Archive for the ‘Bernama (M)’ Category

Rakaman 10,000 Keping Gambar Perkahwinan Siti-Datuk K


Oleh Haslinda Zainal

KUALA LUMPUR, 26 Sept (Bernama) — Lebih 10,000 keping gambar dirakam oleh pasukan jurugambar rasmi pada majlis pernikahan dan persandingan Siti Nurhaliza dan Datuk Khalid Mohamad Jiwa bulan lepas.

Perkahwinan yang mendapat jolokan “Wedding Of The Decade” dianggap istimewa kerana tiga pakar fotografi terlibat untuk menghasilkan gambar yang terbaik dan pelbagai.

Bustamam Mokhtar, jurugambar dari White Studio, bertanggungjawab mengendalikan rakaman gambar perkahwinan itu bermula daripada majlis akad nikah di Masjid Wilayah Persekutuan pada 21 Ogos diikuti persandingan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 28 Ogos dan persandingan di Dataran Lipis, Pahang, pada 3 Sept.

“Sebelum tarikh pernikahan, saya diberitahu oleh kakak ipar Siti, Rozie, untuk mengambil gambar. Mulanya saya tak percaya dan selepas menghubungi Siti, barulah penyanyi itu mengesahkannya,” katanya kepada Bernama di studionya di sini.

Keakraban dan persahabatan yang lama terjalin menyebabkan pihak Siti Nurhaliza Production memilih Bustamam sebagai jurugambar rasmi majlis bersejarah itu.

Bustamam juga sering merakam gambar dan aksi artis popular tempatan untuk muka depan majalah dan kulit album. Album terbaru Siti Nurhaliza berjudul `Transkripsi’ yang turut memuatkan lagu `Biarlah Rahsia’ adalah antara hasil sentuhan kameranya.

“Bila saya dapat tugasan ini, saya terus terima walaupun saya kurang mahir dalam bidang perkahwinan. Kemudian saya tawarkannya kepada Pengurus Operasi Adan, Hasnuddin Abu Samah yang memang pakar dalam gambar perkahwinan dan beliau setuju,” katanya.

Kemudian, mereka bergerak sebagai satu pasukan dan berbincang mengenai perjalanan kerja serta menyiapkan kertas kerja antaranya mengenai bilangan jurugambar yang diperlukan, tempoh masa kerja, bilangan gambar yang diambil dan jenis album yang dikehendaki.

Pada majlis akad nikah, lima jurugambar digunakan bagi menghasilkan lebih 3,000 keping gambar manakala di Lipis empat jurugambar terlibat menghasilkan lebih 3,000 gambar yang dirakam tanpa edit.

Bustamam berkata persandingan di KLCC merupakan acara kemuncak kerana melibatkan jemputan hampir 6,000 orang, penggunaan dewan yang besar, kehadiran orang kenamaan selain pelbagai acara yang bermula sejak petang.

“Di KLCC ada enam jurugambar dari White Studio dan Adan tetapi saya tambah lagi dua jurugambar dari media dan hari itu kami hasilkan sebanyak 5,000 hingga 10,000 keping gambar,” katanya.

Bustamam berkata persandingan di KLCC terlalu istimewa kerana melibatkan tiga jenis kepakaran jurugambar iaitu jurugambar fesyen, jurugambar perkahwinan dan jurugambar media.

Beliau berkata sebagai jurugambar rasmi, mereka juga bertanggungjawab membekalkan gambar kepada pihak media kerana ada sesetengah jurugambar media tidak dibenarkan masuk.

Mereka menggunakan mesin khas iaitu “CD Duplicator” yang mampu menyalin sebanyak tujuh keping cakera padat (CD) dalam satu masa untuk diberikan kepada 40 jurugambar media pada malam itu juga.

“Ini merupakan kali pertama kami menggunakan mesin ini yang disewa di kedai video di Seremban dan proses menyalin gambar memakan masa selama tiga minit untuk setiap tujuh keping CD yang dihasilkan dan ini memang membantu kami menjimatkan masa,” katanya.

Bustamam berkata beliau sudahpun menghantar CD kepada Siti Nurhaliza yang memuatkan 900 keping gambar perkahwinan yang diedit oleh beliau, iaitu 300 keping untuk setiap acara.

Hasnuddin pula berkata beliau amat berbangga kerana terlibat sebagai orang penting dalam majlis perkahwinan penyanyi nombor satu negara itu.

“Memang banyak cabaran yang perlu dilalui dan agak sukar untuk ambil gambar mereka berposing. Cuma kami berkesempatan mengambil gambar mereka secara berseorangan selepas majlis khatam Al-Quran di kediaman Siti,” katanya.

