Archive for the ‘Emedia’ Category
Pakej artis jadi rebutan syarikat
Oleh Fairuz Zaidan
`ASYIK-ASYIK muka dia, asyik-asyik muka dia, macam dah tak ada orang lain’. Ini mungkin kata-kata yang pernah terkeluar daripada mulut anda atau setidak-tidaknya terdetik di hati kala melihat wajah serupa menghidupkan drama atau filem, memeriahkan majlis, menghiasi majalah, `memenuhi’ skrin televisyen atau papan iklan..melariskan produk.
Siti Siti Siti!; Mawi Mawi Mawi!; Fasha Fasha Fasha!. Ya tidak? Suka atau tidak, ini tuah badan. Rezeki namanya kerana populariti yang dikecapi sebagai selebriti.
Selain bakat masing-masing dalam industri hiburan, baik sebagai penyanyi atau pelakon, populariti membuatkan mereka menjadi rebutan banyak pihak untuk tujuan memajukan perniagaan.
Ini diakui Penolong Pengurus Perhubungan Awam, Jabatan Produk Pengguna L’Oreal Paris Malaysia, Monita Goh. Lihat saja wajah siapa yang `mengiringi’ produk jenama syarikat ini, yang merangkumi L’Oreal Paris dan Maybelline New York.
Datuk Siti Nurhaliza dan Fasha Sanda sebagai jurucakap Maybelline serta Camelia dan terkini, Maya Karin sebagai jurucakap L’Oreal Paris. Harus diakui, semua nama ini, gah di arena dunia hiburan dan populariti mereka sesuatu yang sukar dinafikan.
Kata Monita, pelantikan selebriti atau model sebagai jurucakap kosmetik sangat berkesan dalam meningkatkan jualan produk.
Lebih memberangsangkan, katanya, sambutan daripada pelanggan berikutan pelantikan jurucakap adalah serta-merta.
“Setiap orang tentu ingin kelihatan hebat dan pastinya inginkan sesuatu yang lebih baik. Menerusi jurucakap yang dilantik, yang sememangnya cantik, dapat mendekatkan lagi sesuatu produk dengan kecantikan sejati.
“Seperti pelantikan Fasha sebagai jurucakap terbaru Maybelline New York. Ia bertepatan dengan dengan kriteria Maybelline New York yang seiring memastikan wanita di Malaysia sentiasa kelihatan cantik dan hebat,†katanya.
Pemilihan Fasha, tambahnya, dibuat kerana wajahnya menepati pasaran terbuka di Malaysia.
“Hampir tiga tahun kami mencari selepas Siti dan barulah sekarang kami menemuinya. Pemilihan jurucakap umpama ingin mendirikan rumah tangga. Untuk memilih yang serasi dan tepat, semestinya mengambil masa.
“Kami berpendapat Fasha paling sesuai kerana kerjayanya kini sedang berkembang baik sesuai dengan jenama yang kami pasarkan sebagai produk kecantikan nombor satu di negara ini juga dunia.
“Selain cantik dan memiliki sifat lemah-lembut, Fasha juga sesuai mewakili wanita muda tempatan yang bebas, berkeyakinan tinggi, aktif dan pada waktu sama begitu berdikari dalam menentukan hala tuju kerjaya seninya,†katanya.
Begitu juga pemilihan Maya Karin sebagai jurucakap L’Oreal Paris. Bukan saja kerana kecantikan semula jadi beliau yang membuatkan ramai `tergoda’, kehebatannya di layar perak serta mempunyai kelompok peminat yang besar menjadi faktor dia dipilih.
Pusat Pengajian Pengurusan Universiti Sains Malaysia (USM) juga pernah mengadakan satu forum mengenai tahap populariti dan penjenamaan nama seseorang yang dikenali, kira-kira dua tahun lalu.
Forum bertajuk Peletakan dan Penjenamaan Strategik Seorang
Diva: Kajian Kes Siti Nurhaliza itu antara lain memfokus kepada isu pengekalan populariti daripada perspektif perniagaan. Forum itu juga membincangkan mengenai Siti Nurhaliza sebagai kajian kes dalam merujuk kepada peletakan strategik dan apa yang dilakukannya sejak bergelar penyanyi.
Seorang panel, Profesor Madya Dr Fauziah Md Taib berkata, Siti yang melakar nama dalam Malaysia Book Of Records sebagai penyanyi paling banyak menerima anugerah mempunyai rangkaian peminat pelbagai peringkat usia di rantau ini.
Fauziah berkata, lebih penting, Siti berjaya menjadikan dirinya sebagai `role model’ (contoh) gadis Melayu yang bersih daripada kontroversi, baik, lembut dan merendah diri.
“Siti juga berjaya daripada segi penjualan album. Tiga album pertamanya mencatat jualan 250,000 unit. Pada 2001, Siti dilaporkan menerima RM40,000 untuk satu jam konsert lengkap pakej `live band’ dan penari,†katanya.
