Archive for the ‘Cyberita’ Category

Siti Nafi ‘Buang Lemak’


SEKEJAP ‘kembang’, sekejap ‘kuncup’.

Apabila dirinya mengembang, ia dikatakan mungkin ekoran pembawaan budak. Hakikatnya, tidak ada budak yang dibawa atau cakap ringkasnya, dirinya tidak hamil.

Jadi apabila penampilan jelitawan dari seberang, Siti Nurhaliza, tiba-tiba ‘menguncup’ atau ramping mendadak baru-baru ini, timbul pula desas-desus lain.

Siti, yang muncul dalam Festival Filem Antarabangsa Kuala Lumpur 2008 baru-baru ini, dikatakan berjaya mengembalikan susuk tubuh asalnya ekoran rawatan pembedahan buang lemak!

‘Memang Siti ada terbaca gosip artis buang lemak. Begitu juga dengan khabar angin kononnya artis sedut lemak di Klang… Siti sumpah, Siti tak pernah buat benda tu (buang lemak).

‘Orang tak tahu betapa susahnya Siti nak dapatkan balik badan kurus ni. Sejak Ramadan lalu, Siti tak makan nasi! Siti lebihkan makan buah-buahan dan sayur saja.

‘Pun begitu, Siti tak nafikan awal tahun ini memang Siti ada mendapatkan rawatan urutan muka di sebuah pusat kecantikan di Klang, tapi bukannya buang atau sedut lemak seperti yang dicanang dalam gosip itu.

‘Biarlah apa orang nak cakap. Lagi Siti difitnah, lagi murah rezeki Siti,’ ujar Siti dalam laporan akhbar Berita Minggu Malaysia.

Soal kehamilan pula, Siti mengakui beliau belum ‘berisi’.

Cyberita

Dr ‘K’ Nafi Nikah Lagi Di London


KUALA LUMPUR: Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa atau lebih dikenali sebagai Datuk ‘K’ kelmarin menafikan bahawa beliau telah bernikah lagi.

‘Boleh dikatakan 99 peratus masa saya dihabiskan bersama Siti (Datuk Siti Nurhaliza Taruddin). Ke mana saya pergi dia pasti ada bersama,’ kata Datuk Seri Khalid, menafikan gosip perkahwinan keduanya yang hangat diperkatakan kebelakangan ini.

Ketika ditemui pada majlis berbuka puasa dan memperkenalkan artis baru bernaung di bawah Siti Nurhaliza Production Sdn Bhd (SNPSB) di Menara Yayasan Tun Razak di sini, kelmarin, ahli perniagaan itu, berkata gosip disebarkan itu tidak berasas sama sekali.

Siti Nurhaliza turut hadir di majlis itu.

Datuk ‘K’ turut menegaskan bahawa cerita mengenai majlis pernikahannya dengan seorang pramugari di London awal Ogos lalu dibuat dengan niat mengganggu kebahagiaan rumah tangganya.

‘Saya tidak tahu mengapa pihak media boleh menyiarkan gosip itu. Apabila ia dibaca ramai menyebabkan berita menjadi bertambah hangat. Bila masa saya ke London tanpa Siti di sisi?’ katanya bertanya kembali.

Menurutnya, beliau hanya mengetahui gosip itu beberapa hari sebelum disiarkan di akhbar dan tidak terlalu memikirkan sangat tentangnya, hinggalah gosip itu tersebar meluas.

‘Bayangkan ada rakan saya dari Johor dan Kedah menghubungi dan bertanya adakah benar saya sudah bernikah satu lagi? Bagi saya tidak baik orang membuat fitnah mengenai saya dan Siti. Pada saya cukuplah cerita tidak baik dibuat mengenai kami sebelum ini. Tambahan pula sekarang bulan puasa (Ramadan). Sudah-sudahlah,’ katanya.

Sebelum ini, Siti sendiri menerusi laporan disiarkan Metro Ahad, menafikan gosip yang disebarkan itu. — Harian Metro.

Cyberita

Siti Ke Umrah Dibayangi Gosip Dimadu

KUALA LUMPUR: Penyanyi terkenal, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, berlepas ke tanah suci Makkah untuk menunaikan ibadah umrah Ramadan kelmarin.

Beliau ditemani suaminya, Datuk Khalid Mohd Jiwa, anak tiri bongsunya, ibu mentua, kakak ipar dan seorang teman.

Sudah lima kali Siti Nurhaliza menunaikan umrah Ramadan di tanah suci Makkah. Tarikannya begitu kuat sejak beliau menunai umrah Ramadan pertama kali beberapa tahun dulu.

‘Sukar Siti jelaskan. Mereka yang pernah merasai pengalaman berpuasa di sana tentu lebih faham.

‘Siti amat seronok di sana bersama umat Islam lain, berpusu-pusu ke masjid tatkala azan berkumandang,’ kata beliau seperti ditukil akhbar Metro Ahad.

‘Indahnya pengalaman itu sukar digambarkan!’ kata Siti Nurhaliza kepada pemberita sehari sebelum bertolak ke Madinah.

Menurut Siti, beliau mahu merebut keberkatan Ramadan Al-Mubarak dan kelebihan bersolat dan bertarawih di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.

Beliau akan berada di sana cuma 10 hari dan selebihnya menyambut Ramadan dan Aidilfitri di Malaysia.

Namun, pemergian beliau kali ini dibayangi gosip konon beliau telah dimadu.

Siti Nurhaliza cuma tergelak dengan cerita itu, selepas tersebar khabar angin berkaitan suaminya di Internet dan akhbar.

‘Biarlah orang nak bercerita. Siti tak rasa cerita itu ada kaitan dengan Siti dan suami Siti, sebab ia tidak berlaku kepada kami,’ katanya.

‘Cuma, kalau berita begitu keluar, orang ramai akan membuat tekaan.

‘Yang penting, cerita itu tiada kaitan dengan kami,’ tegas Siti. — Metro Ahad.

Cyberita