– BERNAMA

Persiapan Majlis Persandingan Siti Di Kuala Lipis Berjalan Lancar


KUANTAN, 2 Sept (Bernama) — Persiapan majlis persandingan penyanyi nombor satu negara Datin Siti Nurhaliza Tarudin di bandar kelahirannya, Kuala Lipis yang dijangka dihadiri lebih 10,000 orang berjalan lancar.

Penolong Setiausaha Majlis Daerah Lipis (MDL) Wan Norizan Wan Badruzzaman berkata, pemasangan khemah-khemah dan penyediaan tempat letak kenderaan tetamu di Dataran Lipis dijangka siap petang tadi.

MDL menyediakan tujuh zon letak kenderaan tetamu di sekitar dataran berkenaan bagi memudahkan orang ramai tidak bersesak-sesak dan bersusah-payah mencari tempat letak kereta, katanya kepada Bernama di sini hari Sabtu.

Sebanyak 13 penunjuk jalan bagi memudahkan orang ramai masuk ke tempat letak kenderaan dan seterusnya ke Dataran Lipis serta kain rentang majlis tersebut digantung di beberapa pekan di daerah Lipis seperti di Mela, Benta dan Sungai Koyan, katanya.

Beliau berkata MDL juga menyediakan dua skrin besar untuk membolehkan penduduk menyaksikan secara langsung persandingan itu di padang MDL.

Sementara itu, seramai 200 anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Lipis telah bersiap untuk bertugas pada majlis perkahwinan Siti Nurhaliza dan pasangannya Datuk Khalid Mohd Jiwa.

“Untuk mengelakkan daripada kesesakan teruk kita telah membuka Jalan Besar hanya untuk satu hala yang menuju ke majlis perkahwinan tersebut manakala jalan keluar hanya boleh dilalui dengan menggunakan Jalan Pekeliling dari dataran berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, untuk kemudahan juga tujuh zon tempat letak kereta telah disediakan di kawasan Lipis Plaza, Perpustakaan Daerah dan kawasan pejabat Tenaga Nasional Berhad untuk tetamu VVIP (Zon A).

Orang ramai pula boleh meletakkan kenderaan di Jalan Pahang Club (zon B), Pejabat Lama Majlis Daerah, Pejabat Daerah Lipis, Sekolah Menengah Kebangsaan Clifford (zon C), kawasan Pahang Club, tempat letak kereta Hospital Lipis, jalan ke rumah Pegawai Daerah (zon D), Hotel Senter Point, Bangunan Umno (zon E), Dewan Jubli Perak Lipis (zon F), Jalan Stor JKR dan Jalan Bukit Residen (zon G).

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar mengikuti petunjuk yang telah ditetapkan bagi mengelak kesesakan dan perkara-perkara yang tidak diingini berlaku.

– BERNAMA

4.3 Juta Tonton Majlis Perkahwinan Siti-Datuk K

KUALA LUMPUR, 29 Ogos (Bernama) — Seramai 4.3 juta orang menonton siaran langsung majlis perkahwinan penyanyi nombor satu negara Datin Siti Nurhaliza Tarudin, 27, dengan Datuk Khalid Mohamad Jiwa, 47, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) Isnin.

TV3 dalam kenyataannya yang die-melkan kepada Bernama di sini memetik sumber AGB Nielsen Media Research berkata, siaran langsung majlis perkahwinan itu berada di kemuncak 4.3 juta penonton atau 70 peratus rating semalam dari peratusan penonton pada waktu itu berbanding dengan pesaing terdekatnya yang meraih purata 1.6 juta penonton atau 22.5 peratus.

Majlis perkahwinan yang dihadiri 2,500 jemputan terdiri daripada, kerabat diraja, orang kenamaan dan artis popular dari dalam dan luar negara telah disiarkan secara langsung oleh TV3 selama dua jam setengah bermula pukul 9 malam.

Pada masa yang sama Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan stesen TV berbayar Astro telah menyiarkan program realiti bual bicara yang bertajuk “Mawi…Ina” yang mempertemukan artis paling popular Mawi dengan bekas tunangnya Nordiana Md Naim atau Ina, di dua studio berasingan di Auditorium Putrajaya Holdings Berhad, Putrajaya.

Pengurus Besar Komunikasi Korporat Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad Eliza Mohamed dalam kenyataannya itu berkata TV3 mementingkan kepada pengisian program yang berkualiti dalam menambat hati penonton.

“Jangkaan kami memang tepat sekali kerana segalanya telah dirancang dengan begitu teliti untuk memenuhi citarasa penonton yang tidak jemu-jemu mengikuti perkembangan Siti Nurhaliza menerusi TV3,” katanya sambil mengucapkan penghargaan kepada penonton yang setia dengan stesen TV itu.

Sebelum ini, siaran langsung majlis pernikahan pasangan itu yang telah diadakan di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 21 Ogos lalu telah memecah rekod waktu tontonan siang hari dengan purata tontonan mencecah 2.86 juta penonton.

– BERNAMA