Kajian yang dijalankan sekumpulan pakar itu juga bertujuan untuk mengenal pasti faktor kejayaan dan membincangkan fungsi `pusingan hidup produk’ dan jenama yang membolehkan pengekalan dan pengembangan populariti atau kejayaan seseorang penyanyi.
Ia secara tidak langsung menjadi kayu pengukur buat artis dalam mengekalkan puncak populariti mereka, sekali gus menjadi medan pilihan untuk `memasarkan’ personaliti dan populariti mereka.
Pengiklanan, jurucakap atau duta produk mungkin satu daripada medan pilihan yang dapat memasarkan personaliti dan populariti mereka. Apapun, sering kali bukan mereka yang mencari `medan’ ini sebaliknya mereka yang dicari untuk memasarkan produk dan memberi pulangan lumayan buat syarikat yang diwakili.
Kalau sudah rezeki…
Mawi pertahan gelaran Bintang Paling Popular
Oleh Akmal Abdullah

GENTING HIGHLANDS: Penyanyi popular, Asmawi Ani atau Mawi dinobatkan oleh pembaca akhbar ini sebagai Bintang Paling Popular pada majlis Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2006, yang berlangsung di sini, malam tadi.
KEKAL GELARAN: Mawi
bersama anugerah yang
dimenanginya, malam tadi.
Mawi, 25, yang meraih 261,555 undi, memenangi gelaran itu untuk tahun kedua berturut-turut selepas mengetepikan saingan kelompok empat lagi artis yang mendapat undi tertinggi iaitu Fasha Sandha, Datuk Siti Nurhaliza, Saiful Apek dan Rosyam Nor.
Berikutan kemenangan itu, Mawi meraih hadiah barang kemas tajaan Habib Jewels Sdn Bhd bernilai RM200,000 dan kenderaan Naza Sorento 2.5 (A) tajaan Naza Kia Sdn Bhd berharga RM143,000.
Mawi turut dipilih memenangi kategori Penyanyi Lelaki Popular dan berkongsi trofi Artis Berkumpulan/Duo Popular bersama penyanyi Jamal Abdillah.
Trofi Bintang Paling Popular 2006 disampaikan Ketua Pengarang Kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Datuk Hishamuddin Aun pada majlis kemuncak ABPBH 2006 di Arena of Stars, di sini.
Hadir sama, Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd (BHSB), Datuk Manja Ismail.
Anugerah Khas Bintang Popular diberikan kepada pengarah veteran, Datuk Jamil Sulong sementara Anugerah Biduan Veteran dihadiahkan kepada penyanyi 60-an, Jefrydin manakala Anugerah Seniwati Veteran disampaikan kepada Datin Umi Kalthum.
Majlis anugerah gilang-gemilang itu turut disiarkan secara langsung menerusi TV3 dan radio Era. Lebih 5,000 penonton hadir mengikuti acara berkenaan yang berlangsung selama dua setengah jam di arena itu.
Sementara itu, Fasha Sandha dan Saiful Apek membuat kejutan apabila masing-masing terpilih menang dua kategori yang dipertandingkan dalam ABPBH 2006.
Fasha meraih gelaran Pelakon Filem Wanita Popular selepas mengetepikan saingan Erra Fazira dan Nasha Aziz yang menjadi pencabar
terdekatnya, serta kategori Pelakon TV Wanita Popular dengan mengenepikan Eja dan Rita Rudaini .
Saiful yang mempertahankan kategori Artis Komedi Lelaki Popular, merampas gelaran Pelakon Filem Lelaki Popular yang sebelum ini kerap dimenangi Rosyam.
Bagaimanapun, Rosyam berjaya mempertahankan kemenangannya dalam kategori Pelakon TV Lelaki Popular.
Siti Nurhaliza pula terus mencatat kejayaan membanggakan apabila memenangi kategori Penyanyi Wanita Popular buat kali ke-10 sekali gus mempertahankan gelarannya sejak kali pertama mengunggulinya pada ABPBH 1997.
Kumpulan Rabbani turut mempertahankan reputasinya apabila dipilih meraih kemenangan dalam kategori Penyanyi Nasyid Popular, manakala Sheila Rusly sekali lagi membawa pulang gelaran Artis Komedi Wanita Popular.
Bagi kategori Artis Baru Lelaki Popular dan Artis Baru Wanita Popular masing-masing dimenangi bakat baru, Faizal AF4 dan Farahwahida.
Pemenang bagi kategori Pengacara TV Lelaki Popular dan Pengacara TV Wanita Popular disandang bintang yang sama seperti beberapa tahun sebelumnya, iaitu Aznil Nawawi dan Fara Fauzana.
