, malah Lee Chong Wei pula dapat tewaskan Lee Hyun-il, tidak nampak bendera Malaysia dikibar-kibarkan lama di televisyen.
Setidak-tidaknya penyokong negara yang menyaksikan pertarungan Chong Wei dengan pemain badminton Korea Selatan itu ada semangat patriotik.
Sukan, tidak kira apa acaranya, adalah medan terbaik mengikat rakyat, sama ada Melayu, Cina, India, Sikh, Iban, Dayak, Kadazan serta masyarakat Asli untuk berdebar mahupun ceria atas nama negara.
Cuma 14 hari lagi kita akan meraikan Hari Kemerdekaan ke-51. Agak mendukacitakan, lebih setengah abad kita bebas daripada belenggu penjajah, kesedaran untuk rasa bangga pada tanah air sendiri belum cukup solid. Stesen televisyen selain artis dan selebriti seolah-olah terlepas pandang untuk menyemarakkan semangat warga tempatan bagi memeriahkan kempen kibarkan Jalur Gemilang.
Acapkali juga saya perhatikan di televisyen kalau-kalau ada visual logo bendera negara bagi mengingatkan rakyat tempatan betapa 31 Ogos menjelang tiba. Di radio umpamanya lagu patriotik seperti tidak kedengaran langsung. Apa salah sejak 1 Ogos diputarkan lagu patriotik.
Kebetulan ketika di Kuching tempoh hari, saya menetap di Merdeka Palace. Selama tiga hari di sana, sesuatu yang menarik apabila pihak hotel berkenaan menyiarkan rangkaian lagu patriotik, umpamanya Pahlawanku (dinyanyi semula Datuk Siti Nurhaliza), Abadi & Tanggal 31 (Sudirman) dan pelbagai lagi.
Alangkah baik jika selepas berita radio atau TV, lagu membangkitkan jiwa untuk kasih pada tanah air begini disiarkan. Kalaupun lagu begini tiada nilai komersial, tetapi berpada-padalah usah baru sehari berpuasa kita sudah kemaruk memutarkan lagu Selamat Hari Raya.
ADAM: Berjiwa patriotik.
Harian Metro