Halim Othman dari stesen Sinar FM dan Linda Onn dari radio Era turut berjaya mempertahankan kemenangan masing-masing bagi kategori Penyampai Radio Lelaki Popular serta Penyampai Radio Wanita Popular.
ABPBH 2006 ialah edisi ke-20 penganjurannya oleh Berita Harian, iaitu acara yang menggabungkan penganugerahan berdasarkan undian peminat untuk artis dan selebriti yang terbabit dalam bidang perfileman, nyanyian dan penyiaran.
Artis meriahkan majlis Berita Harian, Metro
Oleh Zubir Mohd Yunus
Antara yang hadir menceriakan makan malam itu ialah Raja Azura, Siti Nurhaliza, Ezlynn, Farawahida dan Nurul
DEMI menghargai sumbangan media terhadap perjalanan karier seninya selama ini, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin sedia menangguhkan penerbangannya keluar negara semata-mata bagi menghiburkan lebih 300 warga kerja Berita Harian Sdn Bhd (BHSB) pada majlis jamuan Makan Malam Tahunan Berita Harian / Harian Metro 2006 di Hotel Palace of The Golden Horses, Seri Kembangan, Selangor, pada 25 Disember lalu.
EZLYNN berduet dengan Fara.
Siti yang hadir bersama suaminya, Datuk Khalid Mohamad Jiwa diundang sebagai tetamu VIP pada malam itu. Mereka ditemani Ketua Pengarang Kumpulan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), Datuk Hishamuddin Aun dan isteri, Datin Noorlinda Abdul Talib; Pengarang Kumpulan BHSB, Datuk Manja Ismail dan isteri, Datin Noorzita Abdul Samad serta Pengarang Eksekutif (Berita) BHSB, Mahfar Ali.
Majlis gilang-gemilang dan penuh warna-warni bertemakan era 70-an atau retro itu berlangsung dalam suasana meriah dengan kehadiran kakitangan termasuk pengurusan kanan bersama pasangan masing-masing yang tampil dengan pelbagai gaya dan fesyen menarik bersesuaian dengan tema.
Kehadiran Siti di pentas sememangnya dinantikan penonton sejak awal apabila mereka berasak-asak di belakang meja utama untuk merakamkan wajah penyanyi nombor satu itu dari jarak dekat.
Buat pertama kalinya Siti mendendangkan lagu Bila Ku Rindu Ku Sebut Namamu nyanyian asal Siti Fairuz membuatkan penonton terpaku mendengar kelunakan suaranya biarpun Siti tidak pernah berlatih menyanyikan lagu berkenaan untuk mana-mana majlis seumpamanya.
Siti juga tidak lupa untuk mengundang Manja berduet dengannya menerusi lagu Pandang Pandang Jeling Jeling. Siti tidak berhenti setakat itu saja apabila dia sekali lagi menjemput Hishammuddin menerusi lagu Endless Love.
Terdahulu, Ezlynn membuka tirai persembahan mendendangkan lagu hitnya, Hi Hi Bye Bye. Dia juga tidak mahu melepaskan peluang untuk berduet dengan Farawahida iaitu finalis kategori Artis Baru Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2006 menerusi lagu Cinta yang dipopularkan Kris Dayanti dan Melly Goeslaw.
Mengambil tempat selepas itu ialah Farawahida. Seperti yang dijangka, dia mendendangkan lagu yang melonjakkan namanya, Tanpamu. Dia juga turut mengundang Ezlynn berduet dengannya menerusi Pudar. Sebelum mengundurkan diri, Farawahida mengundang Manja berduet dengannya menerusi lagu Hindustan, Kushiyan Aur Gham.
Bagi memeriahkan acara, pertandingan karaoke 70-an dianjurkan dan ia dimenangi Pengarang Bintang Popular, Roslen Fadzil dengan lagu Hari Ini Dan Semalam, diikuti pereka grafik, Mohd Razif Mohd Rosdi (Wajah Kesayangan Hamba) dan ketiga, wartawan hiburan Nurhadiani Baharum (Semakin Hari Semakin Sayang).
RAJA AZURA mengusik
peserta karaoke, Khairul.
Majlis malam itu lebih hidup dengan celoteh Raja Azura sebagai pengacara solo. Penataan bunyi pula mendapat tajaan KRU Berhad yang menjadikan sistem bunyi di dalam dewan itu begitu menggegar.
Pengarang Projek/ Keluaran Khas Harian Metro, Zubairi Zabidin dan Penolong Penyunting Metro Ahad, Md Noh Senan, turut menerima cenderahati khas berikutan persaraan mereka, baru-baru ini.
Dalam pada itu, pihak penganjur menyediakan tabung khas derma bagi membantu mengurangkan penderitaan Ketua Unit Khas BHSB, Karim Sulaiman yang kini menghidap penyakit kulit yang kronik.

